Selasa, 24 November 2009

2 TOK GURU: Kenangan sedari kecil Abu Afnain..

Bismillahirrahmanirahim
(Kadang-kadang kita hanya kenal 2 Tok Guru di pentas politik, atau mungkin semasa mereka merasmikan mesyuarat Agung cawangan atau kawasan. Kadang-kadang kita mungkin dapat peluang menyambutnya dilapangan terbang, bersalam dan minum pagi atau makan tengahari dengan keduanya. Maka kita terasa kita telah kenal akan keduanya. Hari ini aku bawakan tulisan seorang kawan lama yang menjadi pengikut setia 2 Tok Guru sejak kecil. Tulisannya santai. Dia gelar dirinya Abu Afnain, dia orang Trengganu. Itu sahaja yang boleh aku perkenalkan. Mudah-mudahan tulisan ini memberi kita info yang lebih baik)

SEPINTAS LALU
Masjid Rusila tu sebenarnya adalah masjid peninggalan arwah ayah TGHH, iaitu Tuan Guru Hj Awang Muhamad, seorang ulama terkenal di Terengganu masa tu. Ikut sejarahnya, masjid itu kadang-kadang menjadi tempat persinggahan Tuan Guru Hj Abdul Rahman Limbung semasa kemuncak penentangan terhadap penjajah British. Selepas kematian ayahnya, beliau terus mengambil alih tugas mengajar dan berdakwah dimasjid berkenaan.

Saya masih ingat, kali pertama saya menghadiri kuliah pagi Jumaat TGHH...masa tu saya masih dibangku sekolah rendah . Arwah ayah selalu bawa saya kesana dengan motor vespa warna hijau kepala itiknya. Kuliah pertama yang saya dengar kalau tak silap dari kitab Mustika Hadith. Kitab ni sebenarnya ada dua jilid. Dalam jilid pertama, ada satu bab pada menyatakan wajibnya menjaga Iman dan Islam supaya tidak menjadi rosak dan binasa...

Selesai kuliah, TGHH turun dari masjid. TGHH memakai kain pelikat macam kain pelikat samarinda, berbaju melayu dengan serban terikat rapi dikepalanya. “Nak..tu tok guru dah turun, pergilah salam dengan dia”gesa arwah ayah. ..Saya bersalam dengan TGHH, mencium tangannya, mendongak sekejap melihat air mukanya..putih bersih dan bersemangat.”Nanti besar nanti, kena jadi macam tok guru..Saya hanya mendiamkan diri, mungkin masa itu saya taklah faham sangat atau tak ambil kisah sangat apa maksud arwah ayah. Namun semua kenangan itu masih terpahat kukuh di dalam benak fikiran saya.

Masjid Rusila pada masa tu, masih merupakan sebuah masjid kayu, seperti masjid-masjid kampung yang lain juga. Ada kolah diluar masjid, ada pam air manual, guna tangan, kena ‘gumber’ berkali-kali. Lepas tu baru air keluar, seterusnya dialirkan ke kolah berdekatan.

SEMASA SEKOLAH MENENGAH

Semasa sekolah menengah, saya tinggal di asrama. Sekali-sekala bila cuti, saya tidak melepaskan peluang untuk ke Rusila mendengar kuliah Tuan Guru. Masjidnya dah dibesarkan jadi dua tingkat..masjid kayu yang asal diangkat, bahagian bawahnya dibina tambahan dari batu-bata dan simen...Saya suka berada di tingkat atas, di bahagian depan, sebab disamping membuat catatan, saya dapat lihat Tuan Guru dengan jelas dibawahnya.
Masjid 2 tingkat itu masih tak dapat menampung kebanjiran jemaah, terutamanya semasa sembahyang raya, jemaah akan melimpah sehingga ada yang terpaksa menghampar sejadah dan tikar di atas atap!!!

Saya masih ingat ketika berlakunya peristiwa Memali yang menyaksikan kesyahidan para pejuang menentang kezaliman, masjid Rusila penuh sesak dengan para jemaah untuk mendengar khutbah pada hari Jumaat, mendengar ulasan Tuan Guru. Beliau dengan tegasnya menentang sekeras-kerasnya keputusan majlis fatwa yang menafikan kesyahidan As-Syahid Ustaz Ibrahim dan rakan-rakannya serta menggelarkan mereka sebagai ‘Bughah”. Tuan Guru telah menyifatkan fatwa itu sebagai zalim...Seingat saya diwaktu itu, PAS hanya mempunyai hanya satu kerusi parlimen yang diwakili oleh TGNA. TGNAlah yang bermati-matian mempertahankan maruah Ustaz Ibrahim dan rakan-rakannya, sementara DSAI pada masa tu masih lagi berenang-renang dalam ‘tong’ UMNO!!!

SEMASA DI UNIVERSITI DAN BEKERJA

Semasa di universit, taqdirnya saya menuntut di Kelantan. Saya mungkin banyak terdedah dengan kuliah TGNA, namun sekali-sekala bila saya pulang kekampung, saya tidak melepaskan peluang untuk ke Masjid Rusila yang terus berkembang pesat menjadi pusat pengajian ilmu Islam.

Guru Yang Mursyid

Saya terpaksa menangguhkan pengajian setahun selepas terbabit dengan kemalangan jalanraya yang mengorbankan sahabat saya yang paling karib, masa saya tahun 4, pada tahun 1995. Semasa menyambung pengajian semula, saya tinggal sebilik dengan kawan saya yang merupakan orang kuat Tabligh. Ada hari tertentu dalam satu minggu tu, mereka akan mengadakan majlis macam halaqah disurau yang dipimpin oleh seorang ustaz.

“Petang ni, ustaz kami menceritakan tentang 2 orang guru yang diakui sebagai mursyid olehnya”, cerita salah seorang kawan saya (Tabligh). “Ya ke?. Sapa dia, boleh aku tahu ke?”..sudah tentu saya ingin tahu. “Tok Guru Nik Aziz dan Tok Guru Hj Hadi”...jawabnya ringkas. “Ustaz banyak cerita perihal kelebihan kedua-dua Tok Guru tu, diantaranya ialah pertunjuk dari istikharah Tok Guru Hj Hadi...” terangnya lagi. “Haa!!..Saya tergamam sebab saya jangkakan kawan saya akan sebutkan perihal guru-guru dari Tabligh juga...

Usrah Di Sabah
Selepas menamatkan pengajian di Kelantan, saya bekerja di Kota Kinabalu, Sabah. Alhamdulillah, saya berpeluang mengikuti usrah yang dipimpin oleh Al Fadhil Ustaz Nasir (orang Kelantan). Dalam berusrah inilah, saya dapat tahu yang TGHH pernah bermimpi berjumpa dengan Rasulullah SAW...dan ianya di iyakan oleh beberapa orang sahabat usrah.

“Jadi.. apakah kita masih ragu-ragu untuk terus mengikuti pimpinan Islam yang telah diberi kelebihan seperti ini”, tegas pimpinan usrah pada masa itu. Saya juga masih ingat bila saya membaca satu cerita di internet, kalau tak silap tahun lepas, menceritakan mimpi yang dialami oleh oleh seorang ustaz ketika berada didalam penjara. Ustaz berkenaan bermimpi berjumpa dengan Saidina Umar Al Khatab RA, kemudian dalam mimpi itu datang imbasan..antara imbasan yang datang ialah gambaran kaabah yang sentiasa dipenuhi oleh manusia yang memuji dan memuja Allah dan kemudian gambaran TGHH sedang mengajar dengan dikelilingi oleh murid-muridnya. .Kalau tak silap saya nama ustaz berkenaan ialah Al Fadhil Ustaz Mokhtar Senik. Wallahu a’lam.

PERIBADI TGHH YANG SAYA TAHU

Saya pernah berjumpa dengan seorang ustaz yang menjadi guru kepada TGHH semasa di sekolah menengah. Mengikut cerita beliau, bakat kepimpinan dan keberanian TGHH sudah terserlah semasa dibangku sekolah lagi. Beliau seorang yang berani berdakwah melalui ceramah-ceramah hatta ceramah umum pun. Ustaz tersebut sekarang masih sihat, aktif dengan klinik Homeopathynya, yang terletak di KG Bukit Tok Beng, Terengganu, juga merupakan besan kepada Ustaz Hassan Salleh, bekas ADUN Bukit Payong. Arwah ayah pernah menceritakan, sekali peristiwa ibu kepada TGHH pernah merayu agar TGHH tidak keluar berceramah kepada umum, takut-takut ada tindakan dari pihak berkuasa..namun semua itu tidak melunturkan semangat beliau, beliau tetap meneruskan ceramahnya.. .sedangkan usianya diwaktu itu baru belasan tahun..

Arwah ayah juga pernah bercerita..ada seorang pencuri perempuan ditangkap oleh penduduk kampung dan dibawa kepada TGHH untuk tindakan selanjutnya. TGHH tidak mengambil tindakan terus, tetapi dijemput semuanya naik kerumah dulu dan diselidikinya terlebih dahulu..anak siapa, tinggal kat mana, mengapa mencuri..barulah tindakan selanjutnya diambil. Bukankah setiap pertuduhan itu mestilah disertai dengan siasatan, bukti dan hujah???

Saya juga pernah bercakap dengan salah seorang ustaz, pimpinan ulama di Terengganu.. antara kegemaran TGHH ialah menulis, masa yang terluang akan di gunakan untuk menulis, walau didalam keretanya..kemudian akan dia e-mailkan kepada ustaz berkenaan untuk di edit. “Ustaz edit macam mana ye?”, saya bertanya kerana ingin mengetahui lebih lanjut. “Ana sebenarnya tak ubah apa-apa pun, ana baiki ejaan je kalau silap, itu sajelah yang ana edit”, jelas beliau.

“Ana pun tak tahu bila masa tok guru berehat...semua masanya terisi”, tambah beliau lagi dengan suara perlahan.” Jadi semua buku tok guru tu adalah hasil karangan beliau 100% lah ye?” saya bertanya lagi. “Ye...memang betul, itu adalah hasil tangan beliau 100%”.

Perkara ini juga disahkan oleh pemandu peribadi beliau. Satu ketika saya berpeluang bertemu dengan pemandu peribadi beliau, kami juga sempat berbual. ”Saya pun tak pasti jam berapa Tok Guru tidur setiap malam..mungkin jam 2 lebih atau jam 3 lebih, pagi. Sangat jarang kurang dari tu”..luah beliau.

CATATAN SELAMA SEMINGGU.
23 Oktober 2009, Jumaat

9.00am-10.30am
Seperti biasa saya bersama isteri dan anak-anak ke Masjid Rusila untuk mendengar kuliah TGHH. Sehari dua sebelumnya, media massa dan internet sudah heboh dengan cetusan TGNA dalam blognya berkenaan dengan keperluan mengadakan EGM. Kuliah beliau tetap seperti biasa, bersemangat dan jelas..menamatkan buku Muqaddimah Aqidah Muslimin, bersambung dengan buku Beriman Kepada Allah. Juga kitab Riadhus Salihin dan Tafsir Quran, surah Az-Zariyat.

8.00pm-10pm

Kami sekeluarga menghadiri jamuan makan malam sambil mengutip derma untuk tabung pembinaan Maahad Darul Iman, Masjid Titian Baru, dalam Dun Bkt. Payong. Sambutan sangat hebat, dengan kehadiran yang melimpah hingga keluar, ditambah lagi dengan kehadiran TGHH dan diserikan oleh kumpulan nasyid In-Team. Ucapan TGHH ringkas, padat dan tersusun menyebabkan saya dan isteri dapat memahami dengan jelas, InsyaAllah.. Ianya berkisar disekitar keperluan mendidik manusia supaya mampu menguruskan kehidupan ini dengan sebaik mungkin.

“Baba dengar tak cara Tok Guru cakap, cukup tersusun, macam ayat-ayat yang kita boleh baca..tak ada simpang siur, mungkin inilah sebab Tok Guru dihormati oleh orang”, komen isteri saya. “Setakat yang baba tahu, mengikut kata orang yang pernah bersama dia, tak ada yang keluar dari mulutnya melainkan ilmu”, saya cuba menambah setakat maklumat yang saya tahu. Majlis makan tersebut berjaya mengutip RM100 000 untuk tujuan pembinaan Maahad berkenaan.

Bila TGHH keluar dari dewan, saya cepat-cepat menyuruh kedua- dua anak lelaki saya bersalam dengan TGHH, dikuti dengan saya. Melihat kepada air muka TGHH seolah-olah tidak ada masalah yang sedang melanda.

23 Oktober-27 Oktober
Saya mengikuti saja perkembangan berkenaan keperluan EGM, membaca pendapat-pendapat dari bloggers juga membaca e-mail sahabat-sahabat.

28 Oktober 2009
Pagi.
Isteri saya berpeluang berbual-bual dengan isteri TGHH pagi ini. Mereka berbual hal kesihatan.
“Umi tengok macam ada sedikit kerisauan pada wajah Cik Ngah Nab” terang isteri saya. Kami biasa panggil isteri TGHH dengan nama Cik Ngah Nab. Saya terdiam sebentar. “Ye lah...sekarang ni macam-macam, sebagai isteri, tentu Cik Ngah Nab pun turut terasa bebannya”, mungkin itulah jawapan yang saya boleh berikan. Bukankah itu juga merupakan bukti cinta kasih seorang isteri kepada suami...berat sama dipikul, ringan sama di jinjing, seperti kehidupan Khadijah RA ketika bersama Rasulullah SAW..

Malam “Tak ada apa-apa berita lagi ke baba?”, tanya isteri saya ingin tahu. Malam ini dijadualkan akan berlangsung mesyuarat JK khas PAS Pusat beserta dengan pesuruhjaya2 negeri masing-masing. “Mesyuarat tu kan, mesyuarat tertutup, maknanya perjalanan mesyuarat tu sepatutnya jadi rahsia, jadi kita tunggulah apa kata Tok Guru masa sidang media nanti”..terang saya.

29 Oktober 2009

Saya membaca harakah daily berkenaan dengan keputusan mesyuarat JK PAS Pusat itu...mudah- mudahan itulah keputusan terbaik, amin...
Tiba-tiba hati saya tergerak untuk membuka beberapa blog untuk meninjau pendapat bloggers. Nah... seperti yang saya jangka kedapatan bloggers yang membuat ulasan seolah-olah mereka tahu perjalanan mesyuarat tertutup berkenaan, siap bagi percent-percent lagi tu...Adakah mereka benar-benar tahu? Bukankah itu mesyuarat tertutup yang hanya diketahui isi perbincangannya oleh yang hadir sahaja? Jika begitu...siapa yang membocorkannya?

Ada beberapa andaian. Mungkinkah ada antara AJK PAS Pusat yang hadir yang buat mulut, bercerita dengan bloggers atau orang lain? Jika begitu, amanahkah dia itu? Di dalam prinsip berjemaah, tidak bolehkah mereka menjaga kerahsiaan kepada perkara-perkara yang wajib dirahsiakan? Jika benar ada yang membocorkannya, maka merekalah yang terlebih dahulu patut menerima hukuman.

Jika bukan ianya datang dari dalam...adakah itu bermakna tulisan tersebut hanya merupakan rekaan blogger tersebut semata-mata? Jika betullah ianya merupakan rekaan dari mereka...maka merekalah sebenarnya yang menjadi perosak dan agen pemecah belah jemaah dan merekalah munafiqun.

BUKTI PENGORBANAN KHADIJAH
(Ini suatu prolog)

Sedang saya mengelamun dalam bas yang membawa kami bersiar-siar mengelilingi Mekah, mutawwif yang tak putus-putus memberi penerangan sepanjang perjalanan kami tiba-tiba menunjukkan kepada sebuah gua yang terletak di puncak sebuah bukit. “Di gua itulah Rasulullah SAW selalu beruzlah, menyendiri, memikirkan keadaan kaumnya yang rosak akhlak dan berusaha untuk mencari kebenaran”. “ Isteri Baginda SAW, Khadijah lah yang berulang alik membawa bekal kepada Baginda tatkala Baginda beruzlah”. Saya mendongak keatas bukit melalui cermin bas, gua itu kelihatan tinggi terletak diatas bukit dengan jalannya dipenuhi oleh batu-batu kasar. “Itulah antara bukti cinta kasih Khadijah terhadap Baginda, sanggup lakukan apa saja, berkorban apa saja walaupun terpaksa mendaki bukit dengan kudrat seorang perempuan, semata-mata untuk menghantar bekalan kepada suami tercinta”, terang mutawwif lagi.
Bila saya teringat pengalaman tersebut, tiba-tiba saya teringat kepada Cik Ngah Nab. Barangkali itulah yang sedang dirasai beliau yang dipamerkan melalui riak risau diwajahnya.

KENANGAN BERSAMA TGNA

SEMASA DI UNIVERSITI
Saya mungkin tidak mempunyai banyak kenangan dengan TGNA sebanyak TGHH. Saya mula mengikuti kuliah beliau semasa saya berada di Kelantan. Saya memang kagum dengan cara TGNA menafsirkan Al Quran. Sampai satu peringkat, kadang-kadang saya merasakan bagaikan seorang ayah sedang bercakap dengan seorang anak bila mendengar gaya kuliahnya.

Kali pertama saya menjejakkan kaki di rumah TGNA ialah ketika mengikuti rombongan usrah ke rumah beliau. Rumah yang cukup sederhana, selepas habis saja naik anak tangga terus masuk ke ruang tamu. Baru saya perasan yang rumah TGNA rupa-rupanya tak ada bahagian luar rumah. Kami dijamu dengan buah rambutan pada petang tu, cukup sederhana, disamping berkesempatan bertanya sedikit sebanyak persoalan isu semasa... melihat cara kehidupan TGNA, diri terasa insaf..kesederhanaan yang ditunjukkan oleh TGNA walaupun sudah bergelar Menteri Besar Kelantan! Teringat pula saya pada keadaan rumah TGHH, lebih kurang sama...bukan dunia yang dikejar, tapi amanah yang dipegang, ditunaikan sebaik mungkin untuk mendapatkan redhaNya...

KENANGAN SEMASA UMRAH 2008

Seperti biasa saya dan rakan-rakan seangkatan yang lain banyak menghabiskan masa di Masjidil Haram. Saya suka memilih ruang saf dibawah teduhan, di bahagian depan, supaya saya boleh melihat Kaabah dengan sejelas-jelasnya. Masa yang ada saya gunakan sebaik-baiknya untuk membaca Quran dan menghisab diri yang selalu dalam kelalaian.
Disuatu ketika, sedang saya membaca Quran, tiba-tiba terpandang kelibat TGNA sedang mengambil tempat di saf lebih hadapan dan di sebelah kanan saya. TGNA memakai jubah putih, kopiah putih dengan serban putih di letakkan di bahunya. Nyaris- nyaris saya bergerak ke depan dan duduk di sebelah beliau..tapi saya tahan diri..biarlah, sekurang-kurangnya saya boleh memerhatikannya dari belakang. Saya perhatikan cara beliau pegang, buka dan baca Quran, sekali-sekala TGNA menatap Kaabah didepannya.. dan saya perhatikan cara beliau solat, amat tertib sekali. Selesai saja menunaikan solat fardhu dan sunat, saya cepat-cepat pergi mendapatkan TGNA, bersalam dan mencium tangannya... puas hati rasanya sebab dapat melakukannya di dalam Masjidil Haram..

RUGINYA AKAK!!!

“Tadi saya jumpa dengan TGNA kat Masjidil Haram, dia sembahyang kat depan saya, sempat salam dan cium tangan TGNA”, dengan gembiranya saya khabarkan kepada rakan-rakan yang lain bila berada di lobi Hotel Firdaus.”Ye ke.. awat tak habaq kat akak”...tanya seorang yang saya bahasakan kakak dari utara. ”Alah...ruginya, akak nak suruh anak akak jumpa dialah..mintak tolong usap kepala, doa mudah-mudahan jadi seorang hafiz”, terang kakak tadi.

Beliau datang bersama dua orang anak lelakinya. Sebenarnya memang dah ada dikalangan anak-anaknya yang sudah bergelar hafiz, tetapi masih mahu anak-anaknya yang lain turut sama sampai ke tahap itu.

”TGNA tinggal kat mana ye...macamana nak jumpa dengan dia”, kakak tadi terus bertanya, tak puas hati.”Setahu saya memang tok guru dan rombongannya berada di sini, menunaikan umrah le ni, Cuma tak tahulah hotel mana dia menginap”, jelas seorang haji yang lain yang turut bersama dalam rombongan kami.
SIKAP SAYA

Saya hanya mampu menukilkan sangat sedikit tentang kenangan dan apa yang saya tahu. Mengapa saya menceritakannya disini? Sebabnya saya amat menghormati dan menyayangi kedua-dua Tuan Guru sebagai ulama dan pemimpin. Namun saya tidak langsung bermaksud untuk mendewa-dewakannya.

Saya juga tidak mengatakan yang mereka berdua itu maksum. Mereka juga ada kelemahan dan kekurangan diatas sifatnya sebagai makhluk yang bernama manusia.. Apalah lebihnya kedua tuan guru ini jika dibandingkan dengan Umar RA yang menerima dengan senang hati teguran dari seorang wanita, juga mengucapkan “Alhamdulillah, kerana masih ada di kalangan umat Muhammad yang berani menegur Umar”, bila kedapatan seorang rakyat yang ingin membetulkan kesalahan Umar RA dengan pedang. Adakah kita merasakan kedua-dua Tuan Guru kita tidak faham perkara ini?... Bukan tidak boleh menegur atau mengkritik, tapi biarlah dengan niat yang betul, untuk kebaikan bersama dan bukannya dengan niat menghina!!!

MENGAPA SUKA MEMBUAT PERBANDINGAN

Saya memang agak sensitif bila ada pihak yang cuba membuat perbandingan antara TGHH dengan Al Marhum Ustaz Fadhil Nor, atau antara TGHH dengan TGNA. Saya juga tidak pasti adakah perasaan ini di sebabkan oleh hubungan kekeluargaan atau tidak. Persoalannya, mengapa harus ada perbandingan begitu? Apakah tujuannya? Jika dengan menceritakan kelebihan atau kebaikan seseorang dengan niat mencari kebaikan dan dijadikan pengajaran, itu tidak mengapa. Tetapi jika menceritakan kelebihan seseorang dengan tujuan untuk merendahkan pihak yang satu lagi atau dengan tujuan untuk menunjukkan kelemahan dan kekurangannya, maka itu adalah satu sikap yang sangat biadap!!!

Lihatlah sejarah para sahabat RA sebagai satu pengajaran untuk kita. Siapakah yang berani mengatakan pemerintahan Umar RA lebih baik dari Usman RA dan Ali RA? Perlukah kita merendahkan Umar RA jika dibandingkan dengan pemerintahan Abu Bakar RA? Perlukah kita menyalahkan Ali RA dengan mengatakan baginda lambat mengambil tindakan ke atas pembunuh Usman RA? Adakah Ali RA tidak sedar yang pembunuh Usman RA ketika itu sedang berada di sekelilingnya dan berpura-pura berbaiah dengannya? Adakah perpecahan yang membawa kepada pertumpahan darah, yang berlaku di akhir pemerintahan Usman RA dan di zaman Ali RA menandakan kelemahan dan kegagalan pemerintahan mereka???

Ah!..itu kan para sahabat nabi, penyambung amanah nabi SAW. Jadi, siapakah yang menjadi pemegang amanah tersebut selepas kematian para sahabat RA? Para ulama lah yang menjadi ‘pewaris’ kepada para nabi, yakni menyambung amanah dan tugas-tugas nabi. Jadi, apa faedahnya kita membandingkan antara seorang ulama dengan seorang ulama yang lain.. amanah itu wajiblah dipegang dan diteruskan selagi diberi kepercayaan.

BISIKAN HATI
1 hb November 2009
Seperti biasa kami akan makan tengahari bersama dirumah selepas mengambil anak ketiga kami di tadika. Kami sedang menikmati hidangan makan tengahari sementara anak kami tu, Aisyah Humaira asyik memerhatikan 3 ekor ikan mas dalam aquarium terletak dibucu ruang tamu pangsapuri kami. Sedang kami berbincang-bincang sambil makan..si Aisyah tiba-tiba bertanya,”Sebab apa ikan duduk (tinggal) dalam air dok lemah (lemas) , kita lemah(lemas) ?

Mungkin kami taklah perasan sangat soalan tu, maklumlah tengah khusyuk makan. Aisyah mengulangi pertanyaan buat kali yang kedua. Kami masih tak menjawabnya. Tiba-tiba dia terus naik atas kerusi, memanjat dan berdiri atas meja makan, “Sebab apa ikan duduk dalam air dok lemas, kita lemas?”..dia bertanya kuat.

“Baba kena tolong umi jawab ni..” gesa isteri saya. Saya terpinga-pinga sekejap, apa dan macamana nak jawab ni. “Ooo.. sebab ikan tu ada insang untuk bernafas”...dalam keadaan saya tak pasti adakah itu jawapan terbaik untuk Aisyah yang berusia 5 tahun. “Insang tu ape, baba?”..alamak, macamana nak jawab ni. “Insang tu, nanti bila kakak (panggilan kepada pembantu rumah kami) siang ikan, dia akan tunjuk ke Aisyah deh...”, saya cuba meyakinkan dia. “Ye! Ye!..nanti kakak akan tunjuk ye Aisyah”,tambah pembantu rumah kami. Persoalan itu terhenti di situ.. tak pastilah sama ada ianya sudah memuaskan hati anak kami.

Memanglah saya boleh memberi penerangan secara ilmiah dan yang saintifik.. bla. .bla..bla, tapi adakah itu penting bagi Aisyah. Bolehkah dia faham kesemua keterangan ilmiah saya? Agak sukar mencari bahasa yang sesuai untuk menjawab soalan seringkas itu. Mungkinkah itu juga cabaran terbesar bagi seseorang pemimpin? Alangkah sukarnya memberi penjelasan tentang satu-satu perkara bila berdepan dengan karenah dan tahap pemikiran manusia yang pelbagai, walaupun perkara itu nampak ringkas. Mungkinkah ada juga yang buat-buat tak faham!!!

HUJAN TU KAN RAHMAT TUHAN!!!

Hujan masih lagi turun dari semalam..sampai ke pagi. Samada ianya renyai-renyai sahaja ataupun lebat, ianya tetap turun dalam bentuk titisan, ye..titisan demi titisan. Saya mendongakkan kepala kepala ke langit.. alangkah kelamnya langit. Tak terbayang entah berapa juta kapal air lagi yang berada diatas jika bolehlah kita nisbahkan jumlah air itu dengan muatan kapal. Tak juga boleh saya bayangkan apakah yang akan berlaku jika Allah menghempas air yang tak terhitung banyaknya itu sekaligus... “hamba Mu ini bersyukur, Ya Allah, dengan kasihan belas Mu itu, janganlah Engkau binasakan kami dengan sebab murkaMu, maka Engkau menghempaskan gugusan air itu sekaligus ke atas kami..amin”

“Hujan tu kan rahmat Tuhan”, begitulah terang si Opah kepada Upin dan Ipin. Dengan hujan itulah maka tanah menjadi semakin subur, maka akan bercambahlah pucuk-pucuk baru yang segar. Dengan hujan itulah juga kita mendapat sumber air sebagai keperluan asasi manusia. Selepas hujan, jalan-jalanraya kelihatan lebih bersih, kotoran-kotoran dan mungkin bangkai akan hilang, dialirkan entah ke mana, mungkin ke dalam longkang.

Hujan memang menjadi rahmat. Hujan juga boleh menjadi musibah, ujian kepada manusia. Namun semuanya dek kerana kecuaian manusia itu sendiri...dan pastinya selepas musibah atau ujian itu terdapat hikmah yang sangat besar bagi kita. Hujan terus juga turun, ianya hanya akan berhenti dengan perintah dari Allah.

Masjid Rusila tetap teguh disitu, kubah hijaunya kelihatan dari jauh, satu pemandangan rutin apabila saya berulang alik dari rumah ke tempat kerja. Aktiviti-aktivitinya tetap hidup seperti biasa...kerana semuanya bersyukur dengan rahmat Tuhan.
Saya meletakkan tangan ke dahi...”Oh...bodoh dan bangang sangatkah diri ini untuk memahami Sunnatullah yang hebat ini?”

Catatan: Abu Afnain

sdgS : Aku sekadar Pak Abu..

Rabu, 18 November 2009

Aku ke Mekah, TGNA tak jadi..

Bismillahirrahmanirrahim

Taqdir Allah, aku sampai ke Mekah 14 hari yang lalu. Perjalanan yang agak jauh dan meletihkan. Menunggu di Kelana Jaya seawal jam 12 tengahari, kapal terbang berlepas pukul 5.40 petang waktu Malaysia, 8 1/2 jam di atas kerusi kapal terbang MAS dan tiba di Lapangan Terbang Jeddah pukul 10.30 malam waktu Arab Saudi. Waktu Arab Saudi 5 jam tepat lebih lewat daripada waktu Malaysia.

Urusan passport dan visa sangat meletihkan. Pukul 10.30 malam mendarat, pukul 4.00 pagi baru urusan tersebut selesai. Badan rasa lesu, hendak saja aku tidur di atas lantai marble lapangan terbang tersebut..

Pukul 4.30 pagi kami menaiki bas untuk perjalanan darat yang jauh pula menuju Madinah. Bas yang dinaiki tempat duduknya rapat seperti bas sekolah. Mujur tempat sandarnya melepasi kepala. Kerana letih aku tertidur juga walaupun tidak selesa. Kalau tak silap bas berhenti 4 kali untuk solat, makan dan rehat.

Perjalanan darat itu mengambil masa 8 jam pula. Pukul 12.30 tengahari baru sampai ke Madinah. Tempat yang dirindui sekalian umat Islam yang cintakan baginda Rasulullah SAW. Segala letih-lesu hilang bila terdengar `mutawif' berkata `Madinah, Madinah'. Ada yang membuka buku doa, membaca doa masuk Kota Madinah. Ada yang melilau biji mata melihat Kota Madinah. Kota yang penuh sejarah di dalam urat darah umat Islam. Bukankah setiap hari kita berselawat pada junjungan Nabi Muhammad SAW?

Di Madinah para jemaah haji berusaha mengejar 40 waktu di Masjid Nabawi, menziarah maqam Nabi, maqam Saidina Abu Bakar, Maqam Saidina Umar, Kubur Baqi', melawat medan Uhud, melawat masjid Quba', solat di Raudhah dan tentunyalah tak boleh ditinggalkan `tawaf kedai' buat membeli-belah.

Kemudian para jemaah haji berangkat ke Mekah. Keseluruhannya memakai ihram buat mengerjakan umrah atau haji. Di dalam bas riuh kedengaran suara talbiah sebaik para jemaah berniat umrah atau haji di Bir Ali. Aku berniat umrah kerana mengerjakan Haji Tamattuk.

Sesampai di Mekah jemaah haji diletakkan di hotel masing-masing. 5-6 orang sebilik, bila barang selesai diangkut, barulah jemaah di bawa tawaf dan saei oleh mutawif. Untuk mereka yang kali pertama mengerjakan haji memang macam-macamlah halnya. Ada yang hilang kasut, ada yang sesat, ada yang hilang kawan, ada yang terkentut semasa tawaf, ada yang tidak yakin bilangan pusingan dan pendek kata seribu satu macam masalah. Namun tidak kurang yang tenang dan bersahaja. Khusyuk beribadah kepada Allah.

Selesai saie kami bergunting atau bercukur, maka selesailah umrah musim haji. Kegembiraan terbayang jelas di mata sekalian yang telah bergunting atau istilahnya tahallul. Kemudian masing-masing pulang ke hotel dan berehat.

Dua-tiga hari di Mekah aku mendapat berita Tuan Guru Nik Aziz akan datang ke Mekah bersama rombongannya. Ramai yang menanti beliau. Aku pun tertunggu-tunggu. Siapa tahu ada rezeki boleh bertawaf atau bersaei bersama beliau. Tentulah sekalian yang bertawaf atau yang bersaei bersama beliau akan merasa lebih bermakna tawafnya atau saeinya. Tentu akan kami lingkung beliau supaya tidak akan ada orang yang berani hendak menyinggungnya. Tentu kami akan berjalan perlahan-lahan bersama-sama beliau mengelilingi kaabah atau berulang-alik Safa dan Marwah.Tentu jemaah haji negara lain akan menjeling pada kami, gerangan siapa yang kami lingkung seperti menatang minyak yang penuh.

Tentu kami boleh tersenyum bangga pada jemaah Pakistan, pada jemaah Bangladesh, pada jemaah Turki, pada Jemaah Iran atau pada jemaah Indonesia. Kalau orang Indonesia tanya siapa yang kamu lingkung, tentu kami akan jawab, ini Sheikh Ahmad Yassin Malaysia. Hati aku berbunga bangga hingga berkhayal.

Tup-tup aku di beritahu Tok Guru Nik Aziz tak jadi datang ke Mekah mengerjakan haji. Isunya kerana kononnya dia hendak datang ke Mekah menggunakan duit tajaan yang boleh di cap rasuah. Aku terpinga-pinga sendirian. Pergi ke Mekah buat haji ada orang sanggup pakai duit rasuah kah?

Tak apalah. Apa boleh buat. Tak ada rezeki aku untuk bertawaf bersama Tok Guru. Aku meneruskan rutin di Mekah. Sembahyang berjemaah. Bertawaf sunat, mengaji quran dan sebagainya. Tiba waktu makan, apa lagi ke dewan makan lah aku.

Suatu ketika aku duduk bersebelahan dengan seorang pemuda Kelantan, berusia 40an. Kami berkenalan di meja makan. Dia bekerja dengan Kerajaan Persekutuan atau ringkasnya Kerajaan UMNO/BN. Seorang profesional, baik tutur bicaranya. Aku bertanya tentang kepadanya tentang pembatalan Tok Guru Nik Aziz ke Mekah.

`Inilah kerja politik kotor UMNO/BN', katanya ringkas.
`Kenapa?' aku bertanya pula.
`Tok Guru Nik Aziz ni Ulama', ia sudah berkali-kali ke Mekah. Adakah kamu fikir dia akan mencemarkan hajinya dengan wang rasuah?' dia bertanya kepada aku.

Aku tidak menjawab, sebaliknya diam.
`Kalau dia nak rasuah, dia akan rasuah masa dia perintah Kelantan selama 19 tahun, bukan rasuah masa hendak pergi Mekah', katanya lagi.
`Orang kampung yang mengaji tak tinggi pun tak sanggup pergi Mekah dengan duit rasuah'sambungnya lagi.

`Dulu tahun lepas masa Tok Guru umum nak pergi umrah, separuh kapal terbang penuh orang nak ikut dia, orang nak ambil keberkatan bersama ulama', katanya lagi.
`Dah! bila separuh kapal terbang penuh, takkan mereka sampai hati tengok Tok Guru Nik Aziz bayar tambang sendiri, lalu mereka kutip duit sponsor. Takkan itu namanya rasuah', katanya lagi.

Dia memberi amaran pula, "Rakyat Kelantan akan ingat benda ni, kita akan ingat UMNO/BN tuduh MB kita nak pergi Mekah guna duit rasuah,". "Dia ingat rakyat Kelantan termakan dengan fitnah mereka?" katanya lagi.

Kami berhenti berbual disitu. Aku mendapat input daripada seorang rakyat Kelantan, seorang staff Kerajaan Persekutuan UMNO/BN.

sdgs: Entahlah apa nak jadi dengan UMNO/BN?