Desir mendayu angin berpuput,
Sarang tempua di bawah redup;
Ramadhan lalu Syawal disambut,
Allah lah jua matlamat hidup.
Tahun ini genaplah 32 tahun aku berpuasa Ramadhan. Bermula dari zaman kanak-kanak sekecil umur 6 tahun, ibu dan ayah telah melatih aku berpuasa. Berpuasa itu yang aku fahami semasa kecil hanyalah menahan diri daripada makan dan minum daripada waktu subuh hinggalah azan maghrib.
Sewaktu bersekolah rendah ustazah menambah sedikit makna puasa yang aku fahami semasa belum bersekolah. Puasa itu adalah menahan diri daripada makan, minum serta perkara-perkara yang membatalkan puasa. Apakah perkara yang membatalkan puasa itu? Antaranya muntah dengan sengaja, mengorek hidung dan telinga terlalu jauh ke dalam, menghisap rokok dan lain-lain lagi yang disebut oleh ustazah di sekolah.
Waktu malam kadang-kadang aku mengikut arwah ayah naik basikal mengerjakan solat terawikh di surau kampung kami. Lebih kurang 1 kilometer dari rumah. Semasa pulang biasanya arwah ayah akan berbual-bual dengan imam yang kami panggil Haji Lid sahaja. Pak Ji Lid menghisap rokok daun, rumahnya lebih kurang 400 meter dari surau. Semasa pulang, arwah ayah tidak akan mengayuh basikal sehinggalah sampai ke rumah Pak Ji Lid. Mereka `menuntun' basikal mereka sambil berbual sepanjang jalan. Aku dan abang membonceng di atas pelantar. Perbualan itu biasanya lima belas ke dua puluh minit panjangnya, iaitu sekadar sepuntung rokok daun Pak Ji Lid.
Banyaklah yang mereka bualkan. Pak Ji Lid seorang nelayan. Dia mahir menangkap semilang. Arwah ayah pula pelanggan tetap semilangnya. Sehinggalah suatu hari aku bertanya kepada ibundaku satu soalan `cepu emas'.
"Pak Ji Lid tu tak posa ke?"
"Hish, mana kamu tahu?" soal ibuku heran.
"Ustazah kata hisap rokok batal puasa." kataku lagi.
"Kamu ada nampak dia hisap rokok ke?" tanya ibundaku.
"Banyak kali jugak." kataku lagi.
"Di mana?" tanya ibu lagi.
"Kan ayah selalu berbual dengan Pak Ji Lid setiap kali balik terawikh, setiap kali berbual mesti dia ada hisap rokok." kataku lagi dengan bersungguh-sungguh.
"Huh! Itu hisap rokok waktu malam, mana batal puasa. Yang kamu `mengketedarah' nasi dua tiga pinggan lepas terawih tu tak batal puasa ke?" tanya ibu pula.
"Oh, hisap rokok waktu malam tak batal puasa rupanya!" aku menganguk-angguk. Maklumat yang disampaikan oleh ustazah tak lengkap rupanya..
Hari ini anakku mengulangi soalan yang hampir serupa dengan yang ditanya oleh bapanya 30 tahun lalu..
Aku tersenyum `BAPAK BOREK ANAK RINTIK RUPANYA'.
sdgs- Tulis yang ringan-ringan dulu.
Khamis, 24 September 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan