Selasa, 18 Mac 2008

PUTERA GUNUNG SEMANGGOL - ABU BAKAR ALBAQIR

Di petik daripada:
Wikipedia Melayu
Web DUPWP
Ustaz Abu Bakar al-Baqir dilahirkan pada tahun 1907 di kampung Gunung Semanggol, Bagan Serai, Perak tidak jauh dari Padang Rengas.

Ustaz Abu Bakar al-Baqir atau dikenali juga Syeikh Abu Bakar al-Baqir berketurunan
Jawa. Datuknya berasal dari Kendal, Jawa Tengah.Haji Abdul Jabbar, datuknya ialah orang pertama daripada keluarganya yang datang menetap di Gunung Semanggol lebih kurang 1850-an . Haji Abdul Jabbar untuk pertama kalinya tinggal di Klang, Selangor, kemudian pindah ke Kuala Kurau, [Perak]], untuk akhirnya pindah dan menetap di Gunung Semanggol. Kehidupan mereka adalah dari bercocok tanam dan bersawah. Haji Abdul Jabbar meninggalkan tanah sawah sebagai pusaka kepada anaknya, Mohd. Said, iaitu bapa kepada Syeikh Abu Bakar al-Baqir. Dan sawah inilah kemudian menjadi penyara hidup Mohd. Said. Sebagai keluarga petani hidup mereka amat sederhana. Mohd. Said mendidik tiga orang puteranya, Muhyuddin Mohd. Said, Abu Bakar Mohd. Said, dan Abdullah Mohd. Said dengan didikan Islam dan mengajar mereka pengetahuan Islam. Demikian juga anak-anak perempuannya, Aisyah Mohd. Said, Saudah Mohd. Said, dan Hafsah Mohd. Said dididik dengan didikan agama.
Pendidikan
Beliau belajar di Sekolah Melayu selama lima tahun. Di samping itu beliau juga dididik membaca al-Quran dan ilmu-ilmu agama lainnya yang sesuai diterima oleh anak-anak sebayanya.

Setelah menamatkan
Sekolah Melayu, beliau belajar di sebuah pondok di Gunung Semanggol, iaitu Madrasah ar-Rahmaniah. Pondok itu dinamakan demikian adalah sempena nama pengasasnya, Haji Abdul Rahman bin Mahmud, seorang alim yang pernah belajar di al-Azhar, Mesir dan Masjid al-Haram di Mekah. Syeikh Abu Bakar al-Baqir belajar di pondok itu selama enam tahun yakni pada tahun 1919-1924. Selepas itu beliau pindah ke Madrasah Dairatul-Maarif al-Wataniah di Kepala Batas, Seberang Perai Utara. Di Kepala Batas, beliau diajar oleh guru yang berkebolehan termasuklah Tok Guru Haji Abdullah bin Ibrahim (Haji Abdullah Pak Him), seorang tokoh ulama yang terkenal di sebelah utara Semenanjung. Beliau belajar di situ selama enam tahun.

Ketika gurunya, Haji Abdullah bin Ibrahim berpindah mengajar ke
Madrasah Idrisiah, Kuala Kangsar, Syeikh Abu Bakar juga berpindah ke sana, berada di sana selama tiga tahun (1931-1933), separuh masa pertama sebagai pelajar, dan pada separuh masa yang kedua sebagai guru pelatih dengan diberi gaji RM30.00 sebulan.
Ma’ahad al-Ehya al-Syarif
Beliau kembali ke
Gunung Semanggol atas panggilan bekas gurunya dan bakal mertuanya, Haji Abd. Rahman, untuk sama-sama berusaha menubuhkan sebuah sekolah Islam di Gunung Semanggol sebagai ganti pondok ar-Rahmaniah.

