Bismillahirahmanirrahim.
Artikel ni aku tulis September tahun lepas. Masa tu Pak Lah masih jadi PM dan YB Nizar masih jadi MB Perak. YB Jamaludin, YB Pak Man Jailu dan YB Hee Yit Fong belum lompat lagi. Isu hangat jugak masa tu.. Sengaja aku letak balik sekadar kenangan.. Lepas ni kalau ada masa terluang mungkin aku nak tulis satu posting bertajuk `PAS, PKR & DAP berganti-ganti jadi budak nakal!. Sekali-sekala aku nak `kutuk' parti sendiri takkan tak boleh kut. Kadang-kadang rumah kita sendiri pun ada masa kita jadi bosan, lalu kadang-kadang kita tersebut, `Apalah rumah aku ni, panas semacam je. Bila nak sejuk ni?' Tapi itu tak bermakna kita tak sayang rumah kita yang kita bina dengan tulang empat kerat, keringat dan air mata tu...
Keputusan PRU12 mungkin agak mencelarukan sedikit. Parti PAS menang dengan kapasiti yang begitu membanggakan diperingkat negeri (kecuali Trengganu) tetapi diperingkat Pusat kurang membanggakan sedikit dibanding dengan parti PKR dan DAP. Keputusan yang terjadi inilah menyebabkan sedikit kecelaruan timbul terutamanya dikalangan penyokong dan pendokong PAS.
Bagi saya memang dari awal lagi PAS telah membuat kenyataan bahawa PAS lebih menumpukan kepada negeri-negeri sebelah utara dan kurang memberi tumpuan untuk peringkat pusat.
Bila keputusan PRU12 diumumkan, tiba-tiba Tsunami politik berlaku. PAS bergembira kerana tiga negeri di Malaysia bermenteri besarkan orang PAS. Tahukah orang PAS bahawa salah satu negeri yang bermenteri besarkan orang PAS adalah negeri yang mendapat toleransi begitu besar daripada parti DAP dan PKR.. Dan satu lagi negeri juga adalah mendapat sokongan dari PKR.
Kemudian perang psikologi peringkat pusat pun mula dimainkan oleh tokoh besar Pakatan Rakyat, Anwar Ibrahim. Beliau menghebohkan bahawa 16 September akan jadi tarikh keramat dimana Pakatan Rakyat akan mengambil alih kerajaan. Heboh-heboh ini diwar-warkan sudah tentulah terutamanya oleh pemimpin PKR dan mungkin sedikit oleh DAP.
Perkara ini jelas ketidakpastiannya dan lebih kepada perang psikologi. Tetapi perkara inilah yang ramai penyokong dan pendokong PAS terliur.. Dalam tangan telah ada 3 ketul emas, tetapi bila kawan disebelah bising-bising, `kami akan dapat emas yang banyak 16 September nanti, emas yang besar!’, tiba-tiba kita jadi terliur.
Mulalah kita terasa emas ditangan kita kecil, dan terasa kawan kita tadi tak ajak kita berbincang sangat pun untuk mencari emas yang lebih besar tadi. Perkara `terliur’ ini menjangkit-jangkit lagi kepada perkara-perkara kecil yang lain, lalu kita mula melabel kawan-kawan kita tadi sebagai sudah tidak menghormati perjuangan Islam kita, sedang dari awal lagi kita sudah mengetahui bahawa kawan-kawan tadi bukanlah dari parti yang menjadikan Islam sebagai teras perjuangan.Apa jadi dengan emas tiga ketul ditangan kita tadi? Adakah telah kita canai dan tempa dengan cemerlang? Pada saya sewaktu Hero Pakatan Rakyat melaung-laung kerajaan baru 16 September, kita sepatutnya melaung-laung kaedah bagaimana kita akan mencanai dan menempa sungguh-sungguh tiga ketul emas tadi agar jadi sangat cantik dan berkilau. Biar bila dilihat orang semuanya terpegun, bukannya nampak `terliur’ dengan 16 September yang tidak pasti sehingga tiga ketul emas di genggaman jadi longgar. Tak pasti bila hendak dicanai dan di tempa..
Dua ketul emas lagi yang kita hanya ada sedikit saham, sudah tentulah tidak dapat dicanai sepenuhnya ikut selera kita, tetapi kalau sebahagiannya sudah ikut selera Islam, itu sudah memadai. Tak boleh buat semua, jangan tinggal semua.
Bagi saya PAS adalah parti yang kuat, jauh lebih kuat daripada PKR dan DAP. DAP tak ada cawangan pun di Kelantan dan Trengganu tetapi PAS ada cawangan sampai ke rumah panjang di Sarawak.
Bagi saya jadi nombor 3 diperingkat Pusat pasca PRU12 tidaklah tersasar daripada pelan PAS untuk menumpu negeri-negeri utara. Kalau hendak jadi nombor satu, kita perlu merancang betul-betul untuk PRU 13 supaya PAS mendapat kerusi yang sepatutnya dan berjuang mati-matian untuk kerusi tersebut. Jangan pula kerusi-kerusi tersebut diserah pada PKR dan DAP pula..
Selebihnya `dakwah’ beb. Janganlah terlalu mengharapkan parti-parti lain akan mempunyai pegangan yang sama dengan kita kalau kita hanya `menyerang’ mereka tetapi melupakan `dakwah’ pada mereka. Dalam `Perjanjian Hudaibiyah’ juga kumpulan Islam nampak rugi untuk beberapa tahun tetapi secara keseluruhannya untung sehingga mampu menakluk Kota Mekah.
Sekian sedikit komen dari ambo.
Suara Dari Gunung ni..
Khamis, 11 Jun 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan