Isnin, 8 Jun 2009

MANEK URAI: BAHANG PRK BERMULA..

Bismillahirahmanirrahim.

Muktamar Pas ke55 baru berakhir. Muktamar yang mendapat liputan paling meluas daripada media utama kalau tak silap aku. Kalau media utama pun dah bagi liputan `hangit', para blogger apa lagi, liputan `hangus'lah. Klik saja `pemilihan Pas' atau `muktamar Pas', bertimbun-timbun tajuk keluar.

Aku tidak berminat untuk menulis panjang berkenaan muktamar dengan liputan terhebat ini. Bukan apa, takut terperangkap di dalam kabus tebal perbahasan di dalam dan di luar muktamar. Apa pun, harapan aku selaku penyokong kerdil Pas dan Pakatan Rakyat, mudah-mudahan kabus tebal ini akan berlalu pergi diikuti dengan siraman hujan yang bersih lagi jernih airnya. Membasuh segala daki-daki kotoran dan seterusnya cahaya segar mentari akan kembali menyinari bumi. Itulah sahaja yang aku termampu doakan dari kaki Gunung Semanggol ini. Selebihnya aku pasrah..

Aku bermusafir jauh minggu lepas. Dari Machang ke Kuala Lumpur melalui jalan Gua Musang yang dilaluannya terdapat satu tempat yang bernama Manek Urai. Kawasan Manek Urai inilah yang akan diadakan pilihanraya kecil pada 14 Julai nanti bersamaan hari Selasa. Penamaan calon pula pada 6 Julai iaitu hari Isnin. Tarikh yang begitu tepat.. kata SPR. Penamaan calon pada hari bekerja dan hari mengundi juga pada hari bekerja. Ramailah yang terpaksa ambil cuti atau ramailah yang tak dapat datang penamaan calon atau tak dapat turun mengundi terus. Kalau tanya pada SPR tentu dia jawab, kawasan Manek Urai ini kawasan pedalaman, kebanyakan penduduknya bekerja sendiri, jadi tiada masalah mengundi hari apa pun.

Pilihan raya kecil Manek Urai ini mengikut berita yang diyakini, UMNO/BN akan kembali bertanding menggunakan lambang dacing. Ianya tidak seperti pilihan raya Penanti dulu di mana mereka turun dengan lambang kunci atau buku. Bila mereka turun dengan lambang dacing, maknanya besarlah peruntukan mereka dan beratlah pula cabaran buat parti Pas.

Aku melalui sebuah tempat dalam kawasan Manek Urai yang bernama Cuchuh Puteri. Bendera-bendera bulan dan dacing telah mula berkibaran. Cuchuh Puteri terkenal kerana buah duriannya sama seperti Bukit Gantang. Namun bukan nasib aktivis pilihan raya dan bukan nasib orang Manek Urai agaknya, durian dijangka belum gugur pada hari mengundi.

Kalau tidak silap ingatanku, pilihan raya kecil terakhir yang diadakan di Kelantan adalah di Pengkalan Pasir, dibuat di atas kematian seorang Adun Pas juga. Kempennya sangat hangat, ketika itu Dato Najib Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengarah Pilihan Raya UMNO dan keputusannya kemenangan kepada calon UMNO dengan majoriti kurang 200 undi.

PRK inilah yang barangkali akan digunakan oleh UMNO untuk menghembus kembali semangat dikalangan ahli-ahlinya. Kekalahan di empat tempat yang lain sudah tentu akan dipadamkan oleh media UMNO dan kemenangan di Pengkalan Pasir lah yang akan diwarwarkan. Modal kempen UMNO yang pertama tentulah pembangunan, sementelah lagi Manek Urai adalah kawasan pedalaman. Tentu UMNO akan menjanjikan bermacam-macam. Tentu UMNO akan menjanjikan pembangunan hebat yang tidak pernah terbayang oleh penduduk Manek Urai dalam kempen-kempen mereka.

Modal yang kedua pada fikiran penyokong kerdil ini adalah perpecahan pimpinan tertinggi Pas yang seolah-olah kelihatan jelas sewaktu muktamar yang baru berakhir. Kalau dua tiga hari ini pun media utama sudah memberi liputan `hangit', sudah tentulah semasa pilihan raya kecil nanti ianya akan diulang-ulang dan dibesar dan dimarakkan lagi. Belum jadi kerajaan sudah berpecah, kalau jadi kerajaan tentu rakyat punah-ranah. Mungkin begitulah buah kempen mereka.

Sebagai penyokong kerdil yang sayangkan perjuangan Islam, memang aku mengharapkan agar saf perjuangan Pas akan kembali dirapatkan sewaktu kempen PRK Manek Urai ini. Jangan sampai perbezaan buah fikiran dijadikan modal oleh UMNO untuk menewaskan Pas di Manek Urai. Kalau Pas tewas di Manek Urai, memang kerajaan Kelantan tidak tergugat, tetapi imej Pas akan jatuh, cerita perpecahan akan menjadi lauk utama media-media.

Aku yakin pimpinan Pas cukup matang berpolitik. Pepatah Melayu ada menyebut, biduk berlalu kiambang bertaut. Habis muktamar, saf kembali rapat, dakwah kembali panas, agenda memartabatkan Islam kembali di atas.

Manek Urai diringkaskan sebagai M.U. Ada orang menyebut M.U sebagai Muslimeen United. Mudah-mudahan PRK Manek Urai ini akan kembali menyatukan saf pimpinan parti Islam dan menyatukan semua para muslimin-muslimat pengundi-pengundi sekalian dibawah sinaran bulan purnama.


sdgS- Berselindung dibalik bayang Gunung Semanggol.

1 ulasan:

  1. salam tuan umah,saya nak maklum, saya link gambar tuan umah dalam n3 ni utk n3 di blog saya.. tq

    BalasPadam