Ahad, 30 Ogos 2009

RAMADHAN DAN MERIAM BULUH...

Hinggalah suatu hari di bulan Ramadhan anakku bertanya, `Ayah pernah main meriam buluh?'. Aku menjawab dengan ceria, dulu-dulu budak kampung hampir semua pandai main meriam buluh. Kalau tak pandai main macam `tak sah' puasa Ramadhan.

`Macam mana membuatnya?'. Anakku yang berusia sembilan tahun nampak begitu minat.`Dulu ayah duduk di kampung, pokok buluh banyak. Satu lagi main parang dan kapak sudah jadi kebiasaan kami, jadi tak rasa susah nak tebang buluh yang tebal kulitnya tu'.

`Macam mana?', desak anakku lagi.
`Mula-mula kena cari buluh yang tebal kulitnya. Di tempat ayah dulu kami panggil buluh beting, di tempat lain mungkin lain namanya. Kami cari buluh yang telah cukup tua, kemudian tebang di pangkalnya, guna kapak atau parang. Bila dah tebang kami ambil pangkalnya saja lebih kurang sedepa panjang atau tiga-empat ruas'. Aku berhenti di situ.

`Lepas tu?' desak anakku lagi.
`Kena cari batang paip besi untuk `tojoh' ruas-ruas buluh sebelah atas supaya lubangnya bersambung. Hanya ruas sebelah bawah sekali yang tidak di`tojoh' dengan batang besi. Lepas tu kena pinjam `germit' dengan tukang rumah untuk tebuk satu lubang api di pangkal meriam buluh tu. Nasib baik dulu arwah Atuk ada germit, jadi tak payah pinjam orang punya', sambungku lagi.

`Lepas tu?' anakku bertanya lagi.
`Siap la meriam buluh tu', terangku lagi.

`Macam mana nak letupkan?'
`Yang ini kena dengar betul-betul, jangan buat silap'.
`Mula-mula kena beli `karbaid'.

`Apa benda karbaid tu?'
Susahnya nak terangkan, `karbaid tu bahan letupan, ia berketul-ketul macam batu. Sekarang ini orang guna untuk peram buah-buahan bagi cepat masak. Kilangnya ada di Kamunting, dekat dengan Tol PLUS, orang panggil `kilang karbaid'. Karbaid ni bertindak balas dengan air, bila kena air ia akan keluarkan gas yang banyak. Gas ini akan menyala bila disambar api, bila kita kurung gas ini dalam satu bekas dan kemudian cucuh dengan api, ia akan meletup `DAMMM'.

Anakku terkejut, aku ketawa.
`Macam mana nak main?' soalnya lagi.
`Senang saja, ambil air lebih kurang setengah cawan, masukkan dalam meriam buluh tadi, pastikan lubang api sebesar kelingking yang kita germit tadi duduk menghala ke atas supaya air tak tumpah, lepas tu meriam tu kita sengetkan lebih kurang 40 darjah. Lepas tu ambil karbaid lebih kurang sebesar ibu jari, karbaid ni kena simpan tempat kedap udara, kalau tidak dia masuk angin. Masukkan karbaid tu dalam meriam buluh tadi sampai dia jatuh ke tempat yang ada air tadi. Bila kena air, karbaid akan bertindak balas dan keluarkan gas, tunggu lebih kurang 20-30 saat sampai gas dah cukup banyak. Lepas tu ambil daun kelapa kering atau apa saja yang agak panjang yang boleh nyalakan api, cucuh hingga api menyala dan letakkan api tadi pada lubang api di pangkal meriam buluh, apalagi DAMMMM'.

Sekali lagi anakku terkejut, sekali lagi aku ketawa.
`Berdosa tak main meriam buluh ayah?' tanya anakku lagi.

Sukar sekali untuk aku jawab soalan ini..
`Ya, lihat pada keadaan, dulu kami main meriam buluh sebab itu saja hiburan yang ada, hiburan lain tak ada. Bila saja penyimpan mohor besar umum esok puasa atau esok raya maka meriam buluh akan berdentuman serata kampung. Ia seolah-olah satu bentuk komunikasi pula. Orang yang tak ada TV atau radio di rumah pun tahu bahawa kalau meriam buluh berdentum sakan kuatnya dan berbalas-balas pula maknanya esok puasa atau rayalah..'.

`Kalau main meriam buluh sampai tak ingat solat, ganggu orang terawikh dan sampai dapat kecederaan itu berdosalah', hujahku.

`Macam mana boleh cedera?' tanya anakku lagi.
`Jangan bubuh karbaid terlalu banyak hingga buluh boleh pecah, jangan sua muka pada mulut meriam semasa api dicucuh, parah akibatnya'.

`Ohh', anakku hanya mengangguk-ngangguk.
`Puas hati?' tanyaku lagi.
`Ya, nak tengok TV la pulak', katanya.

Aku juga tersenyum puas. Sekurang-kurangnya aku dapat ilham untuk menulis lagi dalam blog ini setelah aku ambil keputusan tak mahu menulis berkenaan tempat sembelih babi, berkenaan H1N1, berkenaan arak, berkenaan Permatang Pasir, berkenaan kepala lembu dan berkenaan bermacam-macam perkara lagi lewat sebulan yang lalu.

sdgS - Ramadhan Kareem.