Selasa, 18 Mac 2008

Bukan Jadi Askar, Tapi Jadi Patung!

Hampir setiap kali saya memantau anak-anak saya menonton televisyen, hampir setiap kali jugalah iklan ini kelihatan. Justeru hampir setiap kali jugalah saya terpaksa memberi penerangan kepada anak-anak saya disamping mengkritik iklan yang disiarkan.

Saya kira setiap orang yang ada peti TV dirumahnya atau ditempat kerjanya pasti pernah melihat iklan ini. Tidak kiralah apa jenama TV yang dia pakai, jenama terkenal atau jenama kokak, gambar terang atau gambarnya kelabu dan berbintik-bintik, yang pasti iklan ini akan keluar juga terutama pada waktu siaran kanak-kanak. Sesuatu yang saya risau ialah ianya mengakibatkan kanak-kanak Islam hilang sensitiviti kerana iklannya di olah sedemikian rupa.

Saya disiplinkan anak-anak saya supaya hanya menonton tv 4 hari seminggu tetapi malangnya iklan ini keluar setiap hari. Justeru cabaran akidah anak-anak kita ialah setiap hari. Saya cuba membuka di dalam blog atau laman web Ulama’-ulama’ muda kita, tetapi rasanya tidak ada atau tidak banyak ianya dibicarakan. Tidak segamat dan serancak kisah Siswi Vet UPM memegang anak `kerbau pendek’ suatu ketika dulu. Ianya tambah digamatkan bila keadaan memegang dengan tapak tangan dibahagian perut anak `kerbau pendek’ itu digantikan dengan perkataan `memeluk’ dan `mendakap’. Tetapi saya tidak pasti adakah sebarang surat atau nasihat khusus dihantar untuk siswi tersebut atau ada atau tidak serombongan orang-orang jemaah datang menemui siswi tersebut untuk bertukar-tukar pendapat dan memberi nasihat sebagaimana gembiranya rombongan Nisa’ Malaysia membuat ziarah ke rumah Amy Search dan isterinya Norish yang ingin berubah.

Iklannya adalah kisah nostalgik yang cukup saya minati semasa zaman kecil dahulu. Kisah kanak-kanak bermain perang-perang. Tidak ada salahnya bermain perang-perang, bahkan saya rasa ianya bagus kerana meningkatkan semangat patriotik disamping menambah lasaknya kanak-kanak zaman sekarang yang kuat makan ayam daging dan ramai yang terkena obesiti.

Masalahnya ialah iklan itu diakhiri dengan adegan memberi tabik hormat kepada patung dan meletak jambangan bunga pada longgokan batu-batu yang dibentuk menjadi patung itu. Kedua-dua pelakon itu ialah orang yang dikenali beragama Islam, bahkan pada waktu yang lain adegan yang sama turut memaparkan Perdana Menteri meletakkan jambangan bunga pada ketulan batu yang sama. Sehingga Harakah memberikan komen, PM engkar keputusan Majlis Fatwa!

Didalam iklan tersebut digambarkan tabik hormat kepada patung tersebut ialah sebagai mengenang jasa askar-askar penuh patriotik yang terkorban suatu masa dulu, yang turut dilakonkan oleh kanak-kanak yang bermain perang-perang itu.. Jenuhlah saya menerangkan kepada anak-anak saya bahawa memberi tabik hormat kepada patung dan meletakkan bunga dikaki patung itu bukan cara umat Islam, itu cara orang Jahiliyah. Boleh membawa dosa bahkan boleh membawa syirik.

Anak sulung saya bertanya, macam mana nak hormat orang yang mati?
Terdiam saya kerana perkara ini jarang kita bicarakan dengan anak-anak yang masih kecil. Saya ceritakan satu-satu sekadar ilmu yang saya ada, untuk orang yang baru mati, kita ziarahi dia, bacakan quran, ada orang yang memandikan, ada orang yang membungkus dengan kain kafan dan kita sembahyangkan ramai-ramai lalu ditanam.

Untuk orang yang telah lama mati, jika kita ingin menghormati dia maka kita bacakan dia ayat-ayat al-quran atau kita ziarahlah kuburnya dan doakan kesejahteraan untuk dia. Bukannya kita buat patung dan beri tabik pada dia.. Beri bunga pada patung.

Anak saya yang kedua bertanya, kalau macam ini salah kah ayah?
Ya, macam ini salahlah. Sebab dia hormat pada patung, bukan hormat dan mengingati orang yang dah mati. Barangkali orang-orang yang menyembah berhala zaman dahulu beginilah asal-usulnya. Mula-mulanya sekadar mengingati orang yang berjasa dan telah mati, kemudian mereka angkat orang itu jadi dewa dan sebagainya.

Setiap ada iklan itu saya akan beritahu anak-anak saya. Jangan buat macam ini, hanya orang Jahiliyah yang buat macam itu..

Tahulah... Kata anak sulung saya bosan.

Kemudian, bila ada iklan itu lagi saya akan bersuara lagi. Tanya pada anak saya, ini boleh atau tidak? Bila mereka jawab tidak boleh barulah saya berhenti.

2-3 hari lepas anak saya yang ketiga berumur 4 tahun, tiba-tiba bertanya.

“Ayah, kenapa budak-budak tu tak jadi askar, tapi jadi patung!. Cuma budak perempuan gemuk itu saja yang jadi askar, yang lain semua jadi patung! ”

Anak sulung saya ketawa, anak kedua saya ketawa, saya pun turut ketawa..

Cuma di dalam hati saya percaya iklan ini adalah untuk mempengaruhi umat Islam supaya tidak merasa apa-apa ketika memberi tabik pada patung, juga meletak jambangan bunga pada kakinya, bukanlah untuk meninggikan semangat patriotik. Saya juga mengharap iklan ini akan mendapat ulasan meluas daripada Ulama’-ulama’ kita, muda atau tua. Di ulas dalam egroup, blog atau laman web, dan kalau boleh ada kelompok-kelompok yang menasihati mereka-mereka yang terlibat menjayakan iklan ini..

Mudah-mudahan malaplah da’yah orang kafir dan teranglah cahaya Islam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan