Khamis, 16 Oktober 2008

PENGHUJUNG RAMADHAN DI `BALAISAH' TOK GURU

(Catatan ini dibuat selepas iktikaf 29 Ramadhan 1429H di Balaisah Tok Guru. Ketika catatan ini mula ditulis, takbir Aidil fitri telah pun bersahutan dan ketika catatan ini di `post’kan, kuih raya telah pun tinggal serdak sahaja. Apa boleh buat, demikianlah erti `kesibukan')

Akhirnya cita-cita itu terkabul jua. Impian terlaksana. Perjalanan merentasi hutan belantara Banjaran Titiwangsa itu berpenghujung jua. Dari kaki Gunung Semanggol ke dataran Pulau Melaka. Tanah lembah ini telah begitu lama tidak ku kunjungi. Berpuluh hitungan purnama lamanya. Tiba waktu kerinduan ini kembali memuncak, melintasi belantara timur-barat ini tidak lagi terasa sukar kerana sang hati telah berkata-kata, ubati kerinduan ini, tempuhi segala halangan dan jangan persiakan harapan sebuah jiwa.

Tanah lembah negeri serendah sekebun bunga ini tidak banyak menjanjikan kemewahan dan kesenangan. Dingin pagi kaki Gunung Semanggol mungkin lebih nyaman daripada hembusan angin Laut Chinanya. Yang menarik aku ke sini bukan kerana hembusan bayunya atau indah panoramanya. Yang menarik kerinduanku ke sini adalah kerana Tuan Guru `pendita agungnya’. Tuan penguatkuasa kepada tanah bergelar Serambi Mekah ini.

Aku tiba agak lewat di `balaisah’ Tok Guru. Istilah orang Pantai Timur untuk musolla yang turut ada pengajian agama di dalamnya. Terpegun aku dengan perubahan-perubahan fizikal yang dilalui. `Balaisah’ ini sudah amat besar dibanding 16 tahun lalu, tika aku baru mula mengenal istilah `tarbiyyah’, tika aku baru mula berjinak-jinak dengan kalimah `qiamullail’. `Balaisah’ besar ini sudah lebih dari layak untuk dipanggil masjid dan memang papan tandanya bertulis masjid Tok Guru, Pulau Melaka. Jalan menuju `balaisah’ ini juga telah berubah sama sekali. Jalan raya berturap cantik, dihiasi lampu jalan dengan jambatan besar ku anggar kosnya berjuta.

Enam belas tahun lampau jalan menuju ke sini hanyalah jalan selorong yang berlopak-lopak. Jambatannya jambatan kayu yang telah berlubang. Sebahagian kayu jambatan pula diatur membujur,.. sangat menyukarkan kepada mereka yang baru belajar membawa motosikal untuk melaluinya. Tayar motosikal bisa saja terselit dicelah kayu yang diatur membujur dan akibatnya motor tak dapat dikawal dengan baik. Aku sendiri pernah melalui pengalaman cemas di jambatan itu 16 tahun yang lampau. Tayar motor `kapcai’ yang ditunggangi oleh aku dan seorang sahabat (sekarang pensyarah di UIA) tiba-tiba tergelincir dan termasuk ke dalam celah di antara dua kayu yang disusun membujur. Kami hilang kawalan dan rebah. Kain pelekatku terkoyak dan kepalaku terhantuk pagar jambatan yang disusun jarang-jarang. Mujurlah umur kami ditakdir masih panjang. Kalau tidak, mungkin kami bisa saja terhumban ke dalam sungai yang airnya gelap pekat itu. Jikalau itulah suratan takdir, tiadalah lagi yang dapat menatap tulisan ini kerana tiada lah lagi orang yang akan menulisnya.

Khayalanku terhenti sebaik sampai ke tempat wuduk. Cepat-cepat aku berwuduk dan menyertai jemaah. Solat tarawikh telah berlangsung 4 rakaat. Mujur solat isya’ telah aku dirikan dalam perjalanan. Agak kecewa kerana Tok Guru tidak ada, tetapi penggantinya seorang hafiz berbangsa arab tidak mengecewakan. Bacaannya meresap ke sanubari walau pun maknanya tidak ku fahami. Patutlah jemaah tidak ramai, sekadar 2 saf sahaja yang ada. Murid-murid di sini pula semuanya telah tiada, pulang bercuti ke kampung masing-masing barangkali. Keadaan ini agak rutin, kalau Tok Guru tidak ada biasanya jemaah tidak ramai. Hanya penduduk kampung yang datang. Penduduk luar mukim akan bercempera ke tempat lain.

Tarawikh selesai sekitar 9.30 malam. 8 rakaat. Tuan imam beredar, tidak berwitir. Aku berdiri dan sambung 4 rakaat lagi. Sebahagian orang kampung mendirikan witir sendiri-sendiri. Selesai tarawikh lapan rakaat, berehat sebentar. `Balaisah’ sudah sepi, hanya ada seorang dua di bucu-bucu `balaisah’ membaca al-Quran dengan suara perlahan. Kalau Tok Guru ada biasanya tarawikh tamat sekitar 10 malam kerana selepas 4 rakaat ada tazkirah. `Balaisah’ ini seperti dahulu juga, tidak dikunci 24 jam kecuali bahagian hadapan yang di pasang `grill’ untuk menyimpan barangan berharga. Orang ramai bebas berteduh di `balaisah’ ini bila-bila masa, bebas untuk iktikaf dan bebas untuk qiamullail. Selebihnya ada banyak tabung derma disediakan untuk para pengunjung.

Selesai tarawikh, rehat sekejap, badan terasa segar kembali. `Balaisah’ masih sepi. Masa untuk meronda, bisik hatiku. Enjin kereta dihidupkan dan aku meronda dipinggir bandar Kota Bharu. Kota Bharu sedang pesat membangun, pinggir bandarnya satu demi satu jadi kota batu. Kondominium telah berdiri di dua-tiga tempat, cerucuk-cerucuk besi bertaburan tanda akan tumbuhnya bangunan-bangunan baru, hutan-hutan belukar telah banyak yang sudah lapang, jalan-jalan raya yang dulunya gelap kini bercahaya neon, tanda kepadatan penduduk telah bertambah degan pesat.

Betullah kata Tok Guru, pembangunan ini adalah sifat dan rutin manusia. Selagi manusia bernama manusia, selagi itulah mereka akan membangunkan bumi ini kerana itulah sifat manusia. Tidak kira komunis, sosialis, demokrat, facis, atheis atau Islam, semuanya akan membangunkan bumi kerana Allah memang menciptakan manusia sebagai `khalifah’ dimuka bumi. Cumanya bentuk pembangunan akan bergantung kepada fahaman yang dianut manusianya dan kekuatan teknologi yang mampu dimilikinya. Lihat sahaja manusia zaman batu, kerana kurang teknologi, mereka hanya mampu membangunkan gua-gua dengan mengukir pelbagai ukiran yang menarik, meninggalkan maklumat sebagai pusaka bernilai tinggi kepada ratusan generasi dibelakangnya. Pokoknya satu, mereka tetap melakukan pembangunan.

Pukul 11 malam kembali ke `balaisah’ Tok Guru. Beberapa orang telah kelihatan iktikaf, ada yang baring, ada yang zikir, ada yang solat dan ada yang mengaji quran. Aku berwuduk sekali lagi dan melangkah ke dalam `balaisah’ yang bercahaya suram. Berdiri, tunduk dan duduk. Ada urusan peribadi dengan Tuhanku..

Sahabat..
Melabuhkan `lambung’ ini di lantai `balaisah’ Tok Guru, mengajar kembali tubuh yang sudah biasa baring di tilam empuk ini erti sebuah mujahadah. MujahadatunNafs.. teringat kembali kata-kata Ustaz Hashim Jasin, yang pernah aku tadah ilmunya sekitar 18 tahun lampau. Meletakkan kepala di lantai `balaisah’ ini, sekadar beralas kain tuala, melatih kembali diri yang sudah biasa menginap di hotel berbintang-bintang ini akan erti sebuah pengorbanan. Pengorbanan para Sahabat, para awwalun, para-para daie dan sekalian pengikut Islam yang mukhlisin di dalam menegakkan agamanya.

Aku terlelap dalam khayalan. Khayalan melihat umat Islam kembali gagah, segagah tentera Muhammad Al-Fateh yang menakluk Constantinople. Derap kaki kuda bertingkah laju, debu berkepul di udara. Lena diulit mimpi. Jam 3.30 pagi aku terjaga di `balaisah’ Tok Guru ini. Kesepian malam tiba-tiba diisi oleh suara merdu bacaan al-Quran. Imam berbangsa Arab tadi telah berada di saf hadapan rupanya. Dia qiamullail dengan `menjahar’. Di dalam cahaya suram aku melihat beberapa orang menjadi makmumnya. Yang lain, sendiri-sendiri. Aku bingkas, membersih diri dan mencari tempat sunyi dan suram dibalik tiang masjid. Terasa lebih selesa begitu untuk waktu ini. Berdiri, rukuk dan sujud. Selebihnya adalah rahsia. Ini urusan peribadi, tidak perlu cerita yang mendalam-dalam. Cuma sekadar berkongsi, air mata ini sukar sekali mengalir kebelakangan ini, kelopak mata ini terasa keras. Di sebalik berhiba-hiba memohon ampun, air mata tidak juga menitis. Hei air mata! mungkin engkau tidak mahu berlakon di hadapan yang maha Esa. Justeru engkau ambil keputusan boikot, tak mahu keluar..

Duduk dan berdiri dan di`balaisah’ ini, masa berlalu pantas. Meneguk sedikit air dan menjamah sedikit bekal buat esok, urusan peribadi ini diteruskan. Sekitar 15 minit sebelum subuh, kelibat Tok Guru kelihatan. Dada ini terasa lapang, dia tidak mengenal kita tetapi kita mengenal dia. Itu sudah memadai, yang penting ialah menghayati ajaran Nabi yang disambungnya, bukan mengharap dia mengenali wajah kita. Langkah Tok Guru seperti dahulu juga. Tenang dan langkah demi langkahnya perlahan. Dia solat 2 rakaat, perlahan dan lama. Selesai 2 rakaat, azan berkumandang shahdu, lampu-lampu dinyalakan dan orang sudah ramai memenuhi masjid. Gambaran Dato’ Dr Hasan Ali tentang suasana subuh di`balaisah’ ini adalah tepat sekali. Ia seumpama solat pada tengahari di waktu Jumaat, ramai, sesak dan berpusu-pusu.

Iqamah setelah sunat qabliah, Tok Guru mengimamkan solat subuh. Sama seperti 16 tahun lampau, cuma sekarang Tok Guru telah 16 tahun lebih tua. Kelibat tuanya telah kelihatan dari pergerakannya. Seperti dahulu, bacaannya walaupun perlahan tetapi jelas dan satu-satu. Berdirinya agak lama, rukuknya agak lama, iktidalnya agak lama, sujudnya agak lama, duduk antara dua sujudnya agak lama, beralih kedudukan dengan perlahan, itulah identiti solat Tok Guru. Di sinilah aku faham apa erti `toma’ninah’ dari hati yang benar-benar ingin rapat, hormat dan takut dengan Tuhannya. Seperti seorang hamba lemah yang mengadap Tuannya yang serba berkuasa. Penuh hormat, ta’zim dan penuh harap agar tiada kesalahan dan sedia diampunkan.

Selesai solat subuh, Tok Guru memimpin zikir selepas solat. Zikir kali ini sama seperti yang biasa dibaca dimasjid-masjid lain di Malaysia. Cuma pergerakannya kelihatan begitu `capek’ sekali, dia ke mana agaknya malam tadi?. Tok Guru tidak berpusing pun mengadap makmum seperti kebiasaannya. Dia menekan kedua tangannya kebelakang dan menyandarkan tubuhnya pada kedua tangannya. Selesai zikir, Tok Guru memberi tazkirah, juga dalam posisi yang sama, tidak mengadap makmum yang demikian ramai. Aku terasa benar yang Tok Guru begitu keletihan sehingga menahan tubuhnya dari berpusing.

Seperti biasa Tok Guru akan menafsir dan menghurai sebahagian ayat yang dibacanya di dalam solat. Ucapan-ucapannya sentiasa berisi dengan petikan-petikan daripada al-quran. Demikianlah kecintaannya terhadap al-quran. Subuh tersebut Tok Guru membaca sebahagian surah YaaSin dan termasuk diantaranya ayat 33 seperti di bawah.


33. Dan suatu tanda (kekuasaan Allah yang besar) bagi mereka adalah bumi yang mati. Kami hidupkan bumi itu dan Kami keluarkan daripadanya biji-bijian, maka daripadanya mereka makan. (S36:A33)

Tok Guru menyeru supaya dakwah tidak hanya dijalankan oleh mereka yang belajar ilmu syariah dan ilmu fardhu ain sahaja tetapi juga perlu dilakukan oleh ahli-ahli pertanian sebagai digambar dalam ayat tersebut. Demikian juga bidang-bidang ilmu yang lain, nescaya akan terdapatlah ayat al-quran yang menerangkan perihal bidang ilmu tersebut. Justeru ahli ilmu tidak boleh hanya `terperosok’ ke dalam bidang ilmunya secara `akliah’ semata-mata tanpa mengambil tahu sepatah pun ayat al-quran berkenaan bidang ilmunya. Mengetahui ayat-ayat al-quran di dalam bidang ilmu masing-masing akan menjadikan al-quran barang yang hidup, bukan barang yang mati, dan al-quran itu perlu selalu dihidupkan di dalam detik kehidupan ini.

Dan seperti selalu juga, Tok Guru akan menyentuh sedikit berkenaan politik. Tok Guru menyebut, orang yang cerdik, orang yang panjang akal, orang yang banyak strategi perjuangannya perlu di ajak supaya berjuang untuk Islam, perlu diajak supaya mengubah ideologi perjuangannya supaya memperjuangkan ideologi Islam. Ini kerana Islam sangat menghargai orang yang cerdik dan cerdas akal fikirannya lagi kuat personaliti dirinya. Tok Guru memberi beberapa contoh bagaimana Nabi dengan begitu lembut, berhemah dan bersifat pemaaf telah memberi peluang kepada pemuka-pemuka kaum musyrikin supaya mengubah halatuju perjuangan agar bersama Islam. Antaranya ialah Khalid Al-Walid, Ikrimah anak Abu Jahal dan Abu Sufian yang begitu terkenal memerangi Islam sebelum peristiwa Fathul Makkah. Semuanya akhirnya bersama Islam dan menjadi pemuka utama di dalam menggemilangkan agama suci itu. Aku terasa bicara Tok guru ini ada kait-mengait dengan isu semasa yang melanda Pakatan Rakyat akhir-akhir ini terutama isu 16 September.

Tazkirah Tok Guru tamat sekitar 6.40 pagi. Beberapa orang mengambil kesempatan bersalaman dengannya. Ingin sekali hati ini mulanya turut serta, namun demi melihat tidak kurang tujuh orang ayah tiba-tiba masuk dan beratur dari pintu sisi sambil menggendong bayi yang masih kecil, aku membatalkan sahaja niat di hati. Ramai sungguh yang mahu Tok Guru `membelah mulut’ anak mereka. Dalam keadaan Tok Guru nampak begitu letih, aku tak sanggup untuk mencuri masanya lagi biarpun hanya sekadar beberapa saat. Tazkirah Tok Guru sudah cukup untuk menghilangkan dahaga kerinduan selama ini. Mendengar tazkirahnya menyebabkan kuliah-kuliah lain terasa tawar. Wajarlah aku menggelarnya ulama’ ini `pendeta agung’ Serambi Mekah.

Aku melangkah keluar dengan perlahan. Bilakah Gunung Semanggol akan punya Ulama’ besar seperti ini lagi?

Suaradarigunung.blogspot.com/ (suaradarigunungsemanggol)
Catatan ini dibuat sempena `qiamullail’ 29 Ramadhan 1429H di Balaisah Tok Guru.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan