Selasa, 30 Jun 2009

CERITA HARUSSANI DISEBALIK PERISTIWA..


Sebagai orang banjar, lahir pula di Parit Buntar dalam daerah Kerian,(sdgS al-Keriani). Ustaz Ahmad Awang dan Tan Sri Harussani Zakaria adalah 2 tokoh nasional Melayu Islam bersuku banjar yang kami segani. Bila sebut orang banjar daerah Kerian, istilah banjar yang popular iaitu `Kulaan' (suku-sakat)akan menggamit perasaan. Memang kata orang tua-tua, rombongan Banjar yang mula-mula datang ke daerah Kerian pun adalah mereka yang ada hubungan keluarga. Justeru anak-cucu yang lahir kemudian sudah tentulah kena dengan istilah `kulaan' tersebut. Ustaz Ahmad Awang dan Tan Sri Harussani Zakaria memang banyak berbeza pendapat. Hampir semua penduduk Kerian yang prihatin maklum dengan perkara ini. Ada yang menyokong Ustaz Ahmad dan tidak kurang juga yang menyokong Tan Sri. Untuk mengulas sendiri berkenaan Tan Sri Harussani mungkin tidaklah kena bagi orang yang sangat muda dan tidak mendalami Tan Sri Harussani seperti aku. Justeru aku `petik' tulisan Ustaz Ahmad Awang sendiri yang di ambil dari blog beliau...

"Sekembalinya ke Ipoh, Dato' Seri Harussani menemui Ustaz Ahmad Awang. Ustaz Ahmad berkata beliau tidak akan mahu bekerjasama dengan mereka yang zalim. Bagaimana beliau boleh menganggap sedemikian walhal mereka yang beliau tuduh zalim itu adalah orang Melayu beragama Islam tetapi Ustaz Ahmad lebih bekerjasama dengan orang kafir.

Hasil dari keengganan Ustaz Ahmad adalah senario politik di Perak hari ini. Ikuti luahan pandangan beliau, terhadap beberapa peristiwa yang berlaku di Perak hari ini ..."

Saya tidak berhajat dalam posting ini menjawab pelbagai isu yang dibangkitkan oleh TSHZ dalam majalah berkenaan kerana jawapan saya mengenainya akan disiarkan oleh majalah MM dalam keluaran Ogos akan datang seperti yang dijanjikan penerbitnya. Memang saya tidak berpuashati atas kelewatan menyiarkannya, walhal Datuk Hj Mohamad Nakhaie Hj Ahmad, penaung majalah berkenaan bersetuju temubual dengan saya itu akan disiarkan dalam keluaran Jun atau Julai. Tunggulah jawapan dan pandangan saya mengenai luahan TSHZ nanti.

Apa yang saya nak tulis di sini adalah mengenai cerita Harussani di sebalik peristiwa masa lalu di antara saya dengan beliau. Di sini suka saya nyatakan di antara saya dan TSHZ tidak ada sebarang masalah peribadi. Hubungan baik kami tidak pernah terganggu dengan perbezaan pendapat dan fahaman politik. Saya sejak dari kolej sudah menjadi pendokong PAS walaupun saya belum menjadi ahli. Kami sering berbeza pendapat mengenai isu-isu semasa samada berkaitan politik, hukum-hakam, undang-undang dan sebagainya. Tetapi adakalanya pula kami sependapat dan sependirian dalam isu-isu seperti gejala murtad, gejala sosial dan keruntuhan akhlak, isu kumpulan anti-hadith, isu pendidikan Islam dan sebagainya.

Latarbelakang Peribadi
Mengenai latarbelakang peribadi, kami kebetulan sama-sama berasal dari daerah Kerian, Perak. Saya dilahirkan di Simpang Ampat Semanggol, manakala TSHZ berasal dari Jalan Baru, Parit Buntar. Perbezaan usia kami juga tidak jauh, umur saya 73 manakala Harussani 70. Seperti kebanyakan penduduk Kerian, kami berasal dari rumpun keturunan Banjar (Al-Banjari). Dalam kad pengenalan sebelum merdeka dahulu tertulis di dalam bahasa Inggeris "Malay Banjarese". Dahulunya keturunan Banjar sangat kuat berpegang kepada agama dan ramai yang menjadi ulama'.

Kami mula berkenalan semasa sama-sama menuntut di Kolej Islam Malaya Klang, Selangor. TSHZ adalah penuntut junior saya, kerana beliau memasuki kolej pada 1960 manakala saya sudah berada di tahun akhir dan menamatkan pengajian pada tahun akademik 1961. Setelah tamat pengajian di Universiti Al-Azhar Kaherah, saya balik ke tanah air bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Aminuddin Baki Kuala Lumpur. Ketika itu saya mendapat tahu TSHZ baru saja berpindah ke Pulau Pinang menjawat jawatan Kadhi Besar negeri itu. Sebelum itu beliau bertugas di Bukit Aman dengan PDRM (jawatan beliau saya tidak tahu).

Semasa beliau menjadi Kadhi Besar Pulau Pinang (1966-1984?), beliau aktif berceramah dakwah di Pulau Pinang, Kedah dan Utara Perak. Seingat saya, ketika itu kami belum berbeza pendapat secara yang ketara mengenai isu-isu semasa. Saya masih ingat beliau pernah berkata: "Kita berdua ni sama dianggap sebagai pembangkang kerana pendapat kita yang tegas mengenai isu-isu umat Islam." Waktu itu saya duduk dalam kereta yang beliau memandunya untuk kami pergi ke satu tempat di Pulau Pinang. Saya ketika itu bertugas sebagai Pengarah Dakwah dan Latihan Islam, Bahagian Agama JPM (kini JAKIM).

Berbeza Pendapat
Sebaik sahaja beliau dilantik menjadi Mufti Kerajaan Negeri Perak, mula kelihatan pandangan dan pendirian TSHZ berubah dan berbeza pendapat dengan saya. Antaranya, ikuti beberapa peristiwa seperti berikut:

Peristiwa 1: Ketika berlangsung upacara istiadat pertabalan DYMM Sultan Perak, Sultan Muhibbuddin Azlan Shah Ibnu Al-Marhum Sultan Yusuf Izzuddin Shah (25 tahun yang lalu), saya menghubungi beliau yang baru menjawat jawatan mufti ketika itu meminta beliau menasihati pihak istana supaya tidak melakukan upacara-upacara yang boleh menjejaskan aqidah. Malah saya mencadangkan supaya majlis fatwa mengkaji dan membincangkan istiadat-istiadat yang bercanggah dengan aqidah itu dihapuskan. Beliau menolak cadangan saya sambil mengatakan beliau telah berjaya membatalkan beberapa upacara dalam istiadat tersebut, walhal sebelum itu beliau mempunyai pendirian yang tegas dalam hal-hal seperti ini.
Peristiwa 2: Pada suatu hari, saya menelefon TSHZ dari pejabat saya di bangunan Pusat Islam di Jalan Perdana, Kuala Lumpur. Perkara yang saya bangkitkan ialah tindakan polis menangkap imam dan bilal sebuah masjid di Perak dalam daerah Larut. Tindakan polis itu dibuat kerana kedua-dua pegawai masjid berkenaan dikatakan tidak mempunyai tauliah. Tetapi mereka ditangkap di bawah Akta Kesalahan Agama di bawah undang-undang sivil. Saya minta beliau menasihati pihak polis supaya tidak melakukan tindakan tersebut kerana kes berkenaan adalah di bawah bidangkuasa (jurisdiction) Undang-undang Pentadbiran Agama Islam Negeri. Akan tetapi beliau tidak melayani pandangan saya itu. Kedua-dua orang pegawai masjid itu kemudiannya dibicarakan di bawah Akta berkenaan dan dijatuhkan hukuman penjara. Saya di antara orang yang sangat kuat menentang Akta tersebut yang kemudiannya beberapa tahun setelah dilaksanakan, Akta tersebut terbatal dengan sendirinya kerana sebuah Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur memutuskan penghakiman bahawa ianya ultra vires dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan mengenai agama Islam.
Peristiwa 3: Tragedi Berdarah Memali 1985. Dalam mesyuarat khas Majlis Fatwa Kebangsaan, di mana TSHZ merupakan seorang anggota yang sangat aktif memberi pendapat bahawa mangsa Tragedi Memali, khususnya Asy-Syahid Allahyarham Ibrahim Mahmud (yang lebih dikenal dengan Ibrahim Libya) adalah merupakan kumpulan bughah (penderhaka) dan mereka tidak dianggap mati syahid. Maka wajib dimandi, dikafan dan disembahyangkan sebelum dikebumi. Anehnya sebahagian besar mufti-mufti dalam mesyuarat itu mencadangkan supaya nama mereka yang mati korban tragedi itu tidak perlu disebut dengan lafaz Allahyarham dengan alasan mereka itu penderhaka. Padahal, apabila mereka itu disembahyangkan, maka doa yang menjadi rukun solat jenazah itu adalah memohonkan rahmat dan keampunan kepada mereka yang disembahyangkan. Saya turut hadir dalam mesyuarat tersebut dan memberi hujah mengapa Allahyarham dan kumpulannya adalah mati syahid. Akibatnya saya diusir keluar dari mesyuarat tersebut.
Peristiwa 4: Suatu hari kami berdua menjadi panel forum anjuran Jam'iyah Dakwah Islamiyyah Perak. Ketika itu saya adalah YDP Jam'iyah Dakwah Islamiyyah Selangor dan Wilayah Persekutuan. Saya kurang pasti samada TSHZ ketika itu menjadi YDP Jam'iyah Dakwah Perak. Dalam forum yang diadakan di dewan Jam'iyah Perak di Jalan Seruan, Ipoh, saya berbeza pendapat dengan beliau mengenai beberapa isu semasa, terutama mengenai peraturan yang menyekat kebebasan dakwah di masjid-masjid atau surau-surau. Saya menegaskan bahawa undang-undang bersabit dengan tauliah mengajar/berdakwah tidak semestinya dikenakan ke atas pendakwah yang sudah dikenali mempunyai ilmu Islam dan beramal dengannya, kerana undang-undang itu diwujudkan hanya untuk mengawal supaya ajaran yang bathil dan sesat tidak disebarkan kepada orang Islam. Beliau tidak bersetuju dengan pendapat saya dengan memberi alasan bahawa jika tidak dikawal dengan undang-undang tauliah, maka masyarakat akan berpecah-belah akibat fahaman politik dibawa ke masjid-masjid. Pendapat beliau, fahaman politik hendaklah di"sangkut" di pagar masjid dan jangan dibawa ke dalam masjid. Saya pula berhujah bahawa politik tidak boleh dipisahkan dalam dakwah, yang boleh dielakkan hanyalah politik kepartaian tidak terbawa-bawa dalam berdakwah di masjid/surau. Akhirnya, TSHZ sendiri dilarang berdakwah/berceramah di masjid atau surau di Lembah Klang dua tahun yang lalu apabila beliau sering membangkitkan isu murtad dan mendakwa ratusan ribu orang Islam telah masuk Kristian atau Hindu.
Peristiwa 5: Yang terkini apabila beberapa orang pemimpin DAP Perak seperti Nga Kor Meng dan PKR Perak seperti Chan Ming Kai sering memetik keterangan-keterangan dalam Al-Quran dalam ceramah-ceramah politik mereka, timbullah isu hukum membaca Al-Quran oleh non-muslim. Tiba-tiba Mufti Perak mengeluarkan pendapat beliau (bukan fatwa) bahawa orang bukan Islam "haram"/tidak boleh membaca Al-Quran. Saya pula berpendapat sebaliknya dengan bersandarkan beberapa hujah termasuk bukti surat Rasulullah saw yang dihantar kepada Maharaja Hercules, Raja Rom Benzantina. Dalam surat tersebut, Rasulullah saw menuliskan ayat 64, surah Ali-Imran, yang sudah pasti ayat itu akan dibaca oleh Hercules. Sekiranya orang bukan Islam tidak dibenar membaca ayat Al-Quran, maka Rasulullah saw tidak akan menuliskannya dalam surat Baginda itu. Banyak lagi hujah saya yang boleh diikuti dalam majalah Al-Islam keluaran Bil. 426 Jun 2009.
Demikianlah di antara cerita di sebalik peristiwa Harussani dengan saya. Ada lagi beberapa contoh peristiwa perbezaan pendapat di antara kami berdua, namun perkara yang paling penting membezakan Ahmad Awang dan Harussani ialah pegangan dan fahaman politik kami masing-masing. Saya tidak pernah menyembunyikan pegangan politik Islam saya semenjak belum menjadi ahli PAS lagi. Semasa saya memegang jawatan Pegawai Kerajaan tidak pernah saya menyembunyikan pegangan saya. Manakala Harussani berpegang kepada fahaman politik Melayunya. Saya katakan politik Melayu bukan politik Islam. Walaupun beliau sering membangkitkan isu Islam, tetapi dasarnya adalah Melayu yang menjadi dasar perjuangan UMNO.

Contoh paling jelas apabila beliau yang mendakwa tidak berpolitik atau tidak memihak kepada mana-mana parti politik, tapi begitu bersungguh-sungguh mengajak PAS bergabung dengan UMNO menubuhkan kerajaan Melayu di Perak sebaik sahaja UMNO/BN gagal membentuk kerajaan selepas keputusan PRU Ke-12 diumumkan sepenuhnya menjelang jam 12 malam 8 Mac 2008. Atas arahan Dato' Seri DiRaja Tajol Rosli, Ketua Perhubungan UMNO Perak (waktu itu), beliau bersusah payah pada malam itu ketika hujan lebat bertolak dengan kereta ke Kota Bharu menemui Mursyidul Am PAS, Tok Guru Nik Aziz dan pada esok paginya pula menghubungi Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Hadi untuk tujuan mendapat persetujuan mereka. Tapi kedua-duanya menolak dengan mudah dan memberikan alasan tertentu. Sekembalinya Harussani ke Ipoh, beliau menghubungi saya melalui telefon (bukan berjumpa seperti yang ditulis dalam artikel majalah MM berkenaan). Saya menolak tawaran UMNO yang dibawa oleh Harussani dengan memberikan alasan dan hujah yang beliau tidak dapat menyanggahnya. Ikutilah penjelasan saya dalam majalah Milenia Muslim keluaran Ogos akan datang seperti yang dijanjikan penerbitnya.

Dari cerita di sebalik peristiwa yang tersebut di atas, jelaslah bahawa Tan Sri/Dato' Seri Hj Harussani Zakaria adalah seorang mufti yang berpolitik dan parti yang didokongnya ialah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu yang lebih dikenal dalam bahasa Inggerisnya dengan United Malay National Organisation (UMNO).

sdgS- sdgS al-banjari, al-keriani, kulaan sebarataan (he! he!ada faham ka?)

Selasa, 23 Jun 2009

HIMPUNAN SOLIDARITI RAKYAT DI MANEK URAI TANDA SYUKUR..

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah syukur, keresahan para ahli dan penyokong Parti PAS dan Pakatan Rakyat nampaknya semakin reda. Kabus tebal yang melanda Pas dan Pakatan Rakyat lewat tiga minggu lalu nampaknya semakin menipis. Titisan jernih air hujan telah turun membersihkan debu-debu kotoran dan sinaran matahari telah mula cemerlang.

Tahniah diucapkan kepada semua pimpinan Pas dan Pakatan Rakyat yang tangkas menangani kemelut dalaman yang timbul. Dengan berpandukan al-quran dan masak dengan pengalaman lampau, Tuan Guru Haji Hadi dan Tuan Guru Nik Aziz telah dapat menangani kemelut ini dengan cemerlang. Wajarlah 2 tokoh ini terus menjadi idola kepada sekalian rakyat Malaysia yang cintakan Islam dan perjuangan memartabatkan Islam.

Mungkin berlaku sedikit kerosakan dalam kemelut ini, namun insya allah masa akan mengubat luka-luka kecil yang ada. Pepatah Melayu ada menyebut, `Buang yang keruh ambil yang jernih'. Insya allah para ahli dan penyokong Pas serta Pakatan Rakyat adalah terdiri daripada mereka yang cerdik dan cemerlang akal fikirannya serta mampu untuk saling bermaafan.

Sebagai tanda syukur kita terhadap kemelut yang telah mereda ini marilah kita sama-sama menunjukkan tanda syukur kita dengan berkumpul beramai-ramai sambil memberikan sokongan padu kepada pasukan pejuang Pas yang sedang menghadapi satu lagi pilihan raya kecil di Manek Urai, Kelantan pada 14 Julai 2009 nanti. Sudah tentulah pasukan pejuang ini memerlukan suntikan semangat, suntikan moral, suntikan tenaga, suntikan kewangan dan berbagai-bagai suntikan lagi sebagai perangsang dan penambah daya kekuatan mereka untuk memenangi pertandingan tersebut dan seterusnya memartabatkn Islam mengikut sunnah yang dibawa oleh Nabi Muhammad Saw.Wajar untuk kita semua turun ke Manek Urai berhimpun secara besar-besaran dan menjalankan gerak kerja dengan cekap dan tangkas sebagai manifestasi solidariti perjuangan Islam yang kita junjung. Perkumpulan besar-besaran kita di Manek Urai ini adalah Himpunan Solidariti Rakyat sebagai tanda kesyukuran penyelesaian yang Allah berikan atas kemelut yang menimpa parti kita dan sebagai tanda bahawa kita semua adalah teguh menjunjung perintah dan tanggungjawab untuk melaksankan tugas memartabatkan Islam.

Ayoh, kita turun dan bergerak kerja di Manek Urai, Kelantan.....

sdgS - Aku turun dari Gunung Semanggol ke Manek Urai insya Allah.

Isnin, 15 Jun 2009

JANGAN BERSAHABAT DENGAN KERA, PESAN KURA-KURA!

Bismillahirrahmanirrahim

Ini cerita budak-budak. Cerita pasal binatang. Aku dah khatam 3 kali buku cerita ni dan malam ni aku khatam kali ke empat. Aku khatam 3 kali sebelum ni sebab aku ada 3 orang anak lelaki yang sudah pandai membaca. Setiap kali mereka bertatih belajar membaca, buku ini menjadi salah satu pilihan untuk mereka belajar membaca. Insya allah aku akan khatam 2 kali lagi sebab aku ada 2 anak lelaki lagi yang belum pandai membaca. Cerita pasal binatang sudah tentu budak-budak suka, sebab Allah swt sudah mentakdirkan kanak-kanak, pada suatu peringkat umur sukakan benda hidup dan benda yang bergerak. Dalam quran juga ada banyak kisah binatang, tentang semut, tentang unta, tentang labah-labah, tentang anjing, tentang lembu betina, tentang kera dan lain-lain lagi. Kisah dalam al-quran penuh pengajaran, sementara kisah binatang yang manusia reka untuk bacaan kanak-kanak pula lebih berorientasikan santai tetapi ada juga pengajarannya.

Kenapa aku catit kisah binatang ni dalam blog aku? Nak tarik pembaca budak-budak pulak ke setelah gagal menarik pembaca dewasa? Terpulanglah pada fikiran orang yang membaca. Kalau nak jadikan sekadar bacaan santai pun boleh, kalau nak ambil teladan pun boleh, kalau nak cerita pada anak-anak pun boleh, kalau tak nak baca pun boleh..

Ceritanya macam ni.. Sang Tikus, Sang Arnab dan Sang Kura-kura bersahabat baik. Mereka tinggal di tempat yang sama di sebuah hutan (tentang bagaimana tiga ekor binatang yang berlainan spesies ni boleh berkawan baik tak tahulah aku, anak-anak aku pun tak pernah tanya).Mereka selalu tolong-menolong dan hidup gembira. Suatu hari Sang Kura-kura telah mengajak Sang Tikus dan Sang Arnab berjumpa di suatu tempat. `Mengapa awak mengajak kami datang ke sini wahai Sang Kura-kura?' tanya Sang Arnab.

`Apa kata kalau kita berpakat untuk membuat satu tempat menyimpan makanan?' cadang Sang Kura-kura. `Sekarang ini musim hujan, dan kemarau selalunya tidak menentu. Kalau kita ada tempat menyimpan makanan yang selamat kita tidak akan kehabisan makanan,' sambung Sang Kura-kura.

`Hmm.. Bagus juga cadangan kamu itu Sang Kura-kura. Lagipun, kalau kita ada tempat menyimpan makanan secara bersama, kita boleh merasa pelbagai jenis makanan,' kata Sang Arnab.`Saya setuju, tapi di manakah tempat yang sesuai untuk menyimpan makanan?' tanya Sang Tikus pula.

`Jangan risau, tempatnya telah ada. Mari ikut aku ke tempat itu,' kata Sang Kura-kura kepada dua sahabatnya itu. Akhirnya Sang Kura-kura telah membawa Sang Arnab dan Sang Tikus ke sebuah tempat yang terlindung. Tempat itu ialah di dalam akar banir sebuah pokok kayu yang besar.

`Ingat, tempat ini hanya kita bertiga sahaja yang tahu,' beritahu Sang Kura-kura. `Baiklah, mulai hari ini, kita akan menyimpan makanan kita di sini dan di makan secara di bahagi sama banyak,' kata Sang Arnab pula.
Kehidupan tiga sahabat itu bertambah ceria dan akrab. Mereka begitu gembira kerana dapat makan, makanan yang diumpul bersama. Persahabatan tiga sahabat iti selalu diperhatikan oleh Sang Kera. Ia ingin mengetahui kenapa mereka begitu akrab dan sering makan banyak makanan secara bersama.

Seperti biasa, Sang Kera sangat licik. Tipu helahnya banyak. Suatu hari ia berpura-pura jatuh sakit dan meminta pertolongan kepada tiga sahabat itu. Atas dasar `keperibinatangan' tiga sahabat itu telah menolong Sang Kera. `Kamu semua sungguh baik hati, bolehkah saya berkawan dengan kamu?' tanya Sang Kera. `Sudah tentu boleh, tetapi apabila kita sudah berkawan nanti, segala rahsia sesama kita hendaklah dilindungi,' pesan Sang Kura-kura.

Sebenarnya Sang Kera hanya sekadar ingin mengetahui rahsia mereka sahaja dan ia tidak ikhlas dalam berkawan. Apabila ia telah mengetahui tempat simpanan makanan tiga sahabat itu, Sang Kera mula mencuri dan menghabiskan segala makanan yang ada.
`Eh, kenapa semua makanan kita sudah habis! Siapakah pencurinya?' tanya Sang Tikus. `Mungkin awak Sang Kera? Sebelum kamu menyertai kami peristiwa ini tidak pernah berlaku,' marah Sang Arnab. `Bukankah kita semua berempat? Jangan nak tuduh-tuduh pulak!' kata Sang Kera membuat helah.

Masing-masing tidak mengaku melakukan perbuatan mencuri itu. Akhirnya mereka telah pergi berjumpa Sang Kancil lalu mengadu tentang masalah yang dihadapi.`Baiklah, kamu berempat ambil dan bawa pulang ranting kayu yang sama panjang ini dahulu. Besok, bawa ke mari dan siapa yang ranting kayunya menjadi panjang, dialah pencurinya,' kata Sang Kancil sambil tersenyum.

Keesokan harinya mereka kembali berjumpa Sang Kancil lalu menyerahkan ranting kayu masing-masing. `Hah! Nampaknya Sang Kera lah sipencurinya, kerana ranting kayunya adalah yang terpendek sekali,' kata Sang Kancil.

`Kenapa pula, bukankah semalam kamu kata ranting kayu yang paling panjang sekali dialah pencurinya. Lihat, mereka bertigalah mempunyai ranting kayu yang panjang. Jadi merekalah pencurinya,' marah Sang Kera.

`Sebenarnya, itu helah saya sahaja. Kamu telah memotong ranting kayu itu menjadi pendek untuk mengelak dari menjadi panjang maka kamulah pencurinya,' kata Sang Kancil. Sang Kera sungguh terkejut dan berasa amat malu dengan tindakannya itu.

Sang Kera tidak ada alasan lagi. Dia berlalu pergi dan menghilangkan diri. Sang Kancil lalu memberi nasihat kepada tiga sahabat itu, `Berhati-hatilah apabila memilih sahabat,' katanya sebelum berlalu pergi.
Kini, semuanya sudah menjadi kenang-kenangan hidup. Sang Kura-kura yang berumur panjang telah tinggal keseorangan. Dua sahabat Sang Kura-kura telah pun mati. Sang Kura-kura pun telah sangat tua. Pergerakannya sangat perlahan, suaranya juga sangat perlahan. Namun jikalau ada satu pesanan berharga yang dapat Sang Kura-kura titipkan buat anak-cucu keturunannya. Dalam sebaris ayat yang ringkas, agak pasti Sang Kura-kura akan menyebut, "WALAU APA PUN ALASANNYA, JANGAN BERSAHABAT DENGAN KERA".

sdgS- Don't make a close friend with monkey, the tortoise remind.

Khamis, 11 Jun 2009

PAS NOMBOR 3 UNTUK 4 TAHUN..

Bismillahirahmanirrahim.
Artikel ni aku tulis September tahun lepas. Masa tu Pak Lah masih jadi PM dan YB Nizar masih jadi MB Perak. YB Jamaludin, YB Pak Man Jailu dan YB Hee Yit Fong belum lompat lagi. Isu hangat jugak masa tu.. Sengaja aku letak balik sekadar kenangan.. Lepas ni kalau ada masa terluang mungkin aku nak tulis satu posting bertajuk `PAS, PKR & DAP berganti-ganti jadi budak nakal!. Sekali-sekala aku nak `kutuk' parti sendiri takkan tak boleh kut. Kadang-kadang rumah kita sendiri pun ada masa kita jadi bosan, lalu kadang-kadang kita tersebut, `Apalah rumah aku ni, panas semacam je. Bila nak sejuk ni?' Tapi itu tak bermakna kita tak sayang rumah kita yang kita bina dengan tulang empat kerat, keringat dan air mata tu...
Keputusan PRU12 mungkin agak mencelarukan sedikit. Parti PAS menang dengan kapasiti yang begitu membanggakan diperingkat negeri (kecuali Trengganu) tetapi diperingkat Pusat kurang membanggakan sedikit dibanding dengan parti PKR dan DAP. Keputusan yang terjadi inilah menyebabkan sedikit kecelaruan timbul terutamanya dikalangan penyokong dan pendokong PAS.

Bagi saya memang dari awal lagi PAS telah membuat kenyataan bahawa PAS lebih menumpukan kepada negeri-negeri sebelah utara dan kurang memberi tumpuan untuk peringkat pusat.

Bila keputusan PRU12 diumumkan, tiba-tiba Tsunami politik berlaku. PAS bergembira kerana tiga negeri di Malaysia bermenteri besarkan orang PAS. Tahukah orang PAS bahawa salah satu negeri yang bermenteri besarkan orang PAS adalah negeri yang mendapat toleransi begitu besar daripada parti DAP dan PKR.. Dan satu lagi negeri juga adalah mendapat sokongan dari PKR.

Kemudian perang psikologi peringkat pusat pun mula dimainkan oleh tokoh besar Pakatan Rakyat, Anwar Ibrahim. Beliau menghebohkan bahawa 16 September akan jadi tarikh keramat dimana Pakatan Rakyat akan mengambil alih kerajaan. Heboh-heboh ini diwar-warkan sudah tentulah terutamanya oleh pemimpin PKR dan mungkin sedikit oleh DAP.

Perkara ini jelas ketidakpastiannya dan lebih kepada perang psikologi. Tetapi perkara inilah yang ramai penyokong dan pendokong PAS terliur.. Dalam tangan telah ada 3 ketul emas, tetapi bila kawan disebelah bising-bising, `kami akan dapat emas yang banyak 16 September nanti, emas yang besar!’, tiba-tiba kita jadi terliur.

Mulalah kita terasa emas ditangan kita kecil, dan terasa kawan kita tadi tak ajak kita berbincang sangat pun untuk mencari emas yang lebih besar tadi. Perkara `terliur’ ini menjangkit-jangkit lagi kepada perkara-perkara kecil yang lain, lalu kita mula melabel kawan-kawan kita tadi sebagai sudah tidak menghormati perjuangan Islam kita, sedang dari awal lagi kita sudah mengetahui bahawa kawan-kawan tadi bukanlah dari parti yang menjadikan Islam sebagai teras perjuangan.Apa jadi dengan emas tiga ketul ditangan kita tadi? Adakah telah kita canai dan tempa dengan cemerlang? Pada saya sewaktu Hero Pakatan Rakyat melaung-laung kerajaan baru 16 September, kita sepatutnya melaung-laung kaedah bagaimana kita akan mencanai dan menempa sungguh-sungguh tiga ketul emas tadi agar jadi sangat cantik dan berkilau. Biar bila dilihat orang semuanya terpegun, bukannya nampak `terliur’ dengan 16 September yang tidak pasti sehingga tiga ketul emas di genggaman jadi longgar. Tak pasti bila hendak dicanai dan di tempa..

Dua ketul emas lagi yang kita hanya ada sedikit saham, sudah tentulah tidak dapat dicanai sepenuhnya ikut selera kita, tetapi kalau sebahagiannya sudah ikut selera Islam, itu sudah memadai. Tak boleh buat semua, jangan tinggal semua.

Bagi saya PAS adalah parti yang kuat, jauh lebih kuat daripada PKR dan DAP. DAP tak ada cawangan pun di Kelantan dan Trengganu tetapi PAS ada cawangan sampai ke rumah panjang di Sarawak.

Bagi saya jadi nombor 3 diperingkat Pusat pasca PRU12 tidaklah tersasar daripada pelan PAS untuk menumpu negeri-negeri utara. Kalau hendak jadi nombor satu, kita perlu merancang betul-betul untuk PRU 13 supaya PAS mendapat kerusi yang sepatutnya dan berjuang mati-matian untuk kerusi tersebut. Jangan pula kerusi-kerusi tersebut diserah pada PKR dan DAP pula..

Selebihnya `dakwah’ beb. Janganlah terlalu mengharapkan parti-parti lain akan mempunyai pegangan yang sama dengan kita kalau kita hanya `menyerang’ mereka tetapi melupakan `dakwah’ pada mereka. Dalam `Perjanjian Hudaibiyah’ juga kumpulan Islam nampak rugi untuk beberapa tahun tetapi secara keseluruhannya untung sehingga mampu menakluk Kota Mekah.

Sekian sedikit komen dari ambo.
Suara Dari Gunung ni..

Isnin, 8 Jun 2009

MANEK URAI: BAHANG PRK BERMULA..

Bismillahirahmanirrahim.

Muktamar Pas ke55 baru berakhir. Muktamar yang mendapat liputan paling meluas daripada media utama kalau tak silap aku. Kalau media utama pun dah bagi liputan `hangit', para blogger apa lagi, liputan `hangus'lah. Klik saja `pemilihan Pas' atau `muktamar Pas', bertimbun-timbun tajuk keluar.

Aku tidak berminat untuk menulis panjang berkenaan muktamar dengan liputan terhebat ini. Bukan apa, takut terperangkap di dalam kabus tebal perbahasan di dalam dan di luar muktamar. Apa pun, harapan aku selaku penyokong kerdil Pas dan Pakatan Rakyat, mudah-mudahan kabus tebal ini akan berlalu pergi diikuti dengan siraman hujan yang bersih lagi jernih airnya. Membasuh segala daki-daki kotoran dan seterusnya cahaya segar mentari akan kembali menyinari bumi. Itulah sahaja yang aku termampu doakan dari kaki Gunung Semanggol ini. Selebihnya aku pasrah..

Aku bermusafir jauh minggu lepas. Dari Machang ke Kuala Lumpur melalui jalan Gua Musang yang dilaluannya terdapat satu tempat yang bernama Manek Urai. Kawasan Manek Urai inilah yang akan diadakan pilihanraya kecil pada 14 Julai nanti bersamaan hari Selasa. Penamaan calon pula pada 6 Julai iaitu hari Isnin. Tarikh yang begitu tepat.. kata SPR. Penamaan calon pada hari bekerja dan hari mengundi juga pada hari bekerja. Ramailah yang terpaksa ambil cuti atau ramailah yang tak dapat datang penamaan calon atau tak dapat turun mengundi terus. Kalau tanya pada SPR tentu dia jawab, kawasan Manek Urai ini kawasan pedalaman, kebanyakan penduduknya bekerja sendiri, jadi tiada masalah mengundi hari apa pun.

Pilihan raya kecil Manek Urai ini mengikut berita yang diyakini, UMNO/BN akan kembali bertanding menggunakan lambang dacing. Ianya tidak seperti pilihan raya Penanti dulu di mana mereka turun dengan lambang kunci atau buku. Bila mereka turun dengan lambang dacing, maknanya besarlah peruntukan mereka dan beratlah pula cabaran buat parti Pas.

Aku melalui sebuah tempat dalam kawasan Manek Urai yang bernama Cuchuh Puteri. Bendera-bendera bulan dan dacing telah mula berkibaran. Cuchuh Puteri terkenal kerana buah duriannya sama seperti Bukit Gantang. Namun bukan nasib aktivis pilihan raya dan bukan nasib orang Manek Urai agaknya, durian dijangka belum gugur pada hari mengundi.

Kalau tidak silap ingatanku, pilihan raya kecil terakhir yang diadakan di Kelantan adalah di Pengkalan Pasir, dibuat di atas kematian seorang Adun Pas juga. Kempennya sangat hangat, ketika itu Dato Najib Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengarah Pilihan Raya UMNO dan keputusannya kemenangan kepada calon UMNO dengan majoriti kurang 200 undi.

PRK inilah yang barangkali akan digunakan oleh UMNO untuk menghembus kembali semangat dikalangan ahli-ahlinya. Kekalahan di empat tempat yang lain sudah tentu akan dipadamkan oleh media UMNO dan kemenangan di Pengkalan Pasir lah yang akan diwarwarkan. Modal kempen UMNO yang pertama tentulah pembangunan, sementelah lagi Manek Urai adalah kawasan pedalaman. Tentu UMNO akan menjanjikan bermacam-macam. Tentu UMNO akan menjanjikan pembangunan hebat yang tidak pernah terbayang oleh penduduk Manek Urai dalam kempen-kempen mereka.

Modal yang kedua pada fikiran penyokong kerdil ini adalah perpecahan pimpinan tertinggi Pas yang seolah-olah kelihatan jelas sewaktu muktamar yang baru berakhir. Kalau dua tiga hari ini pun media utama sudah memberi liputan `hangit', sudah tentulah semasa pilihan raya kecil nanti ianya akan diulang-ulang dan dibesar dan dimarakkan lagi. Belum jadi kerajaan sudah berpecah, kalau jadi kerajaan tentu rakyat punah-ranah. Mungkin begitulah buah kempen mereka.

Sebagai penyokong kerdil yang sayangkan perjuangan Islam, memang aku mengharapkan agar saf perjuangan Pas akan kembali dirapatkan sewaktu kempen PRK Manek Urai ini. Jangan sampai perbezaan buah fikiran dijadikan modal oleh UMNO untuk menewaskan Pas di Manek Urai. Kalau Pas tewas di Manek Urai, memang kerajaan Kelantan tidak tergugat, tetapi imej Pas akan jatuh, cerita perpecahan akan menjadi lauk utama media-media.

Aku yakin pimpinan Pas cukup matang berpolitik. Pepatah Melayu ada menyebut, biduk berlalu kiambang bertaut. Habis muktamar, saf kembali rapat, dakwah kembali panas, agenda memartabatkan Islam kembali di atas.

Manek Urai diringkaskan sebagai M.U. Ada orang menyebut M.U sebagai Muslimeen United. Mudah-mudahan PRK Manek Urai ini akan kembali menyatukan saf pimpinan parti Islam dan menyatukan semua para muslimin-muslimat pengundi-pengundi sekalian dibawah sinaran bulan purnama.


sdgS- Berselindung dibalik bayang Gunung Semanggol.

Selasa, 2 Jun 2009

MUKTAMAR PAS : HARAPAN DARI GUNUNG..


Bismillahirahmanirrahim

Gambar yang aku paparkan di atas bukanlah gambar muktamar Pas zaman dulu-dulu, tetapi adalah Kongres PKMM (Persatuan Kebangsaan Melayu Malaya) dan Angkatan Pemuda Insaf (API) yang diadakan di Kota Melaka. Itulah terjemahan rumi kepada tulisan jawi yang dipaparkan dibawah gambar di atas. Kepada mereka yang terkial-kial membaca tulisan jawi, secara mudah aku kata itulah dia jasa UMNO/BN pada anda. Kalau anda rasa bangga dengan `performance' bacaan jawi anda, bolehlah terus mengangkat dan menyanjung UMNO/BN tetapi kepada yang sebaliknya, faham-faham sendirilah.

Jenuh aku cari gambar-gambar lama muktamar Pas zaman dulu-dulu tapi tak jumpa. Sekeping di atas sajalah gambar hitam putih bertulisan jawi yang aku terjumpa. Mungkin tak ramai para blogger yang teringat nak kumpul gambar-gambar lama ni dalam internet. Aku harap lepas ni ada yang ambil inisiatif `snap' semula gambar-gambar lama koleksi para veteran Pas kita dan simpan dalam internet, barulah senang anak-cucu nak buat rujukan. Saidina Usman ibnu Affan telah buat jasa yang begitu besar kerana telah membentuk panitia untuk kumpulkan dan jilidkan al-Quran yang terpisah-pisah dan hasil daripada itu lahirlah Mushaf Usmani yang diguna sampai sekarang. Berapa banyak pahala yang mengalir bolehlah hitung sendiri. Oleh itu aku rasa siapa yang rajin `snap' semula gambar-gambar lama Pas dan simpan dalam internet tentu akan dapat sedikit sebanyak saham juga.

Patah balik kepada tajuk.. Kalau tidak salah ingatan aku, Gunung Semanggol tempat blogger ini menumpang tuah juga pernah diadakan Muktamar Pas zaman dulu-dulu. Gunung Semanggol jadi terkenal kerana ada beberapa orang pemimpin Pas peringkat nasional yang menempa nama di sini. Antaranya Ustaz Abu Bakar al-Baqir, Ustaz Baharudin Latif, Dato' Abu Bakar Umar dan yang paling terkenal mungkin Dato' Asri Muda. Semuanya telah kembali ke alam baqa'. Yang masih hidup dan masih memimpin Pas adalah Ustaz Ahmad Awang, salah seorang Naib Presiden Pas. Beliau pernah dididik oleh Abu Bakar al-Baqir dan masih segar mengingati kemeriahan Pas sewaktu di Gunung Semanggol. Sengaja aku lebihkan menyebut nama Ustaz Ahmad Awang kerana dia tidak bertanding apa-apa jawatan pada pemilihan kali ini.

Aku penyokong kerdil Pas, dari puncak Gunung Semanggol ini aku mengharapkan agar semua Perwakilan yang turun ke Stadium Melawati pada hujung minggu ini akan melakukan yang terbaik buat Parti yang sedang mekar mengembang ini. Antum sekalianlah harapan kami. Pada bahu kalian terpikul satu beban harapan yang berat, harapan untuk melihat wajah baru Malaysia yang lebih bersih suatu hari nanti. Harapan untuk melihat Islam dinobatkan sebagai `Sesuatu yang tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya'. Harapan ini memerlukan kebijaksanaan, dan harapan ini memerlukan keikhlasan dan pengorbanan.

Antum semualah barisan tentera Islam.. Barisan tentera Tariq bin Ziad yang telah membebaskan Andalusia, melayari selat Gibraltar dengan kibaran bendera Islam. Antum semualah tempat panji-panji Islam ditegakkan. Barisan tentera Muhammad Al-Fatih yang telah membuka Konstantinapole. Menegakkan bendera Islam di Kota Istanbul dan melaungkan azan dipuncak AyoSofia. Antum semualah tempat rakyat mencari keadilan dan kemuliaan Islam. Barisan tentera Salahuddin yang membebaskan Palestina dari cengkaman salibiyah. Segalanya adalah kerana iman yang tinggi melangit, ikhlas yag memutihi hati dan syahid yang menjadi cita dan cinta.


Muktamar kali ini menyaksikan pimpinan akan bersilih ganti. Barisan perwakilanlah yang akan menjadi pemimpin pertengahan bagi melantik pemimpin dipuncak, melengkapkan piramid perjuangan Parti Islam. Pada antum semualah harapan kami sandarkan. Pilihlah pemimpin dipuncak dengan iman yang tinggi, hati yang ikhlas dan kebijaksanaan para hakim. Dapatkan maklumat yang jujur, jangan memihak sedari awal, ukurlah pemimpin dengan ukuran Islam dan janganlah kebencian peribadi menjadi faktor tangan yang memangkah.Istikharahlah, berwudu'lah, munajatlah dan pohonlah petunjuk agar pemimpin dipuncak yang bakal kita pilih adalah pemimpin pilihan yang akan memimpin barisan tentera pilihan pula.
Tembok musuh telah robek, tetapi perjuangan tidak akan berhenti di sini. Peluang yang ada ini jangan disia-siakan. Salahuddin hanya ada satu peluang membebaskan Palestina, Tariq bin Ziad hanya ada satu peluang membebaskan Andalusia, Muhammad AlFateh hanya ada zatu peluang membuka Konstantinapole. Kita semua ada berapa peluang?

sdgS - Salam perjuangan dari puncak Semanggol. Doa dan harapan kami panjatkan..

MUHAMMAD PEMBUKA KONSTANTINAPOLE.

(Artikel copy paste:)
Kalau sebelum ini aku copy paste sajak ISA karya Muhammad Sabu, maka kali ini aku copy paste artikel pasal Muhammad Al-Fateh karya Husam Musa. Ianya tidak ada kena mengena dengan kempen pemilihan Pas kerana aku bukan perwakilan dan tidak berniat mempengaruhi perwakilan.
Bagi aku, secara mudahnya aku percaya semua pemimpin Pas yang bertanding dalam pemilihan adalah baik-baik semuanya kerana aku yakin orang-orang Pas hanya pilih orang baik-baik sebagai pemimpin mereka baik diperingkat cawangan, kawasan, negeri atau pusat. Oleh kerana yang bertanding adalah mereka yang telah menjadi pemimpin Pas baik diperingkat kawasan atau negeri, maka aku yakin mereka adalah orang baik-baik belaka.
Kalau ada sebarang berita yang bukan dari sumber rasmi parti, yang bawak cerita yang bukan-bukan, bagi aku cerita itulah yang jahat.Konklusi yang sangat mudah, tak payah pikir panjang-panjang. Kecualilah kalau ianya dibawa ke Lembaga Disiplin Pas dan dibuktikan bersalah, barulah aku terima. Siapa pun yang menang jawatan-jawatan tertinggi Pas, aku sebagai pengikut kerdil tetap akan bagi wala' kerana semua pemimpin Pas aku sanjung dan hormat. Yang aku tak taatnya ialah pada pemimpin UMNO/BN yang kerap menyusahkan rakyat dan membazir duit rakyat.
Artikel Muhammad AlFateh ini wajar dibaca kerana ia ditulis dan digarap oleh seorang pemimpin kanan Pas. Aku pun dah banyak juga baca artikel Muhammad AlFateh bahkan pernah pergi ke Istanbul 4 hari, tapi bagi aku cerita di bawah ini tetap mengujakan bila dibaca...

(Artikel bertarikh 29 Mei 2009)
Hari ini, 546 tahun yang silam, Muhammad bin Murad melakar satu sejarah dengan menawan kota yang sangat kuat pertahanannya - Konstantinapole. Pada ketika ini Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, telah pun berada di Kota Istanbul untuk menghadiri sambutan ulangtahun upacara yang amat bersejarah ini.
Tulisan ini cuba melihat bagaimana seorang pemimpin seperti Muhamad Murad yang kemudiannya diberikan gelaran Muhammad Al Fatih, telah berjaya dilahirkan. Adakah di sana satu metod tertentu untuk mencetak pemimpin seperti beliau dan bagaimanakah cara untuk berbuat demikian.
Peribadi dan kepimpinan Muhammad Al Fatih menunjukkan beliau mempunyai ciri berikut;
a. Asuhan dan disiplin Islam yang kuat
b. Mempunyai matlamat hidup yang ingin dijayakan
c. Kehendak yang kuat
d. Sabar dan ketahanan ruhani yang kuat
e. Pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk misinya, atau mendapatkan bantuan pakar dalam bidang masing-masing bagi tujuan melengkapkan skil berkenaan
f. Ibadah dan pergantungan yang kuat dengan Pencipta
Sebelum isu ini dikupas lebih lanjut, kita tinjau dulu bentuk pertahanan Kota Konstantinapole itu sendiri yang sangat menakjubkan;
Kota ini berbentuk tiga segi. Dua bahagian kota menghadap laut iaitu Selat Bosporus dan Laut Marmara. Bahagian daratan dilingkungi oleh sebuah benteng yang sangat kukuh;
a. Bahagian luar kota dilingkungi oleh sebuah parit besar. Dalamnya 10 meter dan lebarnya 60 meter
b. Ada dua tembok iaitu tembok luar dan tembok dalam. Tembok luar sahaja setinggi 25 kaki dan setebal 10 meter
c. Tembok dalam pula setinggi 40 kaki tinggi dan 15 meter tebal
d. Terdapat menara kawalan sepanjang tembok dalam dengan ketinggian 60 meter!
e. Terdapat 400 batalion tentera terlatih mengawal tembok ini sepanjang masa
Dengan kedudukan pertahanan seperti itu, hampir mustahil untuk tembok ini dicerobohi.
Di bahagian laut pula, terdapat rintangan rantai besi yang kuat diletakkan di Selat Bosporus yang digunakan untuk menghalang kapal-kapal melepasinya.
Konstantinapole telah menjadi ibu kota Empayar Bizantin untuk berkurun-kurun dan dikenali sebagai kota yang paling makmur dan terkaya di Eropah. Ia terletak di pertemuan antara Asia dan Eropah dan Laut Mediterranean dan Laut Hitam. Justeru, ia sangat strategik baik dari segi perdagangan mahupun geo politik.
Sejak Rasulullah s.a.w mengungkapkan bahawa nanti Kota penting ini akhirnya akan jatuh di tangan seorang pemerintah yang terbaik, memimpin tentera yang terbaik sepanjang zaman, telah banyak percubaan dibuat untuk menawan kota ini, namun tidak berjaya. Sahabat seperti Abu Ayub al Ansari juga telah berusaha dan mereka telah mengepung kota ini selama tujuh tahun, tetapi masih gagal.
Hanya 800 tahun selepas sabda Nabi yang Mulia itu, sabda yang menakjubkan ini menjadi kenyataan. Sultan Muhammad bin Murad yang kemudian lebih masyhur dengan gelaran Sultan Muhammad al Fatih telah memulakan pengepungan ke atas Konstantinapole pada hari Khamis, 5 April 1453 dan berjaya membuka kota ini pada 29 Mei 1453, hari tulisan ini dipostkan.
Sungguhpun pengepungan ini berlangsung selama hampir dua bulan sahaja, program penaklukan ini telah berjalan lama!
Ia bermula apabila bapa Sultan Muhammad Al Fatih, Sultan Murad memilih guru-guru yang terpilih untuk mendidik anak raja ini, yang waktu itu, se orang anak yang nakal.
Sejak berumur sembilan tahun, Sultan Muhammad telah mengalami pendidikan disiplin yang ketat. Rasa bebas dan nakal sebagai anak raja yang masih kecil mula berakhir apabila bapa baginda memberikan kebebasan kepada guru-guru beliau untuk membentuk dan mendidik Muhammad.
Rotan turut digunakan oleh gurunya untuk mendisiplinkan anak ini. Dalam satu kejadian, Muhammad telah sengaja dirotan dengan teruknya tanpa sebarang kesalahan yang dilakukan oleh beliau.
Tujuan guru beliau berbuat demikian ialah untuk membentuk perasaan belas kasihan dan sikap adil dan saksama dalam jiwa bakal Sultan ini. Supaya nanti baginda dapat mengambil keputusan berpaksikan keadilan dan memahami perasaan orang-orang yang tidak diperlakukan dengan adil!
Sultan Muhammad dibimbing untuk menghafal al-Qur'an. Dilatih untuk sembahyang malam. Dibentuk menjadi wara' dan zuhud. Diasuh mencintai ilmu dan ulama'. Mempunyai budi pekerti yang baik dan perasaan yang halus. Keunggulan pendidikan keruhanian Sultan Muhammad ternyata apabila baginda akan dilantik menggantikan bapanya secara rasmi sebagai pemerintah Kesultanan Uthmaniah, beliau menangis teresak-esak.
Gurunya lah yang telah mengarahkan beliau menerima tanggungjawab itu atas hujah bahawa seorang berkaliber seperti beliau wajib memikul amanah ummah dan itu jihad dan ibadah yang lebih besar.
Pendidikan Sultan Muhammad di istana baginda hampir komprehensif. Sebagai bakal raja dalam persekitaran Eropah dan pusat perdagangan dan diplomatik, baginda dapat berbahasa lebih dari lima bahasa.
Sudah tentu baginda fasih dalam bahasa Arab.
Baginda juga diajar matapelajaran sejarah, geografi dan astronomi. Pakar ketenteraan juga diundang untuk memberikan pendedahan ketenteraan kepada beliau.
Lama sebelum program pembebasan Konstantinapole dimulakan, Muhammad al-Fateh telah berbincang dengan pakar sejarah dan ketenteraan mengenai sebab-sebab kegagalan ekpedisi penawanan Konstantinapole sebelum ini.
Apa rahsia kekuatan pertahanan kota itu dianalisis. Bagaimanakah caranya untuk mengatasi halangan-halangan itu juga dibincangkan.
Dari perbincangan itu, antara lain mereka mengenal pasti hal berikut;
a. Dinding tembok itu terlalu tebal dan pada waktu itu belum ada teknologi yang boleh meruntuhkannya. Sultan Muhammad telah mengarahkan dicari satu teknologi yang boleh meruntuhkan tembok itu.
Tentera baginda akhirnya berjaya mencipta meriam yang paling canggih dengan bantuan seorang pakar senjata bangsa Hungary yang telah diculik dari kurungan dalam penjara Konstantinapole dengan mengorek lubang bawah tanah yang dalam dan panjang!.
Berat setiap meriam ciptaan baru ini ialah 700 pauns! Ia perlu ditarik oleh 100 ekor kuda dan seratus orang tentera. Bila diletupkan, bunyinya boleh didengar sejauh 13 batu! Setiap tembakannya akan menyebabkan tembok yang kuat berlubang seluas enam kaki. Nah! Benteng besar itu sekarang telah menemui ruasnya.
b. Rantai besi yang kuat yang dirintangi menghalang laluan kapal. Ia menghalang bantuan dan pergerakan melalui laut.
Sultan Muhammad telah mencipta satu plan luar biasa mengatasi halangan ini. Ia adalah antara rekod sejarah yang menakjubkan dari segi kreativiti dan kekuatan keinginan seorang pemimpin. Baginda mengarahkan pembinaan kapal di daratan. Dibuat pada sebelah malam supaya tidak disedari oleh musuh.
Mesti disiapkan dalam masa yang singkat. Kapal ini diluncurkan dari daratan sejauh 5km ke lautan dengan meletakkannya tergelunsur di atas batang-batang kayu yang telah diatur dan telah diminyakkan untuk melicinkan perjalanan kapal-kapal itu.
Pada masa yang telah ditetapkan, kapal-kapal ini dilancarkan dari daratan dan muncul di depan Kota Konstantinapole sebelah lautan dengan melepasi rantai besi yang telah terpasang! Ia memeranjatkan tentera musuh. 400 kapal musuh terbakar dan serangan dari lautan berjalan serentak dengan pengepungan sebelah daratan.
c. Lazimnya bila tentera sampai di pantai menghadap Kota ini, mereka terdedah kepada serangan musuh kerana kawasan yang terbuka dan jika sekiranya satu benteng pertahanan mengelakkan serangan hendak dibina, ia memakan masa selama setahun.
Sultan Muhammad telah mengarahkan benteng pertahanan menghadap tembok kota Konstantinapole itu dibina dalam masa tiga bulan dengan menggunakan segala teknik pembinaan semasa yang canggih.
Benteng Rumeli Hissari dibina di tebing sebelah Eropah, lebih kurang 5 batu dari Kota Konstantinople di mana Selat Bosphorus adalah yang paling sempit. Ia dibina bertentangan dengan Benteng Anadolu Hisar di tebing sebelah Asia yang telah dibina oleh Sultan Bayazid Yildirim dahulu.

Ia memang berjaya disiapkan seperti direncanakan.
Dari mana kekuatan keinginan seorang pemimpin ini diperolehi oleh Sultan Muhammad?
Gurunya bukan sekadar menyuntikkan kekuatan ruhani kepada bakal Sultan in, tetapi juga telah menyuntik sikap terbuka terhadap teknik dan teknologi baru yang diperlukan untuk misi mereka. Mereka juga menyuntik sikap berminda strategik dan kreatif.
Sultan Muhammad dapat menganalisis dengan tepat permasaalahan dan mencari jalan penyelesaian terhadap setiap permasalahan itu secara praktikal sebelum melancarkan misinya.
Tetapi yang paling penting, sejak kecil lagi guru-guru baginda telah membentuk minda baginda untuk merasakan dirinya lah yang disebutkan oleh Rasulullah s.a.w sebagai raja terbaik yang memimpin tentera terbaik yang akan dapat membebaskan Konstantinbapole.
Sasaran, visi dan misi yang jelas, yang disuntikkan ke dalam minda baginda ternyata berkesan. Dari kecil, Sultan Muhammad mengimpikan bagindalah pembebas itu!
Baginda bergerak selari dengan impian ini. Akhirnya, ia adalah sebuah kenyataan.
Dari sudut kepimpinan, bapa baginda seorang yang berpandangan jauh. Sejak umur 14 tahun, Muhammad telah diminta menguruskan empayar dengan alasan, bapanya ingin menumpukan kepada ibadah.
Namun, dalam dua keadaan kritikal, bapa baginda pulang semula untuk memimpin Kerajaan Uthmaniah. Selepas ancaman kritikal itu diatasi, Muhammad diberikan peluang untuk menguruskan semula empayar yang sedang berkembang itu.
Melalui pendedahan berbentuk bimbingan ini, Muhammad terlatih menjadi pemimpin yang berkualiti.
Ditambah, sepanjang hayat baginda, guru-guru baginda yang menjadi rujukan keruhanian dan kebijaksanaan, sentiasa bersama baginda. Hatta, ketika pengepungan kota itu berlangsung, gurunya mengimamkan solat hajat semua tentera Sultan Muhammad.
Melihat 150,000 tentera Islam berbaris rapi untuk bersolat di luar kota itu, cukup untuk menakutkan musuh yang sedang berkawal dalam kota!
Pada hari pembukaan Kota Kontantinapole yang bersejarah itu, Sultan Muhammad bersujud syukur.
Sepanjang kempen, baginda tidak putus-putus mengarahkan tenteranya bertakbir dan melaungkan slogan-slogan bersemangat, termasuk motivasi berasaskan hadis Nabi bahawa Konstantinapole akan dibebaskan oleh tentera yang terbaik dan merekalah tentera terbaik yang dijanjikan oleh Nabi itu.
Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan di dalam Kota Konstantinapole yang baru sahaja dibebaskan, timbul pertanyaan siapa yang layak menjadi imam solat Jumaat yang pertama itu.
Baginda memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya berdiri dan diikuti pertanyaan: "Siapa di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali sila duduk!".
Tiada seorang pun yang duduk, kerana tidak seorang pun di antara mereka pernah meninggalkan solat fardhu.
Pertanyaan seterusnya, "Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib sila duduk!".
Sebahagian daripada tenteranya duduk. Kemudian Baginda bertitah, "Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!".
Kali ini semuanya duduk, kecuali baginda sendiri sahaja yang tetap berdiri! Subhaanallah!
Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, Solat Sunat Rawatib dan Solat Tahajud sejak baligh. Tepatlah janji Rasulullah s.a.w dan kota ini kemudian bertukar nama kepada Istanbul.
Sekarang, marilah kita mengenali secara ringkas guru-guru yang berjasa besar membentuk Sultan Muhammad.
Pertama, Ahmad 'ibn Ismail Al-Kori:
Guru istimewa ini menunjukkan role model kepada Sultan Muhammad. Seorang yang wara', tidak menyembah Sultan sama seperti orang lain memberikan tunduk hormat, memanggil nama Sultan dan kerabat mereka dengan nama mereka masing-masing tanpa sebarang panggilan gelaran, Bersalaman dengan mereka tanpa mencium tangan mereka. Sepanjang Ramadhan, Sultan Muhammad menghadhiri kelas mentafsir ayat-ayat Al Qur'an yang diadakan di istana baginda selepas solat zuhur, dengan guru-guru yang bersilih ganti.
Ahmad ibn Ismail lah yang mengajarkan Al Qur'an, hukum-hukum agama dan kepatuhan padanya. Ia juga membentuk rasa takwa dalam jiwa Sultan Muhammad dengan berbagai cara, termasuk nasihat-nasihat yang berkaitan dengan tugas pemerintah.
Kedua ialah Sheikh Muhammad bin Hamzah al-Rrouhy, lebih dikenali sebagai Ba'q Shamsuddin. Beliau meninggalkan kesan yang sangat mendalam terhadap keperibadian Sultan Muhammad.
Beliau telah menginspirasikan Sultan MUhammad meningkatan aktiviti dakwah dan keislaman di bawah Empayar Othmaniah sebagai satu cara memperkuatkan empayar tersebut.
Beliaulah yang paling giat meyakinkan Sultan Muhammad bahawa beliau adalah raja terpilih seperti yang dimaksudkan oleh Rasulullah s.a.w dalam sabdanya itu.
Selain mengajarkan teras-teras ilmu Islam, Shamsuddin juga bertanggungjawab mengajar sains, matematik, sejarah, strategi perang, astronomi dan lain-lain.
Beliaulah yang telah merotan Muhammad di masa kecil tanpa sebab. Beliaulah yang mententeramkan Sultan Muhammad yang menangis kerana enggan menjadi raja. Beliaulah yang telah ditanya oleh Sultan Muhammad samada beliau boleh bersara selepas lama memerintah kerana ingin menumpukan kepada ibadah tetapi dijawab, ibadah sebagai Sultan yang adil adalah lebih berharga lagi.
Shamsuddin meletakkan insipirasi dalam dada Sultan, memberikan baginda tujuan dan misi pemerentahan yang jelas dan bersama baginda sehingga cita-cita itu tercapai.
Kerana itu lah, beliau dikenali sebagai Penakluk Ruhani Konstantinapole. Guru yang merancang lahirnya seorang pemimpin dan terukirnya sebuah sejarah. Insan pada sisi lain Sultan Muhammad al-Fatih.

sdgS - Kena latih diri kita sembahyang di awal waktu, sembahyang rawatib dan sembahyang tahajjud.
Kalau nak dengar lagu patriotik Muhammad alFateh sila cari di youtube.adakahkaulupa