Isnin, 27 April 2009

BUKU YANG WAJAR DIBACA..

(Artikel Pilihan)
Selain daripada membaca buku-buku yang biasa kita baca (ikutlah hobi masing-masing), maka wajar juga kita membaca buku yang menceritakan perihal Peristiwa Hitam yang berlaku di Negeri Perak. Suaradarigunung Semanggol mengambil kesempatan ini untuk turut sama mempromosikan buku yang diusahakan oleh Bloggersnetwork@Perak. Walaupun hits untuk Suaradarigunung Semanggol masih kecil, tetapi pengendali sdgS berpendapat sedikit pun sumbangan ke arah kebaikan insya allah tetap akan dikira oleh Allah Swt. Membaca tidak semestinya membeli, jadi pandai-pandailah Tuan-puan semua fikirkan macam mana nak dapatkan buku ini supaya boleh dibaca. Artikel ini saya ambil daripada blog `cenangau blogspot'.

Krisis Perak, Zambry VS Nizar - buku susunan BNP
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Saja nak 'layoq' sikit(Layoq dalam bahasa Perak Utara bermakna nak tayang dengan tujuan supaya orang lain terliur). Macamana rupa buku yang bloggers susun yang Hj Nizar kata semua orang patut miliki untuk faham duduk cerita Krisis Perak. Aku nak ulas pun tak boleh pasai aku pun tak baca lagi, cuma tengok sekali lalu ja.

Gambar masa pelancaran aku cilok dari blog Cyberboron. Akurasa dalam banyak-banyak gambar yang aku ambik guna kamera dia, yang ni ja kut yang jadi, gambar yang lain aku rasa jadi macam-macam. Komen awal dan ringkas dari aku "Tak malu la nama Cenangau ditulis sebagai ahli 'Panel Penulis' pasai buku ni padat dengan fakta, kira-kira kalau aku bukan jenih daun kari tentu punya aku mengaku buku tu aku yang tulis". Kalau nak tau apa isi boleh klik gambar kat bawah untuk tengok gambar lebih besar dan jelas. Nak lagi jelas kena beli laa. Untuk lebih spesel kena dapatkan edisi online terhad, apa yang spesel aku pun belum tau lagi pasai belum bincang dengan Al-Banjari. Macamana nak dapatkan edisi online? Nanti kami war-warkan. Kalau nak booking boleh tulis nama kat cbox aku DAN hantar nama dengan alamat ke email aku di cenangau @ gmail.com. Jugak boleh booking dari mana-mana "Panel Penulis", guna konsep "sapa cepat dia dapat." Maklumat lanjut nanti kami war-warkan. Harga tak termasuk belanja pos RM10.00 sahaja.

Kalau ada yang dah baca dan nak buat ulasan, silakan, kami sangat alu-alukan.
Sebelum tu bagi yang belum memiliki, layan.....
Muka depan

Muka belakang

Kata Pengantar oleh Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak

Sebahagian daftar kandungan


Kronologi peristiwa dari 8 Mac 2008 hingga 3 Mac 2009

Isu derhaka

Isu tanah

Petikan buku undang-undang berkaitan

Cerita bergambar hari Persidangan DUN Bawah Pokok

Isi perbualan Hj Nizar dengan Sultan

Analisa Dato' Wan Mutalib Embong

Dan yang paling "mengancam" panel penulis

Khamis, 23 April 2009

DUN PERAK: CELAGHU, PENIN DAN LAWAK..

(ORIGINAL ARTIKEL, Nak copy paste di alukan..)

Sekadar mengatakan bahawa DUN Perak celaru dan pening mungkin akan diterima secara baik oleh para pembaca, tetapi bila ditambah dengan perkataan `lawak' ianya mungkin menimbulkan rasa tidak puas hati bagi sesetengah orang. Tapi tak apalah, bukan hati orang saja yang perlu dipuaskan, hati aku yang selalu `stress' melihat `Kerajaan Perak' ni juga perlu dipuaskan. Jadi aku tambah perkataan `lawak' tu untuk hiburkan hati aku sendiri. Apa orang lain nak kata, katalah..

Keputusan mahkamah 16 April lalu sangat-sangat aku nantikan sebelum ianya diumumkan. Aku ingat adalah cahaya dihujung terowong, terbitlah mentari pagi dicelah-celah Gunung Semanggol, tapi bila ianya diumumkan, segala yang diharap seolah-olah umpama mentari yang belum mahu terbit lagi. Malam seolah-olah terlalu panjang dan bergelumang dengan mimpi `ngeri' pulak. Bilalah nak terjaga dari `mimpi' ni dan matahari pulak seolah-olah merajuk belum mahu keluar lagi.

Mujurlah YB dan MP Nizar ada memetik kata-kata Ke bawah Duli Sultan yang menyebut ayat Quran dalam afidavitnya, `Innallaha Maas Sobirin, (Sesungguhnya Tuhan Allah bersama dengan orang-orang yang sabar). Terhiburlah juga hati aku membacanya.

Berbalik pada deklarasi mahkamah, mula-mulanya aku rasa perlu diam je, sebab semua orang tahu keputusan mahkamah bukan boleh buat bincang sembarangan. Cuak jugak aku nak sebut, takut dikata menghina mahkamah. Tak pasal-pasal pulak kena keluar masuk mahkamah. Kalau kita hina Pak Mat, Ah Meng atau Raju, sah kita tak boleh lalu depan rumah dia apalagi nak keluar masuk rumah dia. Tapi kalau kita hina mahkamah, sah kita kena keluar masuk mahkamah banyak kali. Itu yang aku cuak tu.

Lepas deklarasi mahkamah diumumkan oleh Utusan Malaysia dan media massa yang sewaktu dengannya, senyap untuk beberapa jam. Dato’ Hafarizam peguam UMNO kata itu kejayaan besar dan bersejarah. Lepas ni masalah di Perak boleh selesai. Maknanya rakyat boleh tidur lena laa..

