Selasa, 2 Jun 2009
MUKTAMAR PAS : HARAPAN DARI GUNUNG..
Bismillahirahmanirrahim
Gambar yang aku paparkan di atas bukanlah gambar muktamar Pas zaman dulu-dulu, tetapi adalah Kongres PKMM (Persatuan Kebangsaan Melayu Malaya) dan Angkatan Pemuda Insaf (API) yang diadakan di Kota Melaka. Itulah terjemahan rumi kepada tulisan jawi yang dipaparkan dibawah gambar di atas. Kepada mereka yang terkial-kial membaca tulisan jawi, secara mudah aku kata itulah dia jasa UMNO/BN pada anda. Kalau anda rasa bangga dengan `performance' bacaan jawi anda, bolehlah terus mengangkat dan menyanjung UMNO/BN tetapi kepada yang sebaliknya, faham-faham sendirilah.
Jenuh aku cari gambar-gambar lama muktamar Pas zaman dulu-dulu tapi tak jumpa. Sekeping di atas sajalah gambar hitam putih bertulisan jawi yang aku terjumpa. Mungkin tak ramai para blogger yang teringat nak kumpul gambar-gambar lama ni dalam internet. Aku harap lepas ni ada yang ambil inisiatif `snap' semula gambar-gambar lama koleksi para veteran Pas kita dan simpan dalam internet, barulah senang anak-cucu nak buat rujukan. Saidina Usman ibnu Affan telah buat jasa yang begitu besar kerana telah membentuk panitia untuk kumpulkan dan jilidkan al-Quran yang terpisah-pisah dan hasil daripada itu lahirlah Mushaf Usmani yang diguna sampai sekarang. Berapa banyak pahala yang mengalir bolehlah hitung sendiri. Oleh itu aku rasa siapa yang rajin `snap' semula gambar-gambar lama Pas dan simpan dalam internet tentu akan dapat sedikit sebanyak saham juga.
Patah balik kepada tajuk.. Kalau tidak salah ingatan aku, Gunung Semanggol tempat blogger ini menumpang tuah juga pernah diadakan Muktamar Pas zaman dulu-dulu. Gunung Semanggol jadi terkenal kerana ada beberapa orang pemimpin Pas peringkat nasional yang menempa nama di sini. Antaranya Ustaz Abu Bakar al-Baqir, Ustaz Baharudin Latif, Dato' Abu Bakar Umar dan yang paling terkenal mungkin Dato' Asri Muda. Semuanya telah kembali ke alam baqa'. Yang masih hidup dan masih memimpin Pas adalah Ustaz Ahmad Awang, salah seorang Naib Presiden Pas. Beliau pernah dididik oleh Abu Bakar al-Baqir dan masih segar mengingati kemeriahan Pas sewaktu di Gunung Semanggol. Sengaja aku lebihkan menyebut nama Ustaz Ahmad Awang kerana dia tidak bertanding apa-apa jawatan pada pemilihan kali ini.
Aku penyokong kerdil Pas, dari puncak Gunung Semanggol ini aku mengharapkan agar semua Perwakilan yang turun ke Stadium Melawati pada hujung minggu ini akan melakukan yang terbaik buat Parti yang sedang mekar mengembang ini. Antum sekalianlah harapan kami. Pada bahu kalian terpikul satu beban harapan yang berat, harapan untuk melihat wajah baru Malaysia yang lebih bersih suatu hari nanti. Harapan untuk melihat Islam dinobatkan sebagai `Sesuatu yang tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya'. Harapan ini memerlukan kebijaksanaan, dan harapan ini memerlukan keikhlasan dan pengorbanan.
Antum semualah barisan tentera Islam.. Barisan tentera Tariq bin Ziad yang telah membebaskan Andalusia, melayari selat Gibraltar dengan kibaran bendera Islam. Antum semualah tempat panji-panji Islam ditegakkan. Barisan tentera Muhammad Al-Fatih yang telah membuka Konstantinapole. Menegakkan bendera Islam di Kota Istanbul dan melaungkan azan dipuncak AyoSofia. Antum semualah tempat rakyat mencari keadilan dan kemuliaan Islam. Barisan tentera Salahuddin yang membebaskan Palestina dari cengkaman salibiyah. Segalanya adalah kerana iman yang tinggi melangit, ikhlas yag memutihi hati dan syahid yang menjadi cita dan cinta.
Muktamar kali ini menyaksikan pimpinan akan bersilih ganti. Barisan perwakilanlah yang akan menjadi pemimpin pertengahan bagi melantik pemimpin dipuncak, melengkapkan piramid perjuangan Parti Islam. Pada antum semualah harapan kami sandarkan. Pilihlah pemimpin dipuncak dengan iman yang tinggi, hati yang ikhlas dan kebijaksanaan para hakim. Dapatkan maklumat yang jujur, jangan memihak sedari awal, ukurlah pemimpin dengan ukuran Islam dan janganlah kebencian peribadi menjadi faktor tangan yang memangkah.Istikharahlah, berwudu'lah, munajatlah dan pohonlah petunjuk agar pemimpin dipuncak yang bakal kita pilih adalah pemimpin pilihan yang akan memimpin barisan tentera pilihan pula.
Tembok musuh telah robek, tetapi perjuangan tidak akan berhenti di sini. Peluang yang ada ini jangan disia-siakan. Salahuddin hanya ada satu peluang membebaskan Palestina, Tariq bin Ziad hanya ada satu peluang membebaskan Andalusia, Muhammad AlFateh hanya ada zatu peluang membuka Konstantinapole. Kita semua ada berapa peluang?
sdgS - Salam perjuangan dari puncak Semanggol. Doa dan harapan kami panjatkan..
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan