Khamis, 30 Oktober 2008

MB NIZAR WAJAR ADA MASJID(MUSOLLA) SENDIRI DI NEGERI PERAK



Sekitar tahun 1988 negara kita Malaysia dilanda kemelesetan ekonomi yang gawat. Berpuluh kilang di Pulau Pinang dan di kawasan perindustrian yang lain ditutup kerana pengusahanya tidak lagi mendapat keuntungan yang memberangsangkan. Ianya meninggalkan kesan yang tidak kurang dahsyatnya apabila ribuan pekerja sektor perkilangan diberhentikan kerja dalam keadaan nasib mereka terkapai-kapai. Saya berada di dalam tingkatan empat pada masa itu dan terlibat di dalam satu latihan kumpulan perbahasan. Guru Bahasa Malaysia saya memberikan tajuk adakah wajar pengusaha-pengusaha kilang yang mempunyai dana asas di luar negara menutup kilang-kilangnya di Malaysia sewaktu zaman gawat.

Dengan sedikit maklumat yang ada dan jiwa yang penuh kritis saya membahaskan tajuk tersebut dengan hati yang separuh terbakar. Mana mungkin pengusaha-pengusaha kilang ini menutup kilang-kilang mereka pada zaman gawat dan meninggalkan rakyat Malaysia terkapai-kapai sedangkan mereka telah diberikan keistimewaan `duti eksais’ percuma selama lima tahun (pengetahuan ini didapati daripada pelajaran ilmu perdagangan dalam tajuk zon perindustrian bebas). Selama lima tahun tersebut pengusaha kilang telah mengadakan shif bekerja tiga kali sehari yang membawa maksud mereka sebenarnya telah menikmati `duti eksais’ percuma selama lima belas tahun lamanya. Mereka-mereka ini sebenarnya telah pun `berenang dalam mas, bersayap wang kertas’ sebelum cabut meninggalkan Malaysia, ujar saya lagi. Cikgu Bahasa Malaysia saya menggelar saya `pembahas kontroversi’ selepas sesi latihan itu. Manakan tidak arwah ayah saya turut terkesan apabila harga barangan komoditi merudum ke tahap tidak mampu menanggung sara higup lagi pada zaman itu. Harga kelapa kering yang diusahakannya jatuh tertiarap sehingga ketahap kami jadi orang berhutang dan akhinya terpaksa hijrah kembali ke Kaki Gunung Semanggol yang nostalgik ini.

1988 itu menyaksikan bukan sekadar kegawatan ekonomi tetapi juga kegawatan politik dalaman UMNO/BN dan juga kegawatan politik negara. Tengku Razaleigh Hamzah and the gangs dan Dr Mahathir Mohamed and the gangs adalah watak-watak utama sekitar gawatnya suasana ketika itu. Akhirnya UMNO pecah dua dan lahirlah Semangat 46 yang diketuai oleh Tengku Razaleigh Hamzah. Dr Mahathir selaku Perdana Menteri merasa begitu lemah dan terpaksa menganjurkan pelbagai perjumpaan bersama rakyat yang dipanggil SEMARAK dan juga terpaksa menggunakan kekangan ISA. Tahun 1990 akhirnya menjelang dan Pilihan Raya Umum perlu diadakan bagi mencari mandat baru. Tengku Razaleigh Hamzah dengan Semangat 46nya dilihat begitu yakin untuk mengambil alih kerajaan.

Disebelah Pantai Timur Tengku Razaleigh menjalin hubungan erat dengan Parti Islam Semalaysia PAS dan di sebelah Pantai Barat Tengku Razaleigh menjalin pula hubungan erat dengan Demokratik Action Party DAP. Tokoh-tokoh utama di dalam PAS pada ketika itu adalah almarhum Tuan Guru Haji Yusuf Rawa, Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat, almarhum Ustaz Haji Fadzil Mohd Noor dan Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang. Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang menulis satu kertas kerja bertajuk `Tahaluf Siyasi’ dan itulah kali pertama saya mendengar istilah itu. Ia menambah ilmu saya tentang bagaimana Parti yang memperjuangkan Islam boleh berpakat dengan parti yang tidak memperjuangkan Islam.