Beberapa jam je yang senyap.. Lepas tu aku tengok Dato’ Ngeh terus je buat kenyataan tak akan peduli pada deklarasi tu. Ini diikuti oleh Lim Kit Siang, Dato Sri Nizar dan YB Sivakumar. Semuanya kata tak akan peduli pada deklarasi mahkamah. Terkejut jugak aku. Berani sungguh depa ni.. Tapi bila aku fikir balik, apa yang mereka takut. Kena penjara? Anwar Ibrahim pun kena penjara enam tahun. Masuk ISA? Uthayakumar pun masih duduk dalam ISA walaupun dia YB di Selangor.

Aku ni masih takut lagilah, sebab aku rakyat marhaen. Semangat tak tinggi tara mana. Kemudian aku belek-belek lagi blog dalam internet. Rupa-rupanya ada sorang lagi. Peguam Hanifa Maidin. Dia ni bukan sekadar buat tak kesah dengan deklarasi mahkamah Persekutuan yang diumum dalam Utusan Malaysia, tapi siap tulis macam-macam hujah lagi yang mengatakan deklarasi itu nilainya satu sen. Macam-macam istilah yang dikemukakan. `Perintah certiory’lah, perintah `mandamus’lah dan entah apa-apa lagi. Selama ni aku tahu `Saya yang menurut perintah’ je. Rupa-rupanya macam-macam perintah ada.

Yang lawaknya Hanipa Maidin bukan berhujah dalam mahkamah, tapi dalam blog di internet. Hujah di mahkamah dah habis, kira macam dah tiup wisel la. Hanipa Maidin pi berhujah lagi diluar mahkamah. Tulis macam-macam dan minta sekalian rakyat Malaysia baca.
Mungkin ramai yang marah bila aku kata Hanipa Maidin macam buat lawak. Tapi yang aku lebih terkejut lagi, ada yang lebih lawak lagi. Dalam Hanipa Maidin pi berhujah di luar mahkamah tu, rupa-rupanya Dato’ Hafarizam peguam UMNO pegi sambut pulak hujah tu dan berhujah di luar mahkamah jugak. Macam-macam dia tulis, mintak rakyat Malaysia baca jugak..

Itu yang lawak tu, ibarat main bola la.. Tiba-tiba kita dengar macam bunyi wisel panjang, tanda permainan dah habis. Ada satu kumpulan bersorak kata `team’ dia menang, kemenangan bersejarah. Tapi `team’ satu lagi buat tak kisah je, terus jugak ambil bola dan gelecek-gelecek bola tu nak `score’ ke pintu gol lawan. Yang lawaknya `team’ yang mengaku menang tadi pergi patah balik jugak ke padang berebut bola tadi. Suruh jugak orang ramai tengok. Kalau dah mengaku menang, balik rumah laa, cuci kasut bola. Ini tidak, patah balik pergi berebut bola tadi.


Itu yang aku penin dan celaghu, sapa yang tiup wisel tadi? Pengadil ke penjaga garisan? Kalau pengadil yang tiup, kira settle la, tapi kalau penjaga garisan yang tiup, itu pasal la `team’ yang kononnya kalah tu selamba saja pi sambung main bola dan `team’ yang kononnya menang tu terpaksa sambung balik perlawanan. Masalahnya sapa patut jadi pengadil? Kedua-dua `team’ sudah minta supaya sekalian penonton tengok, maknanya mereka minta penonton (rakyat) jadi pengadil ke?

Patah balik pada DUN Perak. Aku cukup risau bila DUN bersidang 7 Mei nanti. Bukan apa, malam tadi aku tengok berita. Ada perlawanan bolasepak di Argentina disiarkan dalam berita malam tadi. Dihujung perlawanan, pemain-pemain bergaduh satu sama lain. Bukan pemain saja, pengadil pun tumbuk menumbuk dengan pemain. Bukan pengadil saja, penonton kat `stand’ pun turun pi balon sekali sapa yang depa tak puas hati.

Itu yang aku risau, takut peristiwa lawak sedih kat stadium Argentina tu berlaku kat DUN Perak. Maklumlah, punca-puncanya ada. YB Nizar pun ada sebut, bila DUN bersidang acara pertamanya ialah pertandingan berebut kerusi Menteri Besar dulu, sebab dia tak pernah letak jawatan Menteri Besar. Mahkamah pun tak isytihar jawatan Menteri Besar dia gugur. Lepas tu berebut tempat pulak sapa kerajaan dan sapa pembangkang. YB Hamidah dari UMNO pun ada sebut, Speaker berkuasa penuh menentukan tempat duduk ADUN.

Lepas tu apa pulak akan jadi tak tahulah. Takkan nak bawak polis dan FRU masuk dalam Dewan Persidangan. Takat letak polis dan FRU kat pintu pagar bangunan SUK boleh lah. Kalau bawak masuk polis dan FRU sekali dengan water cannon masuk dalam dewan, tu lagilah lawak.. Peristiwa sangat bersejarah.

Kalau Speaker YB Sivakumar tiba-tiba jadi Adun lompat macam 3 ekor katak tu mungkin UMNO/BN boleh kata masalah mereka selesai. Tapi dalam keadaan Pakatan Rakyat menang 4 kali pilihan raya kecil, adakah YB Sivakumar yang begitu tegas melawan BN sebelum ini akan melompat?

Entahlah, `thrill’ sungguh aku rasa DUN Perak ni.. Macam siri cerita-cerita `box office’ kat TV je..

Alahai – jumpa lagi.
Allah mentaqdir segala sesuatu..
Suaradarigunung Semanggol – Kalau aku boleh jerit, lama dah aku buat satu jeritan bergaung dari puncak Gunung Semanggol.

AZAM BARU SUARADARIGUNUNG SEMANGGOL..


Untuk memastikan blog Suaradarigunung Semanggol ini selalu ada bahan berita, maka pengendalinya membuat keputusan tidak hanya akan menumpukan kepada artikel-artikel original sahaja. Sebaliknya pelbagai artikel akan di masukkan dari semasa ke semasa.

Akan ada beberapa kategori artikel seperti artikel ORIGINAL, artikel pilihan, artikel menarik, artikel hangat, artikel tangkap muat dan sebagainya. Blog Suaradarigunung Semanggol perlu dimajukan kerana Gunung Semanggol mempunyai sejarahnya yang tersendiri di Malaysia.

Gunung Semanggol mempunyai auranya yang tersendiri sejak parti Hizbul Muslimin ditubuhkan dikaki gunungnya dan seterusnya parti Hizbul Muslimin dijelmakan pula sebagai Parti Islam Semalaysia dan seterusnya berkembang lagi dengan penyertaan Pas ke dalam Pakatan Rakyat.

-tk-

'Saya tidak terfikir lagi'


(Dato' Najib akan buat perubahan dalam barisan kepimpinan UMNO sekembalinya dari Indonesia Jumaat ini. Sumber berita daripada Utusan Online)

PUTRAJAYA 22 April - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau belum memikirkan saf baru melibatkan rombakan jawatan utama parti termasuk pengerusi perhubungan negeri yang dijangka diumumkan oleh Majlis Tertinggi (MT) Jumaat ini.

''Saya tidak terfikir lagi, balik dari Indonesia baru fikir," kata Presiden UMNO itu.

Perdana Menteri berkata demikian pada sidang akhbar mengumumkan liberalisasi dalam sektor perkhidmatan di pejabatnya di sini hari ini.

Najib ditanya mengenai kemungkinan terdapat perubahan besar yang akan diumumkan beliau melibatkan pengerusi-pengerusi badan perhubungan UMNO negeri.

Turut dijangka terlibat ialah jawatan Ketua Penerangan, Setiausaha Agung dan Setiausaha Kerja serta Bendahari yang baru untuk parti.

Selasa, 10 Mac 2009

PPSMI: Catatan Duka Seorang `Sir' Sementara...

(Sudah begitu lama blog ini aku tak dapat up date. Akhirnya hari ini aku putuskan untuk keluar dari janji yang aku buat dalam diri sendiri untuk mengelak daripada meletakkan artikel copy-paste dalam blog ini. Masa yang terlalu terbahagi akhir-akhir ini menyebabkan pena tidak lagi tajam. Aku dapat naskah di bawah dari kisah seorang sahabat yang pernah menjadi guru sementara sebelum berangkat ke over sea menyambung pengajian. Kisahnya begitu menyentuh perasaan, terutamanya perasaanku. Kerana aku terasa salah seorang dari murid cikgu Haikal tersebut adalah aku sendiri.)



“Hah…Mama dah carikan kerja utk hang. Jadi cikgu kat sekolah kawan Mama. Mau?” kata mak aku semasa kami dalam kereta, pulang ke Kedah dari KMB setelah aku tamat belajar disitu sekitar 2004.

Aku memandang kosong ke luar tingkap kereta. Warna merah senja masih lagi di situ, belum pudar.

Cantik!

“Ma…malaih lah. Kalau boleh oghang nak gheja macam Tu’ai, jadi maintainer kat kelab bowling kat City Plaza tu. Best sket” aku menjawab malas sambil mataku menjeling kepada Tu’ai, adikku di sebelah. Fikirku, bolehlah kami keluar petang ke tempat kerja, dan balik awal pagi. Sambil-sambil tu bolehlah merewang ke tengah-tengah bandar Alor Setar sebelum balik ke rumah. Bila lagi?

“Hang jangan nak menggatai. Mama dah habaq dah kat Cikgu Cek Puteh. Esok lusa hang pi daftaq kat sekolah tu” mak aku membantah.

“Laa…ingatkan nak bagi option tadi. Rupa-rupanya arahan mandatori” cetus hati aku.

Merah senja di luar tingkap makin pudar. Lebuh raya PLUS nampak kosong. Seperti fikiran aku yang kosong.

“Apa aku nak buat kat sekolah tu nanti? Dah la kena mengajaq Bahasa Inggeris. Tingkatan 4 ngan 5 plak tu. Sastera lagi. Mampoih.” Hati aku terus merungut tak puas hati. Tapi apa boleh buat, arahan mandatori…

Habis takat tu…

Bermula episod diri aku diberi peluang mengenali sendiri apakah erti perjuangan memartabatkan anak bangsa dari kaca mata seorang guru, yang dikerah mendidik pelajar luar bandar. (kalau boleh aku katakan, sekolah yang aku pergi ini adalah sekolah yang lagi luar daripada ‘luar Bandar’. Maknanya sangat sangat terpencil).

Aku menjadi cikgu ganti, menggantikan seorang guru lain yang cuti bersalin. Dan sekali sekala aku masuk ke kelas-kelas tingkatan yang lain, menjenguk apa yang pelajar-pelajar di sana sedang buat sewaktu ketiadaan guru.

Biar aku ceritakan…

1. Biasalah, sesi perkenalan menjadi modal utama untuk cikgu baru macam aku untuk ‘skip’ hari pertama daripada kena mengajar. Ni yang berlaku di sebuah kelas tingkatan 5 Sains 1.

“ Ok class, My name is Haikal. Your new English teacher here, for 2 months bla..bla..bla” Now I would like to know each of you before I begin my lesson. Please state your name, ambition and where are u from. Ok. let us start from u”
“ err…sir. Saya tak pandai cakap Inglis. Bahasa Melayu boleh dak?”
Aku jawab “ Cuba, takpa salah pun. saya pun bukan pandai cakap omputih”
“ I is Syahrul (nama rekaan)”. Yang lain saya tak gheti sir”
“Ok takpa…teruskan. Saya tanya tadi cita-cita dan tinggai kat mana”

Dalam hati “mampoih, macam mana aku nak mengajaq dalam BI ni? Kalau kelas 5 sains 1 pun tak berapa gheti BI?”

