Isnin, 22 September 2008

BERTARAWIKH DI BELAKANG MB NIZAR

Sahabat..
Apa ada di negeri mu?

Di negeri ku ini tidak banyak yang istimewa. Penduduk Islam sekitar 60% sahaja dari keseluruhan penduduk negeri. Yang Islam dan beriman pula tidak pasti.. Sekadar bersangka baik, mungkin sekitar 60% juga.

Pekerjaan orang Islam banyak bergantung pada orang bukan Islam. Makanan orang Islam banyak bergantung pada orang bukan Islam. Minuman orang Islam banyak bergantung pada orang bukan Islam. Pengangkutan orang Islam banyak bergantung pada orang bukan Islam. Pakaian orang Islam banyak bergantung pada orang bukan Islam. Rumah dan bangunan orang Islam banyak bergantung pada orang bukan Islam. Bahkan gaya hidup seharian orang Islam juga telah banyak berubah mengikut perubahan masa. Orang Islam menguasai bidang pentadbiran, pertahanan, keselamatan, adat-istiadat, persempadanan negeri dan majoriti tanah-tanah negeri. Selebihnya dikongsi bersama-sama. Alhamdulillah, setakat ini perkongsian bersifat mesra dan mudah-mudahan rahmat Allah terus bersama negeri Perak Darul Ridzuan.

Ramadhan ini rahmat Tuhan terasa menyimbah negeri ini. Negeri yang panjang berliku dari puncak Titiwangsa di balik utara kemudian menurun jauh hingga ke delta Sungai Perak di Selat Melaka. Sepanjang usiaku di tanah ini, bermain-main, bergaul mesra dengan alamnya, berseloka dengan rimbun hijaunya, belum lah pernah aku melihat, merasai Ramadhan dinegeriku seindah Ramadhan kali ini.

Bukan kerana lampu-pelitanya yang gemerlapan, bukan kerana bubur lambuknya yang tiada tandingan, bukan kerana bingit mercun dan percikan bunga apinya, bukan kerana bazar Ramadhannya yang riuh bersorakan, bukan kerana ketupat lemang seni makanan warisan tradisinya, tetapi kerana budaya baru yang di bawa MB baru tanah ini.

Rahmat Tuhan bersama negeri Perak insya Allah.. Sepanjang usia ini, ditanah ini, belumlah pernah aku melihat orang China dan India yang belum Islam datang ke halaman masjid bergerombolan, sama-sama menikmati hidangan berbuka puasa dengan ala kadarnya. Apa guna membuang masa di waktu maghrib tumpang berbuka di halaman masjid sedang diri tidak berpuasa? Sekali fikir mungkin itu persoalannya, tetapi bila direnung jauh, inilah resipi baru MB yang baru buat memecah tembok assobiyah.

Rahmat Allah untuk tanah ini insya Allah.. Sepanjang usia ini, di daerah ini belumlah pernah aku melihat orang India dan orang China yang belum Islam bergerombolan diluar masjid menantikan orang Islam yang bertarawikh di dalamnya. Apa guna berkumpul diluar masjid di waktu tarawikh, sedang diri tidak bersolat? Itu soalan yang timbul di benak, tetapi mereka menunggu-nunggu MB selesai solat. Untuk mendengar kata-kata hikmatnya. Untuk mendengar tazkirah peringatannya..

Rahmat Allah untuk rakyat negeri ini insya Allah.. Sepanjang usia ini, di tanah tumpah darah ini, inilah acara sulungku bertarawikh di belakang Menteri Besar ku sendiri. Untuk sekian lama dan sekian waktu, keindahan peristiwa, kemanisan Ramadhan ini tercatat dan terpahat indah dalam qalbu memori sebuah jiwa yang bernama rakyat.

Hindari assobiyah(perkauman)!
Tegas sekali suara MB ku malam itu semasa sesi Tazkirah. `Bukan dikalangan ummatku barang siapa di kalangan kamu yang menyeru kepada assobiyah.’ Beliau memetik potongan hadis Nabi dan membacanya dengan lancar. Kalau ada di kalangan kita yang tindas-menindas di negeri ini kerana dasar perkauman bermakna kita telah menzalimi sebahagian daripada makhluk Allah, ujarnya lagi. Saya takut jika ditanya oleh Allah kenapa kamu menindas sebahagian daripada makhluk Aku kerana kepentingan sebahagian makhluk yang lain, sedangkan semuanya adalah makhluk Aku, tambahnya lagi.

Dirikan solat, tegas MB ku lagi.
Bulan Ramadhan ini, kata MB ku, ramai di kalangan kita yang begitu gembira menyambut kedatangannya atas pelbagai matlamat. Bulan Ramadhan ini juga kata MB ku, ramai umat Islam yang berlapar dahaga kerana mengerjakan puasa. Tiba-tiba MB ku bertanya, tahukah hadirin, ada berapa ayat yang memerintahkan berpuasa? Aku pun termangu, ada berapa ayat perintah berpuasa ye?

MB ku menjelaskan, sejak lebih 1000 tahun lalu, hanya satu ayat al-Quran yang memerintahkan umat Islam berpuasa, tidak sampai 1% pun daripada kandungan al-Quran. Atas ayat yang satu itulah umat Islam berpegang teguh mengerjakan ibadah puasa saban tahun. Hafalkah kita ayat yang satu itu? Tiba-tiba MB ku bertanya lagi. Ramai yang tersenyum dan tersengih kerana tidak hafal sedang usia sudah menongkat dunia. Rugi kita selama ini kerana tidak hafal ayat yang satu ini, sebut MB ku sambil membacanya dengan lancar. Mudah-mudahan tahun ini hafallah kita ayat ini, sambungnya lagi.

Tiba-tiba MB bertanya lagi. Sidang hadirin sekalian, berapa ayatkah dalam al-Quran yang menyuruh dan mengingatkan kita supaya bersolat? Sekali lagi aku termangu, tak mampu menjawabnya. Sudah 2 kali aku terasa jahil malam ini.. MB ku menjelaskan dengan lembut. Tidak kurang 60 ayat yang memerintahkan dan mengingatkan kita tentang solat, katanya lagi. Tetapi hakikatnya kita melihat dengan mata kepala kita sendiri betapa ramainya umat Islam yang berlapar dahaga di bulan Ramadhan tetapi tidak melatih sendi-sendi badan buat mendirikan solat, ujarnya lagi. Sebagai Menteri Besar saya menyeru dengan sesungguhnya agar rakyat negeri Perak membudayakan solat dalam kehidupan, katanya lagi. Agenda solat akan menjadi agenda penting kerajaan pimpinan saya, tambahnya lagi.

Ruang masjid penuh sesak. Hampir tiada tempat duduk lagi. Hadirin mendengar dengan khusyu’. Acara sulung dalam kehidupan mungkin, mendengar MB sendiri memberi tazkirah di Ramadhan yang mulia. Ramadhan 1429H yang penuh berkat. `Saya mohon rakyat negeri Perak menjadi `cerdik’ di bulan Ramadhan yang mulia ini dengan mendekati al-Quran, memahami al-Quran dan menghayati al-Quran didalam kehidupan kita sepanjang hayat,’ ujarnya lagi dipenghujung tazkirah.

Mudah-mudahan tazkirah itu membawa `islah’ kepada sekalian pendengar Islam, membawa dakwah dan hidayah pula kepada gerombolan yang ada di luar sana, demikian doa di dalam hati kecilku. Sekian banyak masjid dinegeri ini yang menjemput MB ku mengimarahkan Ramadhan, bertarawikh bersama-sama dan memberi tazkirah di hujungnya. Mudah-mudahan suburlah bumi negeri ini dengan Islam, mudah-mudahan turunlah hidayah atas mereka-mereka yang lain. Mudah-mudahan dipersaudarakanlah bangsa yang pelbagai di negeri ini dengan kalimah `Laa ilahaillallah, Muhammad Rasulullah’, sebagaimana bersaudaranya Aus dan Khazraj, Ansar dan Muhajirin dengan kalimah `Laa ilahaillallah, Muhammad Rasulullah’. Berdoalah sekalian yang muslim, berdoalah sekalian yang mukmin, doa itu senjata orang mukmin..

Sekali lagi sahabat...
Apa ada di negerimu?

Noktah terakhir suatu coretan tidak bermakna penutup bicara. Pada malam, bulan dan keindahan, mungkin ada mesej yang tak kesampaian. Pada sahabat semua, selamat mengimarahkan akhir Ramadhan dan selamat meraikan Aidilfitri.

Sekian buat kali ini.
Suaradarigunung Semanggul.

Isnin, 15 September 2008

KISAH MB PERAK DARI MULUT SEORANG PEMANDU..

Sebenarnya blog ini jikalau ikut perancangan asalnya hanya akan di kemas kini seminggu atau dua minggu sekali. Tetapi oleh kerana kisah ini adalah satu cerita, maka saya awalkan sedikit menulisnya. Cerita kalau dilambat-lambatkan mungkin akan jadi basi, dan mungkin saya sendiri pun nanti turut terlupa bahan-bahannya.