Di Pantai Timur nama Tuan Guru Nik Abdul Aziz secara tiba-tiba menyinar cemerlang akibat daripada kerjasama itu. Kerjasama itu di panggil Angkatan Perpaduan Ummah APU dan kelihatannya negeri pantai timur terutamanya Kelantan begitu terkesan dengan kewujudannya. Ianya secara langsung atau tidak langsung mungkin kerana nama Tengku Razaleigh, Presiden parti baru Semangat 46. Tengku Razaleigh, kerabat diraja yang pernah menjadi Menteri Kewangan berwibawa, dipercayai telah dinafikan hak untuk jawatan yang lebih tinggi dalam parti dan akhirnya di buang pula oleh UMNO adalah anak jati negeri Kelantan. Ianya membangkitkan ombak semangat di kalangan penduduk Negeri Kelantan dan di mana-mana dilaungkan Tengku Razaleigh adalah calon Perdana Menteri yang lebih layak. Tuan Guru Nik Abdul Aziz selaku Pesuruh Jaya PAS Kelantan mengisi semangat dan gelombang rakyat dengan roh Islam dan dilihat tenang menemani Tengku Razaleigh dimajlis-majlis bersama rakyat terutamnya di Negeri Kelantan.

Pilihan raya 1990 berlangsung begitu hangat dengan semangat waja Tengku Razaleigh untuk menumpaskan UMNO/BN. Tengku Razaleigh bukan sekadar ke Pantai Timur dan ke Pantai Barat tetapi turut ke Sabah dan Sarawak. Beberapa hari sebelum pilihan raya Tengku Razaleigh terperangkap dengan gambarnya memakai tengkolok tradisional bertanda campur (+) di sebuah majlis di negeri Sabah. Surat khabar pantas menabur fitnah, Tengku Razaleigh sudah jadi Kristian!!!.

Dengan keadaan media massa di tahun 1990, tidak banyak yang dapat dilakukan selain di negeri Kelantan. Dengan penerangan gerak gempur di Kelantan, rakyat teguh di belakang PAS dan APU. Pilihan raya itu menyaksikan kumpulan Tengku Razaleigh tewas teruk kecuali di negeri Kelantan. Kelantan menyaksikan calon-calon yang majoritinya diisi oleh parti PAS menang besar dengan majoriti 39-0 (kalau tidak salah ingatan saya).

Tahun 1990 memberi harapan dan nafas baru kepada para pejuang Islam yang merasa begitu kecewa sebelumnya dengan kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam UMNO pada tahun 1982. Tok Guru Nik Aziz muncul dengan imej baru sebagai MB Kelantan dan pada masa itu istilah Inggeris yang begitu popular ialah HUDUD LAW. Tok Guru Nik Aziz begitu zuhud, dan di dalam keadaan media massa yang tidak begitu baik sekitar 1990, berita berkenaan zuhud dan tawadhuk beliau sentiasa meniti dari mulut ke mulut rakyat, bukan sekadar rakyat Kelantan bahkan rakyat Malaysia. Bukan sekadar rakyat Malaysia, bahkan juga penduduk di timur tengah. (saya pernah ke timur tengah sekitar 1996 dan pertanyaan yang kerap diterima ialah berkenaan Nik Abdul Aziz, melihat videonya mendirikan solat dhuha sebelum menguruskan negeri menyebabkan ada orang Arab yang menitiskan air mata..)

Tuan Guru Nik Abdul Aziz membawa pendekatan baru di dalam mengurus negeri. Dia memperkenalkan pendekatan bertaqwa. Dia memperkenalkan bahawa mengurus negeri dengan beramal ibadah tidak boleh dipisahkan. Dia memperkenalkan bahawa bersolat dan mengurus negeri adalah dua perkara yang sangat rapat. Dia membangunkan masjidnya di Pulau Melaka seiring dengan dia membangunkan negerinya di timur semenanjung. Masjidnya menjadi begitu tersohor. Ada orang datang ke Kelantan semata-mata kerana hendak melihat masjid Nik Aziz. Di masjidnya waktu subuh bagaikan waktu Jumaat. Orang menadah ilmu daripada kuliah-kuliah dimasjidnya. Dia bukan sekadar membangun batu-bata, tetapi dia membangun roh dan jiwa manusia. Di masjid itu orang memahami bagaimana Islam hendak memerintah dan di masjid itu orang melihat bagaimana masjid boleh dijadikan pusat kepada pembangunan dan pemerintahan sebuah negeri.

Dia mengharungi cubaan yang tidak sedikit. Cubaan daripada mereka yang tidak mahu Islam dijadikan sebagai asas rujukan di dalam setiap urusan kehidupan ini. Keakrabannya dengan rumah Allah menjadikan dia begitu kebal dengan segala cubaan yang mendatang dan yang dirancang oleh kelompok musuh. Akhirnya tahun 1998 menyaksikan satu lagi senario episod politik Malaysia yang penuh debaran. Ianya menyaksikan pertembungan ketara antara Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamed. Ianya membawa kepada terpenjaranya Anwar selama enam tahun di penjara Sungai Buloh, Selangor.