2. Ada satu hari tu, aku kena masuk ke kelas tingkatan satu. Cikgu yang sepatutnya berada dalam kelas tu tak datang. Sekali lagi, sesi berkenalan, sebab aku memang tak disuruh mengajar pun.
“ Nama saya cikgu Haikal. Saya masuk mai ganti cikgu Sharifah. Saja nak berkenalan dengan kamu semua. Soghang-soghang bangun dan habaq nama dgn cita-cita. Hah kamu…mula”
“ Nama saya Rosdi. Cita-cita nak jadi..emm…perbaik gheta. Pak saya ada kedai pomen gheta kat pekan”
“OK takpa, kamu” aku menuding pada seorang pelajar yang berdiri kat pintu, gaya macam nak lari keluar dari kelas.
“ Saya…nama ku Nazim. Cita-citaku nak jaga lemu pak ku” (memang disebut LEMU, bukan lembu). Jawab Nazim serius dalam loghat Kedah hulu yang pekat. Lembu pun kedengaran lemu. Saya diganti dengan ku…bahasa diri kebiasaan bagi orang-orang kampung kat tempat aku.
“Sebab apa nak jaga lembu?”
“Ku tak tu dey. Pak ku banyak Lemu. Dia pun dok sughuh ku jaga lemu dia”`
“ Oo…ya ka?” aku menyetujui kata-katanya

Dalam hati “ Bertuah betul orang Bandar. Anak-anak semuanya bercita-cita tinggi. Nak jadi doctor. Saintis. Paling koman pun Polis. Tapi kat sini. Cukuplah kalau boleh warisi apa yang bapak depa ada. Mungkin depa ni masih naïve…tapi kalau dibandingkan dengan anak Bandar yang sebaya, depa ni jauh naïve. Seolah-olah tiada langsung cita-cita”

Dan memang benar, pelajar-pelajar di sini memang datang ke sekolah bukan kerana ingin belajar. Tetapi kerana ingin berjumpa kawan-kawan. Itu sahaja dorongan mereka utk terus berada di sekolah dari jam 730 hingga jam 2 petang. Dan peluang daripada kedatangan mereka ke sekolah itulah yang digunakan oleh guru-guru untuk menumpahkan ilmu yang sedikit buat bekalan anak bangsa ini.
Lalu…bagaimana ingin mempunyai cita-cita?

3. Aku diberi amanah untuk menanda kertas peperiksaan Bahasa Inggeris dan English in Science and Technology (EST). Tingkatan 4 dan 5.
Untuk tingkatan 4…semua fail untuk 2 mata pelajaran yang aku tandakan tu.
Untuk tingkatan 5…ada seorang 2 sahaja yang lulus ataih pagaq EST. Untuk Bahasa Inggeris, ramai jugak yang lulus. Tetapi sekadar lulus. Tak lebih dari itu. Itu pun…aku kena jadi seorang pemeriksa yang sangat bermurah hati.

Bila ditanya kepada guru-guru lain tentang perkara itu “ Hah…besa la tu. Budak-budak sini bukan gheti BI. Lepa (Depa/mereka) bukan mau pun belajaq BI. Sabit tu (sebab tu) kalau hang tengok budak-budak yang ambik Sains dgn Math dalam BI kat sekolah ni semua tak luluih. Habuk pun takdak” kata seorang cikgu lelaki, sambil menghisap rokok daun yang digulung sendiri, sewaktu kami bersembang di kantin.

“ Kalau dulu, waktu dua-dua subjek ni lepa ajaq dalam BM pun student tak pandai. Ni pulak nak mengajaq dalam BI. Punah anak bangsa hang tau dak Haikal. Lepa ni orang kampung. Satu hapa pun depa tak gheti. Lagi nak suruh belajaq dalam BI. Apa punya otak pun aku tak tau” sambung cikgu itu dalam nada kesal bercampur geram. Ada juak-juak meluat di mukanya.

“PUNAH ANAK BANGSA” terngiang lagi perkataan tu dalam fikiran aku sampai sekarang.

4. Satu hari tu, aku masuk mengajaq BI kat dalam kelas tingkatan 4 Perdagangan. Ada 4 orang pelajar lelaki sewaktu aku sedang mengajar di depan, depa dok berkumpul 4 orang dalam satu bulatan kat belakang.
“ Tu kat belakang, hangpa tengah buat apa tu” Aku dah tak cakap Inggeris lagi dah dalam kelas (Pelik kan. Mengajar bahasa inggeris dalam bahasa melayu. Tapi apa boleh buat... Payah. Susah. Kesian dengan mereka yang tak faham apa-apa)
Ada budak lain yang tolong jawabkan soalan aku tu, tapi dalam keadaan yang separuh berbisik:
“ Depa tengah main Sing-Kong Sir”
“Menatang apa tu?” aku bertanya kehairanan.
“Judi” (Sing-kong: lambung duit syiling, pastu pakat-pakat teka kepala ka ekoq. Sapa betoi dia dapat duit syiling tu)
“ Budak-budak kat belakang…baik hangpa berenti sebelum saya panggil PK HEM. Kalau tak mau belajaq, Hangpa dok diam-diam kat belakang. Tidoq!” tegas aku dalam nada separuh bengang.

“Ok sir” jawab seorang dari mereka dalam keadaan senyum. Aku hanya mampu geleng kepala dan teruskan pengajaran “Mari Mengenal Bahasa Inggeris”

“Ok kelas…kalau I…padan dengan Am”
“I am”
“kalau he atau she yang maksudnya Dia…padan dengan Is”
“He is”

Itu antara situasi-situasi yang berlaku di luar Bandar. Ops…di luar lagi daripada luar bandar. Sekolah tempat aku mengajar tu, ada antaranya pelajar Siam. Memang di utara Kedah ramai orang Siam dan anak-anak mereka ini dihantar ke sekolah-sekolah kerajaan, macam juga orang melayu.

Kesimpulan mengenai sistem pendidikan Malaysia:
1. Hancur.
Sistem pendidikan yang hanya memihak kepada orang di Bandar memang hancur. Dulu, bolehlah pelajar-pelajar luar Bandar ni dapat walaupun sedikit ilmu sains dan matematik kerana mereka faham apa yang diajar sebab diajar dalam bahasa ibunda mereka. Sekarang? Tak dak!
Alasannya adalah untuk mewujudkan semangat persaingan. Kalau tak dipaksa, mereka tak akan belajar. ITU ALASAN SEMATA-MATA.
Berpijaklah ke bumi yang nyata wahai menteri-menteri terutamanya Menteri Pelajaranku! Cuba kalau hangpa yang datang mengajar di sekolah tu. Hangpa akan jadi tertekan seperti juga guru-guru di situ. Malah sepatutnya lebih lagi. Sebab hangpa menteri yang bertanggungjawab atas apa yang terjadi. Budak-budak di sekolah hilang langsung minat untuk belajaq sains dan matematik. Sampaikan soalan 4 divide by 2 equals? pun…terkial-kial nak kena cari makna divide dan equal dulu.

2. Tak adil.
Cikgu-cikgu di luar Bandar dikerah melakukan macam-macam. Buat kelas tambahan itu ini. Pelajar bukan datang pun. Sebab mereka tak mahu.
Sebab apa tak mahu?
Sebab meraka tahu mereka tak akan lulus. Sebab mereka tahu, mereka akan hanya masuk paling tinggi pun ke politeknik. Sebab mereka tahu, mereka tak akan ke mana. Tiada universiti dalam hidup mereka. Tiada obersi. Tiada. Tiada. Tiada.
Sebab apa mereka sebegitu, begitu pessimistic?
Sebab mereka tak mampu. Nak cari guru tuisyen macam orang Bandar? Nak beli buku ulangkaji 2 3 buah? Mana nak cari duit?
Ayah buat bendang, tu pun tumpang bendang orang lain. Mak menoreh getah. Tu pun pokok getah orang lain. Abang gheja pomen gheta. Tu pun kat kedai pomen orang lain. Mana ada duit?
Apa yang mereka ada?
Mereka ada kelas tambahan di sekolah yang jadi tenaga pengajarnya adalah cikgu-cikgu sekolah tu jugak. Yang pagi tadinya mengajar dalam kelas, dan mereka tak faham. Petang, bila buat kelas tambahan, cikgu yang sama jugak. Mestilah tak faham jugak.

“Habeh tu, buat apa aku mai kelas tambahan?”

3. Mengarut.
Tok-tok menteri…saya nak tanya. Ada dak hangpa hantaq anak-anak hangpa mengaji kat sekolah kerajaan macam yang kat atas? Paling koman pun, SBP. Paling koman pun MRSM. Dan yang paling menarik…pak menteri yang dok push supaya system yang ada sekarang ni diteruskan pun hantaq anak belajaq kat sekolah swasta.
Tolonglah pak menteri. Berpijaklah di bumi nyata. Takkan bila hari ni Bahasa Inggeris menguasai dunia, kita belajaq Sains matematik dalam BI. Esok lusa kalau bahasa Cina naik jadi bahasa utama dunia? Waktu tu hangpa terketaq-ketaq nak suruh orang melayu belajaq sains matematik dalam Bahasa Cina? Tak ka bercelaru sistem pendidikan Malaysia waktu tu
Kita ada golongan luar Bandar yang mereka nak juga pandai sebagaimana orang-orang di Bandar. Tapi mereka kurang kemampuan. Janganlah aniaya mereka. Kalau menteri sendiri pun tak hantar anak belajar di sekolah kerajaan…tidakkah itu mengarut???


Sedikit pengalaman manis:

1. “Sir…awat cepat sangat sir mengajaq kat sini? La ni baru kami rasa seronok sikit belajaq English.”

2. “Sir. Lepaih sir keluaq dari sekolah ni…saya malaih mai sekolah lagi dah.Tak best dah lepaih nih”

3. “Sir, nanti kalau sir dah pi obersi, jangan lupa hantaq gambaq sir kat kami naa. Kami nak pi…mesti tak buleh punya. Tengok gambaq sir main salji pun kami dah rasa best. Sir jangan lupa naa.”

4. “Sir, nak ambik gambaq dgn Sir. Nanti takdak la kami teringat selalu kat sir”

5. “Ni sir…hadiah daripada kami. Kami share duit ramai-ramai ni sir” (menitis air mata aku bila aku bukak kotak hadiah tu…hadiahnya hanyalah sebuah jam loceng yang baru semalam aku nampak ada dijual di pekan sehari…harganya hanyalah sekitar RM12)

5. “Sir…ni ada sorang budak dia lukih gambaq sir. Tapi dia malu nak bagi sendiri kat Sir”
“Mana dia?” aku tanya kembali.
“Dia tak mau mai sekolah hari ni…dia sedih”

6. “Ok kelas, hari ini hari last saya ajaq hangpa kat sini. Insha Allah kita jumpa lagi. Kalau sapa-sapa nak kontek saya, saya bagi alamat emel. Kalau ada yang pi CC (cyber café) kat pekan tu nanti, tulih la emel kat saya. Tulih dalam bahasa Inggeris tau. Biaq salah pun takpa. Kalau dak…saya tak mau layan”

Dan sehingga ke hari ini…memang ada yang menulis pada aku…tapi dalam BI yang dhaif. Takpalah…semangat kalian aku hargai.

Dan ada juga pengalaman-pengalaman lain…yang tak manis diceritakan di sini. maklumlah…cikgu muda katakan.

-Selesailah sudah naskah sahabat ini aku copy paste-
Ayaq mata aku menitis di penghujung naskah ini kerana cerita ini sebenarnya menggambarkan kisah hidup kami murid-murid dhaif di sekolah luar bandar 25 tahun dahulu. Tapi kami masih beruntung sebab sains dan matematik diajar dalam bahasa melayu. Dapatlah juga kami faham apa yang diajar..

-SUARADARIGUNUNG SEMANGGOL-

Khamis, 15 Januari 2009

HUDUD, Apa yang nak ditakutkan?

Salam Sejahtera untuk semua.
Sudah begitu lama saya tidak berkesempatan menulis. Di dalam fikiran, begitu banyak yang hendak ditulis tetapi jari-jemari ketiadaan masa untuk mengetuk kekunci komputer. Pilihan Raya Kecil Kuala Trengganu dan isu Hudud yang hangat diperkatakan selepas debat antara Naib Presiden Pas dan calon Ketua Pemuda UMNO begitu menghambat perasaaan saya. Media menggambarkan seolah-olah Pakatan Rakyat akan pecah akibat isu Hudud.
Dengan diri yang serba kekurangan, saya menggunakan kemudahan maya ini untuk menyampaikan suara hati, juga membantu Pas dan Pakatan Rakyat dalam PRK Kuala Terengganu, bahawa Hudud bukan isu yang perlu ditakuti. Saya ingin menyampaikan dalam ayat yang paling mudah kepada semua orang bukan Islam dan juga orang Islam di Malaysia tidak kira apa partinya MCA, MIC, DAP, PKR, KP PAS, UMNO dan lain-lain bahawa tiada apa yang perlu dibimbangkan terhadap Hudud, bahkan orang bukan Islam sangat wajar menyokong Hudud sebagai sokongan moral kepada kawan-kawan mereka yang beragama Islam.




























































































































































Khamis, 30 Oktober 2008

MB NIZAR WAJAR ADA MASJID(MUSOLLA) SENDIRI DI NEGERI PERAK



Sekitar tahun 1988 negara kita Malaysia dilanda kemelesetan ekonomi yang gawat. Berpuluh kilang di Pulau Pinang dan di kawasan perindustrian yang lain ditutup kerana pengusahanya tidak lagi mendapat keuntungan yang memberangsangkan. Ianya meninggalkan kesan yang tidak kurang dahsyatnya apabila ribuan pekerja sektor perkilangan diberhentikan kerja dalam keadaan nasib mereka terkapai-kapai. Saya berada di dalam tingkatan empat pada masa itu dan terlibat di dalam satu latihan kumpulan perbahasan. Guru Bahasa Malaysia saya memberikan tajuk adakah wajar pengusaha-pengusaha kilang yang mempunyai dana asas di luar negara menutup kilang-kilangnya di Malaysia sewaktu zaman gawat.

Dengan sedikit maklumat yang ada dan jiwa yang penuh kritis saya membahaskan tajuk tersebut dengan hati yang separuh terbakar. Mana mungkin pengusaha-pengusaha kilang ini menutup kilang-kilang mereka pada zaman gawat dan meninggalkan rakyat Malaysia terkapai-kapai sedangkan mereka telah diberikan keistimewaan `duti eksais’ percuma selama lima tahun (pengetahuan ini didapati daripada pelajaran ilmu perdagangan dalam tajuk zon perindustrian bebas). Selama lima tahun tersebut pengusaha kilang telah mengadakan shif bekerja tiga kali sehari yang membawa maksud mereka sebenarnya telah menikmati `duti eksais’ percuma selama lima belas tahun lamanya. Mereka-mereka ini sebenarnya telah pun `berenang dalam mas, bersayap wang kertas’ sebelum cabut meninggalkan Malaysia, ujar saya lagi. Cikgu Bahasa Malaysia saya menggelar saya `pembahas kontroversi’ selepas sesi latihan itu. Manakan tidak arwah ayah saya turut terkesan apabila harga barangan komoditi merudum ke tahap tidak mampu menanggung sara higup lagi pada zaman itu. Harga kelapa kering yang diusahakannya jatuh tertiarap sehingga ketahap kami jadi orang berhutang dan akhinya terpaksa hijrah kembali ke Kaki Gunung Semanggol yang nostalgik ini.

1988 itu menyaksikan bukan sekadar kegawatan ekonomi tetapi juga kegawatan politik dalaman UMNO/BN dan juga kegawatan politik negara. Tengku Razaleigh Hamzah and the gangs dan Dr Mahathir Mohamed and the gangs adalah watak-watak utama sekitar gawatnya suasana ketika itu. Akhirnya UMNO pecah dua dan lahirlah Semangat 46 yang diketuai oleh Tengku Razaleigh Hamzah. Dr Mahathir selaku Perdana Menteri merasa begitu lemah dan terpaksa menganjurkan pelbagai perjumpaan bersama rakyat yang dipanggil SEMARAK dan juga terpaksa menggunakan kekangan ISA. Tahun 1990 akhirnya menjelang dan Pilihan Raya Umum perlu diadakan bagi mencari mandat baru. Tengku Razaleigh Hamzah dengan Semangat 46nya dilihat begitu yakin untuk mengambil alih kerajaan.

Disebelah Pantai Timur Tengku Razaleigh menjalin hubungan erat dengan Parti Islam Semalaysia PAS dan di sebelah Pantai Barat Tengku Razaleigh menjalin pula hubungan erat dengan Demokratik Action Party DAP. Tokoh-tokoh utama di dalam PAS pada ketika itu adalah almarhum Tuan Guru Haji Yusuf Rawa, Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat, almarhum Ustaz Haji Fadzil Mohd Noor dan Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang. Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang menulis satu kertas kerja bertajuk `Tahaluf Siyasi’ dan itulah kali pertama saya mendengar istilah itu. Ia menambah ilmu saya tentang bagaimana Parti yang memperjuangkan Islam boleh berpakat dengan parti yang tidak memperjuangkan Islam.

Di Pantai Timur nama Tuan Guru Nik Abdul Aziz secara tiba-tiba menyinar cemerlang akibat daripada kerjasama itu. Kerjasama itu di panggil Angkatan Perpaduan Ummah APU dan kelihatannya negeri pantai timur terutamanya Kelantan begitu terkesan dengan kewujudannya. Ianya secara langsung atau tidak langsung mungkin kerana nama Tengku Razaleigh, Presiden parti baru Semangat 46. Tengku Razaleigh, kerabat diraja yang pernah menjadi Menteri Kewangan berwibawa, dipercayai telah dinafikan hak untuk jawatan yang lebih tinggi dalam parti dan akhirnya di buang pula oleh UMNO adalah anak jati negeri Kelantan. Ianya membangkitkan ombak semangat di kalangan penduduk Negeri Kelantan dan di mana-mana dilaungkan Tengku Razaleigh adalah calon Perdana Menteri yang lebih layak. Tuan Guru Nik Abdul Aziz selaku Pesuruh Jaya PAS Kelantan mengisi semangat dan gelombang rakyat dengan roh Islam dan dilihat tenang menemani Tengku Razaleigh dimajlis-majlis bersama rakyat terutamnya di Negeri Kelantan.

Pilihan raya 1990 berlangsung begitu hangat dengan semangat waja Tengku Razaleigh untuk menumpaskan UMNO/BN. Tengku Razaleigh bukan sekadar ke Pantai Timur dan ke Pantai Barat tetapi turut ke Sabah dan Sarawak. Beberapa hari sebelum pilihan raya Tengku Razaleigh terperangkap dengan gambarnya memakai tengkolok tradisional bertanda campur (+) di sebuah majlis di negeri Sabah. Surat khabar pantas menabur fitnah, Tengku Razaleigh sudah jadi Kristian!!!.

Dengan keadaan media massa di tahun 1990, tidak banyak yang dapat dilakukan selain di negeri Kelantan. Dengan penerangan gerak gempur di Kelantan, rakyat teguh di belakang PAS dan APU. Pilihan raya itu menyaksikan kumpulan Tengku Razaleigh tewas teruk kecuali di negeri Kelantan. Kelantan menyaksikan calon-calon yang majoritinya diisi oleh parti PAS menang besar dengan majoriti 39-0 (kalau tidak salah ingatan saya).

Tahun 1990 memberi harapan dan nafas baru kepada para pejuang Islam yang merasa begitu kecewa sebelumnya dengan kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam UMNO pada tahun 1982. Tok Guru Nik Aziz muncul dengan imej baru sebagai MB Kelantan dan pada masa itu istilah Inggeris yang begitu popular ialah HUDUD LAW. Tok Guru Nik Aziz begitu zuhud, dan di dalam keadaan media massa yang tidak begitu baik sekitar 1990, berita berkenaan zuhud dan tawadhuk beliau sentiasa meniti dari mulut ke mulut rakyat, bukan sekadar rakyat Kelantan bahkan rakyat Malaysia. Bukan sekadar rakyat Malaysia, bahkan juga penduduk di timur tengah. (saya pernah ke timur tengah sekitar 1996 dan pertanyaan yang kerap diterima ialah berkenaan Nik Abdul Aziz, melihat videonya mendirikan solat dhuha sebelum menguruskan negeri menyebabkan ada orang Arab yang menitiskan air mata..)

Tuan Guru Nik Abdul Aziz membawa pendekatan baru di dalam mengurus negeri. Dia memperkenalkan pendekatan bertaqwa. Dia memperkenalkan bahawa mengurus negeri dengan beramal ibadah tidak boleh dipisahkan. Dia memperkenalkan bahawa bersolat dan mengurus negeri adalah dua perkara yang sangat rapat. Dia membangunkan masjidnya di Pulau Melaka seiring dengan dia membangunkan negerinya di timur semenanjung. Masjidnya menjadi begitu tersohor. Ada orang datang ke Kelantan semata-mata kerana hendak melihat masjid Nik Aziz. Di masjidnya waktu subuh bagaikan waktu Jumaat. Orang menadah ilmu daripada kuliah-kuliah dimasjidnya. Dia bukan sekadar membangun batu-bata, tetapi dia membangun roh dan jiwa manusia. Di masjid itu orang memahami bagaimana Islam hendak memerintah dan di masjid itu orang melihat bagaimana masjid boleh dijadikan pusat kepada pembangunan dan pemerintahan sebuah negeri.

Dia mengharungi cubaan yang tidak sedikit. Cubaan daripada mereka yang tidak mahu Islam dijadikan sebagai asas rujukan di dalam setiap urusan kehidupan ini. Keakrabannya dengan rumah Allah menjadikan dia begitu kebal dengan segala cubaan yang mendatang dan yang dirancang oleh kelompok musuh. Akhirnya tahun 1998 menyaksikan satu lagi senario episod politik Malaysia yang penuh debaran. Ianya menyaksikan pertembungan ketara antara Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamed. Ianya membawa kepada terpenjaranya Anwar selama enam tahun di penjara Sungai Buloh, Selangor.

Pemenjaraan Anwar memberi impak besar kepada politik Malaysia. Ia membawa kepada penubuhan parti politik baru keADILan dan sokongan yang bertambah kepada parti PAS. Akhirnya pada pilihan raya tahun 2000 seorang lagi sahabat Tuan Guru Nik Abdul Aziz iaitu Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang diberi amanah oleh Allah dan rakyat Trengganu untuk mentadbir negeri tersebut, juga di timur Semenanjung. Tuan Guru Haji Hadi menggunakan pendekatan serupa sejak sekian lama. Dia terkenal dengan masjidnya di Rusila, Marang Trengganu. Masjid besar yang mampu menampung jemaah melebihi 5000 orang setiap pagi kuliah Jumaatnya. Berpusatkan masjid dan berorientasikan taqwa, dua orang ulama PAS menjadi menteri besar di dua buah negeri.

Tahun 2004 menjadi parut catatan duka yang begitu dalam kepada penyokong dan pendokong Parti Islam. Kerajaan Islam Trengganu tenggelam dalam badai Gelombang Biru dan Kerajaan Islam Kelantan tinggal nyawa-nyawa ikan. Jika dilihat ganasnya gelombang biru yang memukul, dengan segala tipu helah dan onar khianatnya, seolah-olah parti Islam tidak akan diendahkan orang lagi. Tetapi dua orang ulama’ tadi teguh memegang amanah Tuhan, meneruskan dakwah dan terus menjadikan masjid sebagai pusat operasi dan orientasi dakwah. Masjid Pulau Melaka dan Masjid Rusila terus bernyawa dan berdenyut di balik kerasnya ombak pukulan musuh.

Sesungguhnya ujian Allah bukanlah setakat kesusahan, bahkan kesenangan dan kemenangan juga adalah satu ujian. Sekali lagi pilihanraya tahun 2008 datang dengan warna yang penuh berbeza. Tsunami politik yang begitu terkenal, merubah lanskap politik Malaysia menjadi amat berbeza. Salah satu negeri yang menerima kesan Tsunami dan perubahan lanskap yang begitu ketara adalah negeri Perak Darul Redzuan. Negeri yang menyaksikan sebuah kerajaan baru, kerajaan kaki tiga ditubuhkan di atas kerjasama 3 parti yang anti UMNO/BN. Kerajaan ini pada awalnya dilihat tidak stabil, rapuh dan menanti belah bila-bila masa kerana komponen kaum dan nisbah wakil partinya yang dilihat tidak seimbang. Pesuruhjaya Pas Perak, Ustaz Ahmad Awang teguh dengan pendiriannya tidak bekerjasama dengan UMNO/BN dan memilih bekerjasama dengan 2 parti lain yang anti UMNO/BN. Akhirnya kerajaan kaki tiga diwujudkan dan dengan taqdir Allah SWT Menteri Besarnya dipilih daripada tokoh parti Pas yang mempunyai jumlah wakil yang paling kecil dalam kerajaan. Ustaz Ahmad Awang dalam salah satu ucapannya memperkenalkan calon Menteri Besar menyebut bahawa calon Menteri Besar dari Pas adalah seorang yang bertaqwa, seorang profesional, mampu bertutur dalam 2-3 bahasa, mampu memberi khutbah, memberi tazkirah dan berkuliah serta orang yang terkehadapan dalam parti Pas di negeri Perak.

Akhirnya nama Ir Mohd Nizar Jamaludin diumumkan sebagai Menteri Besar Perak mewakili Kerajaan Pakatan Rakyat. Namanya menjadi popular secara tiba-tiba. Masjid-masjid menjemputnya dan surat2 khabar menemuramahnya. Orang Melayu meraikannya, orang China ingin mengenalinya, orang India menunjukkan wajah gembira. Di dalam usaha gigihnya memperkukuh Kerajaannya yang begitu sering dipukul dan dihentam oleh kumpulan lawan, dia sentiasa mengelak daripada membangkitkan isu perkauman, sebaliknya menonjolkan isu nilai-nilai sejagat yag diterima oleh manusia seluruhnya.

Dato’ Seri Ir Nizar adalah Menteri Besar Pakatan Rakyat yang mewakili Parti Pas dan dikenali sebagai orang yang teguh dengan pegangan agama Islamnya. Dia diperkenalkan oleh Pesuruhjaya Pas Perak sebagai orang yang berkemampuan membawa Islam maju kehadapan. Dia berusaha bersungguh-sungguh membuktikannya. Dengan segala kekangan kuasa yang dihadapinya, dia berusaha membawa Islam terus kehadapan. Solat menjadi agenda utama pemerintahannya walaupun kerajaannya didokong lebih ramai oleh orang yang belum Islam. Bulan Ramadhan menyaksikan MB Nizar berkeliling seluruh negeri Perak menghidupkan Ramadhan di masjid-masjid dan ia menarik perhatian rakyat yang tidak sedikit.

MB Nizar bukan ulama seperti dua orang Menteri Besar Pas yang terdahulu, tetapi insya allah dia orang yang soleh. Dia telah menunjukkan contoh yang baik kepada rakyatnya dengan menjadi hamba Allah yang soleh, hamba Allah yang rapat dengan rumah Allah dan Tuhannya. Tinggal lagi MB Nizar belum ada masjid atau musolla sendiri seperti dua orang Menteri Besar Pas yang dahulu. Dua orang ulama’ yang menjadi pelopor kepada pemerintahan berteraskan Islam yang diperjuangkan oleh Pas dan seluruh pendokongnya.

Ketika salah seorang Menteri Besar Pas yang dahulu berhadapan ujian kekalahan di negeri yang diperintahnya, rumah Allah yang dibina terus memberi semangat dan meneruskan `legasi’ perjuangan yang dibawa. Dia tidak tenggelam dipukul ombak kekalahan sebaliknya terus timbul dan berada ditengah medan. Kehilangan kuasa memerintah tidak membawa makna ia turut kehilangan suara berdakwah. Suara dakwahnya terus segar kedengaran walaupun kuasa memerintahnya telah tidak ada. Ia tidak seperti Menteri Besar UMNO yang biasanya akan terus tenggelam dan dilupakan sebaik sahaja tidak lagi memegang tampuk pemerintahan.

MB Nizar adalah daripada Pas, dan Pas menjadikan agenda dakwah sebagai agenda utama perjuangan. Sebagai seorang rakyat, rakyat negeri Perak yang diperintahnya, saya merasakan wajar MB Nizar menuruti jejak langkah dua orang Menteri Besar Pas yang terdahulu, mendirikan masjid sebagai paksi utama kepada pemerintahan dan perjuangan dakwah. Kita tidak dapat meneka berapa lama tempoh pemerintahan MB Nizar, panjangkah atau pendekkah, oleh itu wajar MB Nizar merancang untuk meninggalkan `legasi’ yang menjadi penghargaan dan kenangan kepada penyokong dan pendokong perjuangan Islam di negeri Perak ini.

Mendirikan masjid yang khusus sebagai lambang kemenangan Islam di negeri Perak ini adalah sebahagian daripadanya. Terbayang dimata saya selaku rakyat, MB saya mempunyai masjidnya sendiri di negeri Perak ini yang berdekatan dengan pusat pemerintahannya dan barangkali bersebelahan pula dengan rumahnya sendiri. Jika ditanya orang di mana rumah MB kamu? Dengan bangga saya akan menjawab, "rumah MB saya bersebelahan dengan masjid, masjid yang dibinanya sebagai tanda kemenangan Islam. Jikalau hendak melihat kelibat MB saya, pergilah ke masjidnya, tunggukan azan berkumandang dan insya allah jikalau tidak ke mana-mana, dia akan solat di situ".

Masjid itu menjadi tempat belajar, tempat menghidupkan ilmu dan ibadah. Masjid itu menjadi tempat berteduh, masjid itu menjadi tempat berekreasi, masjid itu menjadi tempat menghidupkan seni dan budaya, masjid itu menjadi tempat mengintegrasikan bangsa, menjadi pusat denyutan nadi dakwah dan menjadi tempat kunjungan rakyatnya. Negeri Perak ini pelbagai bangsanya. Saya terbayang masjid MB saya ini pelbagai bangsa imamnya, ada imam bangsa India, ada imam bangsa China dan ada imam bangsa Melayu, demikian juga pelbagai bangsa makmumnya. Terbayang juga di mata saya masjid MB ini unik reka bentuknya, ada unsur Melayu, ada reka bina China dan ada sentuhan India. Ada pula kelas pengajian bahasa Mandarin dan Tamil untuk memahami ajaran Islam . Oh! Alangkah indahnya impian ini, mungkinkah impian jadi kenyataan? Sebagai rakyat apalah kiranya mempunyai impian, memberi cadangan, berdoa dan seterusnya menunggu dan mengharap.

Khalifah Umar Abdul Aziz memerintah kerajaan Umaiyah tidak lama. Sekadar 3 tahun lebih kata YAB Lim Guan Eng. Tetapi namanya dan tinggalannya terukir indah dari bibir ke bibir umat Islam serata dunia beratus tahun lamanya. Bukan sekadar umat Islam yang mengkaguminya, bahkan juga YAB Lim Guan Eng yang belum bersama Islam turut terasa kehebatan auranya.

Suaradarigunung akan terus bermonolog, mengharapkan impian jadi kenyataan.