AL kisah, sedang saya bertugas, masuklah seorang `pelanggan’ yang agak baru pada pandangan saya. Beliau bertubuh besar dan tinggi, berat badan anggaran seratus kilo pada hemat saya, dengan usia sekitar 50an. Masuk dengan bertongkat tetapi masih dapat berjalan dengan baik. Beliau memakai sut berwarna biru gelap, seluar juga biru gelap, seperti yang biasa dipakai oleh petugas keselamatan atau pengawal penjara.
Seperti biasa saya menguntum senyum, beliau juga tersenyum. Saya memperkenalkan diri kepada pelanggan baru seperti mana biasa. Beliau juga memperkenalkan diri tetapi memaklumkan bahawa beliau bukanlah pelanggan baru tetapi sudah tiga kali datang ke tempat saya bekerja cumanya beliau berjumpa dengan staff yang lain. Rekod beliau saya periksa dan saya mohon maaf kerana tidak perasan bahawa kedatangan beliau ialah kali yang ketiga.

Saya bertanya kenapa bertongkat, sedang saya lihat beliau masih mampu berjalan dengan tegap. Beliau tersenyum, baru beberapa bulan lepas `operation’ di tulang belakang kata beliau. Takut lantai licin, katanya lagi sambil menunjuk beberapa tempat yang sedang di mop oleh pekerja bangunan.

Rekod beliau saya periksa selama beberapa minit dan akhirnya maklumlah saya apa masalah beliau. Tidaklah mahu saya memperpanjangkan apa masalah beliau dan apa kerjaya saya kerana tajuk kisah ini dan blog suaradarigunung ini bukanlah bertujuan untuk itu. Saya meneruskan perbualan sosial dengan pelanggan tersebut.

`Encik kerja di mana?’ Tanya saya ringkas.
`Di bangunan SUK (Bangunan Perak Darul Redzuan),’ jawabnya pula ringkas.
`Sebagai..? '
`Sebagai pemandu peribadi pegawai’, katanya pula.
`Oh... Pemandu peribadi pegawai mana?’ spontan saya bertanya.
`Pemandu peribadi Pegawai Kewangan Negeri’, sambungnya pula.

`Boleh memandukah sekarang, selepas `operation’ tu?’ tanya saya lagi memanjangkan perbualan.
`Alhamdulillah, sekarang sudah boleh memandu, tetapi di sekitar Ipoh sahaja, kalau nak pergi jauh kena serah pada orang lain’, ceritanya lagi.
`Tak ada masalah kah?’ tanya saya pula.

`Alhamdulillah, sama-sama kita ni bolehlah saya mengadu nasib’, lebih kurang begitulah katanya.
`Tambah-tambah lagi sekarang ni kita ada MB baru’, katanya lagi.
`Kenapa dengan MB baru?’ saya bertanya lagi.
`Ye lah, MB baru kita ni orang agama,’ katanya lagi, lari dari topik asal sakit belakang dan kemampuannya memandu.
`Selalu dia sembahyang Zohor dan Asar berjemaah bersama kami di surau bangunan SUK tu,’ ceritanya lagi.
Sejuk hati saya mendengar cerita baik-baik berkenaan Menteri Besar negeri saya dari seorang Pemandu seperti beliau.
`Dia orang agama,’ katanya lagi. `Makan tengahari pun selalu bersama kami di kantin bangunan sahaja,’ sambungnya lagi. `Dah beberapa kali beliau yang belanja kami makan,’ ceritanya lagi.

Begitu gembira hati saya mendengar ceritanya.. Kalau dahulu kisah-kisah sebegini hanya dapat didengar dari Menteri Besar Kelantan atau Menteri Besar Trengganu 00/04 sahaja. Selebihnya hanyalah dari himpunan kisah-kisah Sahabat, Tabi’-Tabi’in dan salafus-soleh. Alhamdulillah, sekarang ini cerita yang sama sudah dapat didengar dari Menteri Besar Negeri Perak. Negeri yang hanya 55% penduduknya Islam. Dari 55% itu pula tidak diketahui berapa peratus pula yang beriman.

Ingin sekali hati saya bertanya, MB yang dulu bagaimana? Tetapi saya terasa tempat bekerja bukanlah medannya. Saya bekerja sebagai seorang profesional, tidak memihak dan berprasangka kepada siapa-siapa. Tiba-tiba staff dihadapan memberitahu, ada pelanggan lain sedang menunggu. Saya terkedu. `Encik, lain kali kita cerita lagi. Seronok saya mendengar cerita dari Encik’. Dia tersenyum, kami bersalaman. Dia berlalu pergi sambil menghayun tongkatnya.

Petang hari berikutnya sempat saya menelaah al-Quran. Surah al-Hujurat ayat 12. Syukurlah saya kerana saya tidak menanyakan darihal yang bukan-bukan berkenaan MB yang lepas kepada Pemandu Kerajaan Perak tersebut. Saya bukan orang politik dan saya bukan musuh politik MB yang lalu. Justeru saya kira surah al Hujurat ayat 12 tersebut adalah terkena pada diri saya sebagai orang yang Islam dan beriman.






Sekian, jumpa lagi.
Suaradarigunung ni..