Pemenjaraan Anwar memberi impak besar kepada politik Malaysia. Ia membawa kepada penubuhan parti politik baru keADILan dan sokongan yang bertambah kepada parti PAS. Akhirnya pada pilihan raya tahun 2000 seorang lagi sahabat Tuan Guru Nik Abdul Aziz iaitu Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang diberi amanah oleh Allah dan rakyat Trengganu untuk mentadbir negeri tersebut, juga di timur Semenanjung. Tuan Guru Haji Hadi menggunakan pendekatan serupa sejak sekian lama. Dia terkenal dengan masjidnya di Rusila, Marang Trengganu. Masjid besar yang mampu menampung jemaah melebihi 5000 orang setiap pagi kuliah Jumaatnya. Berpusatkan masjid dan berorientasikan taqwa, dua orang ulama PAS menjadi menteri besar di dua buah negeri.

Tahun 2004 menjadi parut catatan duka yang begitu dalam kepada penyokong dan pendokong Parti Islam. Kerajaan Islam Trengganu tenggelam dalam badai Gelombang Biru dan Kerajaan Islam Kelantan tinggal nyawa-nyawa ikan. Jika dilihat ganasnya gelombang biru yang memukul, dengan segala tipu helah dan onar khianatnya, seolah-olah parti Islam tidak akan diendahkan orang lagi. Tetapi dua orang ulama’ tadi teguh memegang amanah Tuhan, meneruskan dakwah dan terus menjadikan masjid sebagai pusat operasi dan orientasi dakwah. Masjid Pulau Melaka dan Masjid Rusila terus bernyawa dan berdenyut di balik kerasnya ombak pukulan musuh.

Sesungguhnya ujian Allah bukanlah setakat kesusahan, bahkan kesenangan dan kemenangan juga adalah satu ujian. Sekali lagi pilihanraya tahun 2008 datang dengan warna yang penuh berbeza. Tsunami politik yang begitu terkenal, merubah lanskap politik Malaysia menjadi amat berbeza. Salah satu negeri yang menerima kesan Tsunami dan perubahan lanskap yang begitu ketara adalah negeri Perak Darul Redzuan. Negeri yang menyaksikan sebuah kerajaan baru, kerajaan kaki tiga ditubuhkan di atas kerjasama 3 parti yang anti UMNO/BN. Kerajaan ini pada awalnya dilihat tidak stabil, rapuh dan menanti belah bila-bila masa kerana komponen kaum dan nisbah wakil partinya yang dilihat tidak seimbang. Pesuruhjaya Pas Perak, Ustaz Ahmad Awang teguh dengan pendiriannya tidak bekerjasama dengan UMNO/BN dan memilih bekerjasama dengan 2 parti lain yang anti UMNO/BN. Akhirnya kerajaan kaki tiga diwujudkan dan dengan taqdir Allah SWT Menteri Besarnya dipilih daripada tokoh parti Pas yang mempunyai jumlah wakil yang paling kecil dalam kerajaan. Ustaz Ahmad Awang dalam salah satu ucapannya memperkenalkan calon Menteri Besar menyebut bahawa calon Menteri Besar dari Pas adalah seorang yang bertaqwa, seorang profesional, mampu bertutur dalam 2-3 bahasa, mampu memberi khutbah, memberi tazkirah dan berkuliah serta orang yang terkehadapan dalam parti Pas di negeri Perak.

Akhirnya nama Ir Mohd Nizar Jamaludin diumumkan sebagai Menteri Besar Perak mewakili Kerajaan Pakatan Rakyat. Namanya menjadi popular secara tiba-tiba. Masjid-masjid menjemputnya dan surat2 khabar menemuramahnya. Orang Melayu meraikannya, orang China ingin mengenalinya, orang India menunjukkan wajah gembira. Di dalam usaha gigihnya memperkukuh Kerajaannya yang begitu sering dipukul dan dihentam oleh kumpulan lawan, dia sentiasa mengelak daripada membangkitkan isu perkauman, sebaliknya menonjolkan isu nilai-nilai sejagat yag diterima oleh manusia seluruhnya.

Dato’ Seri Ir Nizar adalah Menteri Besar Pakatan Rakyat yang mewakili Parti Pas dan dikenali sebagai orang yang teguh dengan pegangan agama Islamnya. Dia diperkenalkan oleh Pesuruhjaya Pas Perak sebagai orang yang berkemampuan membawa Islam maju kehadapan. Dia berusaha bersungguh-sungguh membuktikannya. Dengan segala kekangan kuasa yang dihadapinya, dia berusaha membawa Islam terus kehadapan. Solat menjadi agenda utama pemerintahannya walaupun kerajaannya didokong lebih ramai oleh orang yang belum Islam. Bulan Ramadhan menyaksikan MB Nizar berkeliling seluruh negeri Perak menghidupkan Ramadhan di masjid-masjid dan ia menarik perhatian rakyat yang tidak sedikit.

MB Nizar bukan ulama seperti dua orang Menteri Besar Pas yang terdahulu, tetapi insya allah dia orang yang soleh. Dia telah menunjukkan contoh yang baik kepada rakyatnya dengan menjadi hamba Allah yang soleh, hamba Allah yang rapat dengan rumah Allah dan Tuhannya. Tinggal lagi MB Nizar belum ada masjid atau musolla sendiri seperti dua orang Menteri Besar Pas yang dahulu. Dua orang ulama’ yang menjadi pelopor kepada pemerintahan berteraskan Islam yang diperjuangkan oleh Pas dan seluruh pendokongnya.

Ketika salah seorang Menteri Besar Pas yang dahulu berhadapan ujian kekalahan di negeri yang diperintahnya, rumah Allah yang dibina terus memberi semangat dan meneruskan `legasi’ perjuangan yang dibawa. Dia tidak tenggelam dipukul ombak kekalahan sebaliknya terus timbul dan berada ditengah medan. Kehilangan kuasa memerintah tidak membawa makna ia turut kehilangan suara berdakwah. Suara dakwahnya terus segar kedengaran walaupun kuasa memerintahnya telah tidak ada. Ia tidak seperti Menteri Besar UMNO yang biasanya akan terus tenggelam dan dilupakan sebaik sahaja tidak lagi memegang tampuk pemerintahan.

MB Nizar adalah daripada Pas, dan Pas menjadikan agenda dakwah sebagai agenda utama perjuangan. Sebagai seorang rakyat, rakyat negeri Perak yang diperintahnya, saya merasakan wajar MB Nizar menuruti jejak langkah dua orang Menteri Besar Pas yang terdahulu, mendirikan masjid sebagai paksi utama kepada pemerintahan dan perjuangan dakwah. Kita tidak dapat meneka berapa lama tempoh pemerintahan MB Nizar, panjangkah atau pendekkah, oleh itu wajar MB Nizar merancang untuk meninggalkan `legasi’ yang menjadi penghargaan dan kenangan kepada penyokong dan pendokong perjuangan Islam di negeri Perak ini.

Mendirikan masjid yang khusus sebagai lambang kemenangan Islam di negeri Perak ini adalah sebahagian daripadanya. Terbayang dimata saya selaku rakyat, MB saya mempunyai masjidnya sendiri di negeri Perak ini yang berdekatan dengan pusat pemerintahannya dan barangkali bersebelahan pula dengan rumahnya sendiri. Jika ditanya orang di mana rumah MB kamu? Dengan bangga saya akan menjawab, "rumah MB saya bersebelahan dengan masjid, masjid yang dibinanya sebagai tanda kemenangan Islam. Jikalau hendak melihat kelibat MB saya, pergilah ke masjidnya, tunggukan azan berkumandang dan insya allah jikalau tidak ke mana-mana, dia akan solat di situ".

Masjid itu menjadi tempat belajar, tempat menghidupkan ilmu dan ibadah. Masjid itu menjadi tempat berteduh, masjid itu menjadi tempat berekreasi, masjid itu menjadi tempat menghidupkan seni dan budaya, masjid itu menjadi tempat mengintegrasikan bangsa, menjadi pusat denyutan nadi dakwah dan menjadi tempat kunjungan rakyatnya. Negeri Perak ini pelbagai bangsanya. Saya terbayang masjid MB saya ini pelbagai bangsa imamnya, ada imam bangsa India, ada imam bangsa China dan ada imam bangsa Melayu, demikian juga pelbagai bangsa makmumnya. Terbayang juga di mata saya masjid MB ini unik reka bentuknya, ada unsur Melayu, ada reka bina China dan ada sentuhan India. Ada pula kelas pengajian bahasa Mandarin dan Tamil untuk memahami ajaran Islam . Oh! Alangkah indahnya impian ini, mungkinkah impian jadi kenyataan? Sebagai rakyat apalah kiranya mempunyai impian, memberi cadangan, berdoa dan seterusnya menunggu dan mengharap.

Khalifah Umar Abdul Aziz memerintah kerajaan Umaiyah tidak lama. Sekadar 3 tahun lebih kata YAB Lim Guan Eng. Tetapi namanya dan tinggalannya terukir indah dari bibir ke bibir umat Islam serata dunia beratus tahun lamanya. Bukan sekadar umat Islam yang mengkaguminya, bahkan juga YAB Lim Guan Eng yang belum bersama Islam turut terasa kehebatan auranya.

Suaradarigunung akan terus bermonolog, mengharapkan impian jadi kenyataan.

Khamis, 23 Oktober 2008

VOICE FROM THE MOUNTAIN of SEMANGGOL: DO WE LOSE ANYTHING IF WE JOIN ISLAM?

Dear friends,

Probably the common question that arises in your mind when talking about knowing and joining Islam is do I lose something if I join Islam and make it as my `GUIDANCE’ for my whole life.

The answer is absolutely NOT.
If previously you worshiped multiple Idol and pray for the Idol, by joining Islam you are no more worshipping Idols, but you are worshipping the only God, Allah SWT who create the whole world, the whole sky, heaven and hell.

If previously you do believe in few prophets, by joining Islam you will have one more extra prophet. The last prophet and the most that Allah love, Muhammad S.A.W. If previously you not believe in prophet at all, now you will have a lot of prophet, all of them are very pious and nice person.

If previously you only believe in few holy book, by joining Islam you will have one more Holy book, al-Quran, the latest Holy book fresh from Allah. If previously you not believe in Holy book at all, now you will have a few Holy books with al-Quran as the most complete book without any mankind disturbance to guide your life.

If previously you are looking around and confuse to seek guidance for your life, NOW there is no more confusion. You worship the absolute God, you follow the prophets ways and you make Holy book al-Quran as guide for your life.

DO YOU LOSE ANYTHING?
NO, you won’t lose anything except winning…

Dear friends, think about it. Think about it tonight and tomorrow, everyday.

Khamis, 16 Oktober 2008

PENGHUJUNG RAMADHAN DI `BALAISAH' TOK GURU

(Catatan ini dibuat selepas iktikaf 29 Ramadhan 1429H di Balaisah Tok Guru. Ketika catatan ini mula ditulis, takbir Aidil fitri telah pun bersahutan dan ketika catatan ini di `post’kan, kuih raya telah pun tinggal serdak sahaja. Apa boleh buat, demikianlah erti `kesibukan')

Akhirnya cita-cita itu terkabul jua. Impian terlaksana. Perjalanan merentasi hutan belantara Banjaran Titiwangsa itu berpenghujung jua. Dari kaki Gunung Semanggol ke dataran Pulau Melaka. Tanah lembah ini telah begitu lama tidak ku kunjungi. Berpuluh hitungan purnama lamanya. Tiba waktu kerinduan ini kembali memuncak, melintasi belantara timur-barat ini tidak lagi terasa sukar kerana sang hati telah berkata-kata, ubati kerinduan ini, tempuhi segala halangan dan jangan persiakan harapan sebuah jiwa.

Tanah lembah negeri serendah sekebun bunga ini tidak banyak menjanjikan kemewahan dan kesenangan. Dingin pagi kaki Gunung Semanggol mungkin lebih nyaman daripada hembusan angin Laut Chinanya. Yang menarik aku ke sini bukan kerana hembusan bayunya atau indah panoramanya. Yang menarik kerinduanku ke sini adalah kerana Tuan Guru `pendita agungnya’. Tuan penguatkuasa kepada tanah bergelar Serambi Mekah ini.

Aku tiba agak lewat di `balaisah’ Tok Guru. Istilah orang Pantai Timur untuk musolla yang turut ada pengajian agama di dalamnya. Terpegun aku dengan perubahan-perubahan fizikal yang dilalui. `Balaisah’ ini sudah amat besar dibanding 16 tahun lalu, tika aku baru mula mengenal istilah `tarbiyyah’, tika aku baru mula berjinak-jinak dengan kalimah `qiamullail’. `Balaisah’ besar ini sudah lebih dari layak untuk dipanggil masjid dan memang papan tandanya bertulis masjid Tok Guru, Pulau Melaka. Jalan menuju `balaisah’ ini juga telah berubah sama sekali. Jalan raya berturap cantik, dihiasi lampu jalan dengan jambatan besar ku anggar kosnya berjuta.

Enam belas tahun lampau jalan menuju ke sini hanyalah jalan selorong yang berlopak-lopak. Jambatannya jambatan kayu yang telah berlubang. Sebahagian kayu jambatan pula diatur membujur,.. sangat menyukarkan kepada mereka yang baru belajar membawa motosikal untuk melaluinya. Tayar motosikal bisa saja terselit dicelah kayu yang diatur membujur dan akibatnya motor tak dapat dikawal dengan baik. Aku sendiri pernah melalui pengalaman cemas di jambatan itu 16 tahun yang lampau. Tayar motor `kapcai’ yang ditunggangi oleh aku dan seorang sahabat (sekarang pensyarah di UIA) tiba-tiba tergelincir dan termasuk ke dalam celah di antara dua kayu yang disusun membujur. Kami hilang kawalan dan rebah. Kain pelekatku terkoyak dan kepalaku terhantuk pagar jambatan yang disusun jarang-jarang. Mujurlah umur kami ditakdir masih panjang. Kalau tidak, mungkin kami bisa saja terhumban ke dalam sungai yang airnya gelap pekat itu. Jikalau itulah suratan takdir, tiadalah lagi yang dapat menatap tulisan ini kerana tiada lah lagi orang yang akan menulisnya.

Khayalanku terhenti sebaik sampai ke tempat wuduk. Cepat-cepat aku berwuduk dan menyertai jemaah. Solat tarawikh telah berlangsung 4 rakaat. Mujur solat isya’ telah aku dirikan dalam perjalanan. Agak kecewa kerana Tok Guru tidak ada, tetapi penggantinya seorang hafiz berbangsa arab tidak mengecewakan. Bacaannya meresap ke sanubari walau pun maknanya tidak ku fahami. Patutlah jemaah tidak ramai, sekadar 2 saf sahaja yang ada. Murid-murid di sini pula semuanya telah tiada, pulang bercuti ke kampung masing-masing barangkali. Keadaan ini agak rutin, kalau Tok Guru tidak ada biasanya jemaah tidak ramai. Hanya penduduk kampung yang datang. Penduduk luar mukim akan bercempera ke tempat lain.

Tarawikh selesai sekitar 9.30 malam. 8 rakaat. Tuan imam beredar, tidak berwitir. Aku berdiri dan sambung 4 rakaat lagi. Sebahagian orang kampung mendirikan witir sendiri-sendiri. Selesai tarawikh lapan rakaat, berehat sebentar. `Balaisah’ sudah sepi, hanya ada seorang dua di bucu-bucu `balaisah’ membaca al-Quran dengan suara perlahan. Kalau Tok Guru ada biasanya tarawikh tamat sekitar 10 malam kerana selepas 4 rakaat ada tazkirah. `Balaisah’ ini seperti dahulu juga, tidak dikunci 24 jam kecuali bahagian hadapan yang di pasang `grill’ untuk menyimpan barangan berharga. Orang ramai bebas berteduh di `balaisah’ ini bila-bila masa, bebas untuk iktikaf dan bebas untuk qiamullail. Selebihnya ada banyak tabung derma disediakan untuk para pengunjung.

Selesai tarawikh, rehat sekejap, badan terasa segar kembali. `Balaisah’ masih sepi. Masa untuk meronda, bisik hatiku. Enjin kereta dihidupkan dan aku meronda dipinggir bandar Kota Bharu. Kota Bharu sedang pesat membangun, pinggir bandarnya satu demi satu jadi kota batu. Kondominium telah berdiri di dua-tiga tempat, cerucuk-cerucuk besi bertaburan tanda akan tumbuhnya bangunan-bangunan baru, hutan-hutan belukar telah banyak yang sudah lapang, jalan-jalan raya yang dulunya gelap kini bercahaya neon, tanda kepadatan penduduk telah bertambah degan pesat.

Betullah kata Tok Guru, pembangunan ini adalah sifat dan rutin manusia. Selagi manusia bernama manusia, selagi itulah mereka akan membangunkan bumi ini kerana itulah sifat manusia. Tidak kira komunis, sosialis, demokrat, facis, atheis atau Islam, semuanya akan membangunkan bumi kerana Allah memang menciptakan manusia sebagai `khalifah’ dimuka bumi. Cumanya bentuk pembangunan akan bergantung kepada fahaman yang dianut manusianya dan kekuatan teknologi yang mampu dimilikinya. Lihat sahaja manusia zaman batu, kerana kurang teknologi, mereka hanya mampu membangunkan gua-gua dengan mengukir pelbagai ukiran yang menarik, meninggalkan maklumat sebagai pusaka bernilai tinggi kepada ratusan generasi dibelakangnya. Pokoknya satu, mereka tetap melakukan pembangunan.

Pukul 11 malam kembali ke `balaisah’ Tok Guru. Beberapa orang telah kelihatan iktikaf, ada yang baring, ada yang zikir, ada yang solat dan ada yang mengaji quran. Aku berwuduk sekali lagi dan melangkah ke dalam `balaisah’ yang bercahaya suram. Berdiri, tunduk dan duduk. Ada urusan peribadi dengan Tuhanku..

Sahabat..
Melabuhkan `lambung’ ini di lantai `balaisah’ Tok Guru, mengajar kembali tubuh yang sudah biasa baring di tilam empuk ini erti sebuah mujahadah. MujahadatunNafs.. teringat kembali kata-kata Ustaz Hashim Jasin, yang pernah aku tadah ilmunya sekitar 18 tahun lampau. Meletakkan kepala di lantai `balaisah’ ini, sekadar beralas kain tuala, melatih kembali diri yang sudah biasa menginap di hotel berbintang-bintang ini akan erti sebuah pengorbanan. Pengorbanan para Sahabat, para awwalun, para-para daie dan sekalian pengikut Islam yang mukhlisin di dalam menegakkan agamanya.

Aku terlelap dalam khayalan. Khayalan melihat umat Islam kembali gagah, segagah tentera Muhammad Al-Fateh yang menakluk Constantinople. Derap kaki kuda bertingkah laju, debu berkepul di udara. Lena diulit mimpi. Jam 3.30 pagi aku terjaga di `balaisah’ Tok Guru ini. Kesepian malam tiba-tiba diisi oleh suara merdu bacaan al-Quran. Imam berbangsa Arab tadi telah berada di saf hadapan rupanya. Dia qiamullail dengan `menjahar’. Di dalam cahaya suram aku melihat beberapa orang menjadi makmumnya. Yang lain, sendiri-sendiri. Aku bingkas, membersih diri dan mencari tempat sunyi dan suram dibalik tiang masjid. Terasa lebih selesa begitu untuk waktu ini. Berdiri, rukuk dan sujud. Selebihnya adalah rahsia. Ini urusan peribadi, tidak perlu cerita yang mendalam-dalam. Cuma sekadar berkongsi, air mata ini sukar sekali mengalir kebelakangan ini, kelopak mata ini terasa keras. Di sebalik berhiba-hiba memohon ampun, air mata tidak juga menitis. Hei air mata! mungkin engkau tidak mahu berlakon di hadapan yang maha Esa. Justeru engkau ambil keputusan boikot, tak mahu keluar..

Duduk dan berdiri dan di`balaisah’ ini, masa berlalu pantas. Meneguk sedikit air dan menjamah sedikit bekal buat esok, urusan peribadi ini diteruskan. Sekitar 15 minit sebelum subuh, kelibat Tok Guru kelihatan. Dada ini terasa lapang, dia tidak mengenal kita tetapi kita mengenal dia. Itu sudah memadai, yang penting ialah menghayati ajaran Nabi yang disambungnya, bukan mengharap dia mengenali wajah kita. Langkah Tok Guru seperti dahulu juga. Tenang dan langkah demi langkahnya perlahan. Dia solat 2 rakaat, perlahan dan lama. Selesai 2 rakaat, azan berkumandang shahdu, lampu-lampu dinyalakan dan orang sudah ramai memenuhi masjid. Gambaran Dato’ Dr Hasan Ali tentang suasana subuh di`balaisah’ ini adalah tepat sekali. Ia seumpama solat pada tengahari di waktu Jumaat, ramai, sesak dan berpusu-pusu.

Iqamah setelah sunat qabliah, Tok Guru mengimamkan solat subuh. Sama seperti 16 tahun lampau, cuma sekarang Tok Guru telah 16 tahun lebih tua. Kelibat tuanya telah kelihatan dari pergerakannya. Seperti dahulu, bacaannya walaupun perlahan tetapi jelas dan satu-satu. Berdirinya agak lama, rukuknya agak lama, iktidalnya agak lama, sujudnya agak lama, duduk antara dua sujudnya agak lama, beralih kedudukan dengan perlahan, itulah identiti solat Tok Guru. Di sinilah aku faham apa erti `toma’ninah’ dari hati yang benar-benar ingin rapat, hormat dan takut dengan Tuhannya. Seperti seorang hamba lemah yang mengadap Tuannya yang serba berkuasa. Penuh hormat, ta’zim dan penuh harap agar tiada kesalahan dan sedia diampunkan.

Selesai solat subuh, Tok Guru memimpin zikir selepas solat. Zikir kali ini sama seperti yang biasa dibaca dimasjid-masjid lain di Malaysia. Cuma pergerakannya kelihatan begitu `capek’ sekali, dia ke mana agaknya malam tadi?. Tok Guru tidak berpusing pun mengadap makmum seperti kebiasaannya. Dia menekan kedua tangannya kebelakang dan menyandarkan tubuhnya pada kedua tangannya. Selesai zikir, Tok Guru memberi tazkirah, juga dalam posisi yang sama, tidak mengadap makmum yang demikian ramai. Aku terasa benar yang Tok Guru begitu keletihan sehingga menahan tubuhnya dari berpusing.

Seperti biasa Tok Guru akan menafsir dan menghurai sebahagian ayat yang dibacanya di dalam solat. Ucapan-ucapannya sentiasa berisi dengan petikan-petikan daripada al-quran. Demikianlah kecintaannya terhadap al-quran. Subuh tersebut Tok Guru membaca sebahagian surah YaaSin dan termasuk diantaranya ayat 33 seperti di bawah.


33. Dan suatu tanda (kekuasaan Allah yang besar) bagi mereka adalah bumi yang mati. Kami hidupkan bumi itu dan Kami keluarkan daripadanya biji-bijian, maka daripadanya mereka makan. (S36:A33)

Tok Guru menyeru supaya dakwah tidak hanya dijalankan oleh mereka yang belajar ilmu syariah dan ilmu fardhu ain sahaja tetapi juga perlu dilakukan oleh ahli-ahli pertanian sebagai digambar dalam ayat tersebut. Demikian juga bidang-bidang ilmu yang lain, nescaya akan terdapatlah ayat al-quran yang menerangkan perihal bidang ilmu tersebut. Justeru ahli ilmu tidak boleh hanya `terperosok’ ke dalam bidang ilmunya secara `akliah’ semata-mata tanpa mengambil tahu sepatah pun ayat al-quran berkenaan bidang ilmunya. Mengetahui ayat-ayat al-quran di dalam bidang ilmu masing-masing akan menjadikan al-quran barang yang hidup, bukan barang yang mati, dan al-quran itu perlu selalu dihidupkan di dalam detik kehidupan ini.

Dan seperti selalu juga, Tok Guru akan menyentuh sedikit berkenaan politik. Tok Guru menyebut, orang yang cerdik, orang yang panjang akal, orang yang banyak strategi perjuangannya perlu di ajak supaya berjuang untuk Islam, perlu diajak supaya mengubah ideologi perjuangannya supaya memperjuangkan ideologi Islam. Ini kerana Islam sangat menghargai orang yang cerdik dan cerdas akal fikirannya lagi kuat personaliti dirinya. Tok Guru memberi beberapa contoh bagaimana Nabi dengan begitu lembut, berhemah dan bersifat pemaaf telah memberi peluang kepada pemuka-pemuka kaum musyrikin supaya mengubah halatuju perjuangan agar bersama Islam. Antaranya ialah Khalid Al-Walid, Ikrimah anak Abu Jahal dan Abu Sufian yang begitu terkenal memerangi Islam sebelum peristiwa Fathul Makkah. Semuanya akhirnya bersama Islam dan menjadi pemuka utama di dalam menggemilangkan agama suci itu. Aku terasa bicara Tok guru ini ada kait-mengait dengan isu semasa yang melanda Pakatan Rakyat akhir-akhir ini terutama isu 16 September.

Tazkirah Tok Guru tamat sekitar 6.40 pagi. Beberapa orang mengambil kesempatan bersalaman dengannya. Ingin sekali hati ini mulanya turut serta, namun demi melihat tidak kurang tujuh orang ayah tiba-tiba masuk dan beratur dari pintu sisi sambil menggendong bayi yang masih kecil, aku membatalkan sahaja niat di hati. Ramai sungguh yang mahu Tok Guru `membelah mulut’ anak mereka. Dalam keadaan Tok Guru nampak begitu letih, aku tak sanggup untuk mencuri masanya lagi biarpun hanya sekadar beberapa saat. Tazkirah Tok Guru sudah cukup untuk menghilangkan dahaga kerinduan selama ini. Mendengar tazkirahnya menyebabkan kuliah-kuliah lain terasa tawar. Wajarlah aku menggelarnya ulama’ ini `pendeta agung’ Serambi Mekah.

Aku melangkah keluar dengan perlahan. Bilakah Gunung Semanggol akan punya Ulama’ besar seperti ini lagi?

Suaradarigunung.blogspot.com/ (suaradarigunungsemanggol)
Catatan ini dibuat sempena `qiamullail’ 29 Ramadhan 1429H di Balaisah Tok Guru.