Sabtu, 13 September 2008

PAS NOMBOR TIGA UNTUK EMPAT TAHUN..

Keputusan PRU12 mungkin agak mencelarukan sedikit. Parti PAS menang dengan kapasiti yang begitu membanggakan diperingkat negeri (kecuali Trengganu) tetapi diperingkat Pusat kurang membanggakan sedikit dibanding dengan parti PKR dan DAP. Keputusan yang terjadi inilah menyebabkan sedikit kecelaruan timbul terutamanya dikalangan penyokong dan pendokong PAS.

Bagi saya memang dari awal lagi PAS telah membuat kenyataan bahawa PAS lebih menumpukan kepada negeri-negeri sebelah utara dan kurang memberi tumpuan untuk peringkat pusat.

Bila keputusan PRU12 diumumkan, tiba-tiba Tsunami politik berlaku. PAS bergembira kerana tiga negeri di Malaysia bermenteri besarkan orang PAS. Tahukah orang PAS bahawa salah satu negeri yang bermenteri besarkan orang PAS adalah negeri yang mendapat toleransi begitu besar daripada parti DAP dan PKR.. Dan satu lagi negeri juga adalah mendapat sokongan dari PKR.

Kemudian perang psikologi peringkat pusat pun mula dimainkan oleh tokoh besar Pakatan Rakyat, Anwar Ibrahim. Beliau menghebohkan bahawa 16 September akan jadi tarikh keramat dimana Pakatan Rakyat akan mengambil alih kerajaan. Heboh-heboh ini diwar-warkan sudah tentulah terutamanya oleh pemimpin PKR dan mungkin sedikit oleh DAP.
Perkara ini jelas ketidakpastiannya dan lebih kepada perang psikologi. Tetapi perkara inilah yang ramai penyokong dan pendokong PAS terliur.. Dalam tangan telah ada 3 ketul emas, tetapi bila kawan disebelah bising-bising, `kami akan dapat emas yang banyak 16 September nanti, emas yang besar!’, tiba-tiba kita jadi terliur.

Mulalah kita terasa emas ditangan kita kecil, dan terasa kawan kita tadi tak ajak kita berbincang sangat pun untuk mencari emas yang lebih besar tadi. Perkara `terliur’ ini menjangkit-jangkit lagi kepada perkara-perkara kecil yang lain, lalu kita mula melabel kawan-kawan kita tadi sebagai sudah tidak menghormati perjuangan Islam kita, sedang dari awal lagi kita sudah mengetahui bahawa kawan-kawan tadi bukanlah dari parti yang menjadikan Islam sebagai teras perjuangan.

Apa jadi dengan emas tiga ketul ditangan kita tadi? Adakah telah kita canai dan tempa dengan cemerlang? Pada saya sewaktu Hero Pakatan Rakyat melaung-laung kerajaan baru 16 September, kita sepatutnya melaung-laung kaedah bagaimana kita akan mencanai dan menempa sungguh-sungguh tiga ketul emas tadi agar jadi sangat cantik dan berkilau. Biar bila dilihat orang semuanya terpegun, bukannya nampak `terliur’ dengan 16 September yang tidak pasti sehingga tiga ketul emas di genggaman jadi longgar. Tak pasti bila hendak dicanai dan di tempa..

Dua ketul emas lagi yang kita hanya ada sedikit saham, sudah tentulah tidak dapat dicanai sepenuhnya ikut selera kita, tetapi kalau sebahagiannya sudah ikut selera Islam, itu sudah memadai. Tak boleh buat semua, jangan tinggal semua.

Bagi saya PAS adalah parti yang kuat, jauh lebih kuat daripada PKR dan DAP. DAP tak ada cawangan pun di Kelantan dan Trengganu tetapi PAS ada cawangan sampai ke rumah panjang di Sarawak.
Bagi saya jadi nombor 3 diperingkat Pusat pasca PRU12 tidaklah tersasar daripada pelan PAS untuk menumpu negeri-negeri utara. Kalau hendak jadi nombor satu, kita perlu merancang betul-betul untuk PRU 13 supaya PAS mendapat kerusi yang sepatutnya dan berjuang mati-matian untuk kerusi tersebut. Jangan pula kerusi-kerusi tersebut diserah pada PKR dan DAP pula..

Selebihnya `dakwah’ beb. Janganlah terlalu mengharapkan parti-parti lain akan mempunyai pegangan yang sama dengan kita kalau kita hanya `menyerang’ mereka tetapi melupakan `dakwah’ pada mereka. Dalam `Perjanjian Hudaibiyah’ juga kumpulan Islam nampak rugi untuk beberapa tahun tetapi secara keseluruhannya untung sehingga mampu menakluk Kota Mekah.
Sekian sedikit komen dari ambo.
Suara Dari Gunung ni..