Berkat usaha gigih Syeikh Abu Bakar al-Baqir dan dengan sokongan kuat Haji Abd. Rahman dan tokoh-tokoh muslim tempatan, maka pada tahun 1934 berdirilah sebuah sekolah agama yang mempunyai manhaj baru, yang diberi nama
Maahad Al-Ehya Al Shariff, menggantikan pondok yang sedia ada yang telah dibangunkan dan diuruskan oleh Haji Abd. Rahman.
Keluarga
Dalam tahun 1935, beliau dinikahkan dengan
Ustazah Fatimah Abd. Rahman. Beliau terus menyertai isterinya ini, dengan mendapat kurnia empat orang anak, seorang lelaki dan tiga orang perempuan, sampailah beliau menemui ajalnya pada 13 Julai 1974. Putera-puteri beliau itu ialah Sahar Mursyid Abu Bakar, Miskiah Fadilah Abu Bakar, Naqibah Nu’ma Abu Bakar, dan Aniqah Rusda Abu Bakar.
Pembaharuan

Dari segi pembaharuan Islam beliau menunjukkan wajah yang mirip dengan
Syeikh Juned Tola. Yang beliau bangunkan ialah pendidikan, politik, ekonomi, dan kerja kebajikan. Tentang fahaman bermazhab atau tidak bermazhab beliau tidak begitu mengambil perhatian. Sepertimana Syeikh Juned Tola , meskipun beliau menganut fahaman pembaharuan dalam bidang akidah dan syariah, namun beliau untuk gerakan “islah”nya tidak berkonfrontasi dengan pihak Syafiiyah. Beliau menekankan pembaharuan itu pada pendidikan.

Pembangunan pendidikan rasmi telah beliau penuhi dengan ditubuhkannya Ma’ahad al-Ihya al-Syarif. Dalam hal ini beliau mendapat kerjasama daripada kaum muslimin tempatan, khasnya daripada
Haji Abd. Rahman Mahmud, Tuan Imam Lebai Sirat, dan Haji Abd. Manaf, Penghulu Kampung Gunung Semanggol. Selain itu, beliau juga mengajar di kelas pengajian yang diadakan di masjid dan surau di sekitar Gunung Semanggol
Perjuangan politik
Dalam mesyuarat yang dihadiri oleh tokoh-tokoh Islam terkemuka telah dibentuk suatu badan yang bernama
Majlis Agama Tertinggi Malaya (MATA). Sebagai Pengerusi Badan Kebajikan dan Pelajaran MATA beliau telah memainkan peranan penting dalam merangka dasar pendidikan yang bertaraf nasional.

Dalam suatu persidangan yang diadakan di Ma’ahad al-Ihya al-Syarif yang dihadiri oleh lebih kurang 500 orang pada 15 November 1947 telah dibentuk pula
Lembaga Pendidikan Rakyat, atau singkatannya LEPIR, yang pengelolaannya diserahkan kepada Ustaz Abd. Rabb al-Tamimi. Antara matlamat yang hendak diperjuangkan oleh LEPIR ialah menyamakan kurikulum pendidikan sekolah agama rakyat dalam Malaya, dan untuk mencapai ini sebuah Pusat Pentadbiran Sekolah Rakyat telah dibentuk dan dikelolakan oleh Haji Zubir Ahmad, yang kemudiannya digantikan oleh Ustaz Abd. Rabb al-Tamimi.

Perjuangan beliau juga meliputi bidang politik. Beliau mempunyai hubungan yang baik dengan tokoh-tokoh Kesatuan Melayu pada masa itu seperti
Ibrahim Yaakub dan Dr. Burhanuddin al-Hilmi (meninggal 25 September 1969).

Bersama-sama dengan kelahiran MATA dalam suatu persidangan di bangunan al-Ihya al-Syarif yang dihadiri oleh lebih kurang 2 000 orang para alim ulama dan cerdik-pandai orang Melayu serta utusan dari Singapura dan Indonesia pada 22-24 Mac 1947 lahir pula
Pusat Perekonomian Melayu seMalaya, atau singkatannya PEPERMAS.

Untuk memenuhi hasrat, orang Melayu kepada suatu pertubuhan politik yang bertujuan mencapai kemerdekaan, maka pada 13-14 Mac 1948, sebuah lagi persidangan telah diadakan di al-Ihya al-Syarif yang dihadiri oleh lebih kurang 5 000 orang. Antara yang hadir ialah
Dr. Burhanuddin al-Hilmi. Persidangan ini telah mengambil keputusan untuk menubuhkan sebuah parti politik yang berasaskan Islam, dengan diberi nama Hizbul Muslimin atau HAMIM. Parti ini ditubuhkan pada 14 Mac 1948. Nama ini dicadangkan oleh Abu Bakar al-Baqir, dan beliau jugalah yang mengetuai parti Islam itu. Selepas itu dilakukanlah lawatan ke seluruh Malaya, bertujuan memberi penerangan kepada rakyat muslimin dan membentuk cawangan di tempat yang boleh dibentuk. Dalam waktu yang tidak lama, parti ini telah mempunyai cawangan di Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu, Selangor, Melaka, Perlis, Kedah, dan Pulau Pinang.

Berhubung dengan suara dan sikapnya yang lantang menuntut kemerdekaan, maka parti ini ditakuti oleh pihak berkuasa, terutama penjajah
British. Maka dilemparkanlah kepadanya tuduhan dan tohmah-tohmah. Ia juga dituduh sebagai parti “merah” (komunis). Dato’ Onn Jaafar, yang pada masa itu memimpin UMNO, bersikap agak lunak, bahkan dengan secara sindiran mengingatkan anggota UMNO bahawa pertumbuhan politik di Gunung Semanggol itu ialah suatu bahaya dari gunung yang patut diawasi. Pengaruh Gunung Semanggol dalam membentuk pemikiran umat Islam di Malaya sesungguhnya amat ketara.

Ketakutan pihak berkuasa British terhadap perkembangan cita-cita Islam dalam politik memuncak ketika pada 29 Julai 1948, pukul 12 tengah hari tiga orang pemimpin utama
HAMIM ditangkap. Mereka ialah Syeikh Abu Bakar al-Baqir, Ustaz Abd. Rabb al-Tamimi, dan Ustaz Abd. Rauf Nur. Syeikh Abu Bakar dibebaskan daripada tahanan dalam bulan Oktober 1952.

Ekoran daripada penahanan ini HAMIM menjadi lumpuh dan akhirnya terkubur. Namun, semangat perjuangannya untuk menegakkan Islam di bumi Tanah Melayu diwarisi oleh parti baru, iaitu Parti Islam Se-Malaya, sekarang Parti Islam Se-Malaysia, (
PAS).

Syeikh Abu Bakar al-Baqir telah meninggal dunia pada 13 Julai 1974. Namun, bekas tangannya masih tetap tinggal. Ma’ahad al-Ihya al-Syarif masih berdiri dengan kukuhnya. Dari segi kewangan meskipun sangat sederhana namun ia tidak mengecewakan. Ia mempunyai ladang-ladang seperti ladang getah dan kelapa sawit, serta bendang. Kebun getahnya ada lebih kurang 40 ekar, kebun kelapa sawitnya seluas 60 ekar dan sawah padi ada 12 ekar. Juga ia mempunyai kedai di Sri Manjong yang disewakan RM350.00 sebulan. Selain itu, sekolah ini juga mendapat bantuan daripada
Majlis Agama Negeri Perak. Dan masih ada sumber-sumber lain. Walau bagaimanapun, fungsinya sebagai salah satu pusat perjuangan umat Islam telah berhenti sejak kehilangan Syeikh Abu Bakar al-Baqir. Tetapi sebagaimana Padang Rengas, Gunung Semanggol juga telah meletakkan beberapa baris batu-bata pada binaan Malaysia merdeka. Sedikit sebanyak ia telah berjaya merombak perasaan, pemikiran, dan mentaliti umat Islam terutama di Perak. Dari suatu bangsa yang jiwanya terjajah dan penuh perasaan rendah diri, diangkatnya menjadi suatu bangsa yang tahu harga diri dan berasa sanggup melakukan perubahan besar.

Kuasa Parti HAMIM sebagai salah satu tenaga pendesak adalah nyata. Ia mempercepat penjajah menyerahkan kuasanya kepada Persekutuan Tanah Melayu.

Bagaimana semangat kemerdekaan itu dibangunkan kepada pelajarnya dikisahkan oleh tokoh pengasuh yang sekarang ini. Semangat kemerdekaan itu disalurkan juga melalui pelajaran. Guru-guru yang berasal dari
Indonesia sangat menolong dalam membangunkan semangat merdeka itu. Setiap pagi dinyanyikan lagu Indonesia Raya (Lagu Kebangsaan Republik Indonesia). Juga tokoh-tokoh kebangsaan diminta berucap di sini, antaranya termasuklah Datuk Asri Muda.

Syeikh Abu Bakar al-Baqir mengatakan bahawa kemerdekaan bagi Tanah Melayu adalah seperti buah yang sudah masak. Orang putih hanya menunggu kejatuhannya sahaja. Tetapi mereka tidak akan menyerahkannya kepada orang-orang agama. Oleh itu, perlu kita rebut supaya Malaya dapat dijadikan negara Islam.

Tentang fahaman fikahnya menurut
Ustaz Shahar Mursyid Abu Bakar, Setiausaha Persatuan dan Ma’ahad al-Ihya al-Syarif, Syeikh Abu Bakar menolak beberapa perkara yang ditampalkan orang kepada mazhab Syafii seperti talkin, fidyah sembahyang, dan sepertinya. Beliau ingin agar umat Islam itu kembali kepada al-Quran.

Pasal Mawi

Akhirnya aku jawab macam ni......

Akhirnya aku dapat juga sms yang aku benci nak layan tu. Lebih kurang macam ni lah bunyinya.
`Bila hang nak jawab soalan aku, Mawi dah habis konsert di Kelantan.. Soalan aku tak berjawab jugak’.

Banyak yang aku baca lepas dia tanya soalan-soalan hari tu. Tulisan Tok Guru Nik Aziz dan temuramahnya aku baca, jawapan Ustaz Hadi aku baca, tulisan Subki Latiff aku baca, komen Ustaz Harun Taib aku baca, pandangan dan komen Haji Husam aku baca, tulisan Lanh aku baca, tulisan bekas pensyarah dan mentor aku Dr Dzulkifli aku baca dan semua respon daripada sahabat-sahabat yang menjawab email aku tempohari juga aku baca….

Tidak banyak yang menjawab soalan-soalan secara langsung dan 2-3 orang menasihatkan supaya tidak menjawab soalan secara langsung. Apa guna menjawab soalan secara langsung kalau tidak memberi faedah kepada Islam dan tidak memberi ruang mendekati remaja lepak dan golongan sewaktu dengannya. Ada juga yang menasihatkan supaya menjawab soalan dengan soalan juga.

Cuma yang memberanikan aku sedikit adalah tulisan Dr Dzulkifli Ahmad dalam Harakah apabila dia menyimpulkan di akhir tulisannya lebih kurang begini.. `Fenomena Mawi juga sebenarnya adalah satu tanda kegagalan tarbiyyah dalam masyarakat’.

Aku memilih untuk menjawab semua soalan dengan jawapan, tapi secara berkiaslah. Sengaja aku tidak mengalih soalan-soalannya dari awal lagi sebab member aku ni mulutnya cabul sikit. Dulu dia pernah kata macam ni bila aku larikan topik sikit.
`Orang PAS macam ni lah.. Bila orang lain buat HARAM....Bila dia buat HALAL... Orang Parti Ali Setan...Nak buat macam mana....
Susah jugak nak menenangkan Mamat ni bila mulutnya dah cabul.

Akhirnya member tu aku ajak pergi makan kue tiau. Lebih kurang macam di bawah ni lah perbualan kami… Di akhir perbualan aku nampak dia boleh telan jugaklah hujah aku walau pun tak sepenuh hati.. Tak kisahlah, yang penting aku boleh menjawab….. Sengaja aku catatkan di sini untuk ditegur oleh sahabat-sahabat kalau-kalau ada teguran sebab aku pun tak confident sangat dengan jawapan aku…

Aku: Apa hal yang hang nak sangat jawapan dari aku?

Mat: Sebab hang pejuang Islam. Sebab tu aku tanya.

Aku : Kenapa hang tak tanya pada ustaz-ustaz? Depa lagi alim.

Mat: Ustaz pun bukan semua betui.. Banyak jugak yang cari makan.

Aku: Hang jangan cakap macam tu. Hang tau ke apa yang ada dalam hati para
ustaz-ustaz?

Mat: Okay, okay. Sebenarnya aku tak dak kenai ustaz-ustaz yang aku boleh
tanya sambil makan-minum macam ni.

Aku : Aku pun dah tak ingat soalan-soalan hang.

Mat: Pejuang Islam macam mana ni, baru kena soal sikit dah tak mau jawab.
Aku: Okay lah. Ulang balik soalan-soalan hang.

Mat
: Ni haa, sepuluh soalan:
1. Apa hukum Akademi Fantasia?
2. Apa hukum orang yang masuk Akademi Fantasia?
3. Apa hukum Mawi masuk Akademi Fantasia?
4. Apa hukum orang tengok Akademi Fantasia?
5. Apa hukum kita biarkan orang masuk bertanding Akademi Fantasia?
6. Kalau dia mati masa tu macam mana?
7. Apa hukum Mawi mengadakan show-show keliling Malaysia?
8. Apa hukum Kelantan bawa Mawi buat konsert kat sana?
9. Kalau hukum bawa Mawi boleh...Apakah selepas ini kalau ada penyanyi lain yang nak datang ke Kelantan dan akan penuhi syarat macam Mawi....Adakah dia boleh datang buat konsert?
10. Lepas ni kalau Mawi buat konsert kat mana-mana negeri lain apakah hukumnya boleh sebab Kelantan dah benarkan?

Aku
: Banyak betui soalan. Eh! Mamat, hang pernah mencuri?
Mat
: Pasai apa tiba-tiba tanya mencuri? Soalan tak jawab lagi.
Aku
: Yaa la. Jawab la dulu soalan aku.
Mat
: Masa kecik dulu ada la. Curi buah pelam orang. Budak nakai takkan hang
nak berkira sangat.
Aku
: Apa hukum mencuri?
Mat
: Haram.
Aku
: Apa hukum jadi pencuri?
Mat
: Haram.
Aku
: Mat, soalan pertama dan kedua hang dah pun berjawab.
Mat
: Ehm! Okay...nampak logik... Soalan ketiga, ke empat? (3. Apa hukum Mawi masuk Akademi Fantasia? 4. Apa hukum orang tengok Akademi Fantasia?)
Aku
: Makan la dulu... aku pun tengah fikir jugak.
Aku
: Soalan ketiga jawapannya macam soalan kedua la jugak Mamat.. Tak Kira la sapa-sapa.
Mat
: Okay, tak bias. Soalan nombor 4.
Aku
: Soalan nombor 4 ni banyak sikit jawapannya. Kalau orang mencuri...kemudian kita tengok dengan niat nak nasihat dia atau niat nak report polis, dapat pahala la kita. Tapi kalau kita tengok orang mencuri, kita pun join sekaki enjoy.. ataupun mintak komisyen daripada pencuri tu sebab kita rahsiakan aktiviti mencuri dia.. dapat dosa la kita. Tapi kalau kita taubat lepas tu mudah-mudahan dosa terampun.
Mat
: Macam dah prepair je hang ni? Soalan no 5. (5. Apa hukum kita biarkan orang masuk bertanding Akademi Fantasia? 6. Kalau dia mati masa tu macam mana?)
Aku
: Ye laa, pejuang Islam kena la prepair. Soalan no 5 pun kena hurai panjang. Katakan kita nampak seseorang mencuri, kita tengok la keadaan. Kalau pencuri tu kecik anak boleh la kita sekat dia masa tu jugak. Tapi kalau pencuri tu pakai M16 aku nasihat hang jangan sekat la masa tu, nanti dengan hang-hang pun tak selamat.. Aku direct terus soalan no 6, katakan pencuri tu accident lepas mencuri, cedera parah.. kalau dia sempat taubat mudah-mudahan Allah ampunkan dia. Kalau tak sempat itu semua dalam kuasa Allah la...

Mat
: Soalan 7? (7. Apa hukum Mawi mengadakan show-show keliling Malaysia? )
Aku
: Samalah Mat, kalau modus operandinya macam mencuri hukumnya samalah juga. Sebab hang tanya aku pasai hukum aku jawab macam tu lah. Tapi hang kena faham aku bukan ustaz.
Mat
: Okay. Soalan 8, kalau hukumnya dah sama.... Di Kelantan pun hukumnya sama jugaklah? (8. Apa hukum Kelantan bawa Mawi buat konsert kat sana?)
Aku
: Ni hang kena faham sikit, aku bukan nak berdalih. Hang jangan guna hujah bodoh `Parti Ali Setan’ hang tu. Kalau hang sebut jugak, putus member malam ni.
Senarionya macam ni, katakan ada seorang Pak Cik Tua nampak seorang pencuri mencuri, dan pencuri ni sangat handal mencuri. Rumah batu berpagar tinggi berkunci keselamatan pun dia boleh curi. Lepas tu pencuri ni taklah terlampau jahat, dia tak berjudi, dia tak minum arak, dia tak hisap dadah...

Pak Cik Tua ni pulak ada barang berharganya yang diambil oleh orang yang zalim. Dia dah repot polis, dah lapor pada penguasa tapi tak dapat layanan. Akhirnya Pak Cik Tua ni nekad nak upah pencuri handalan ni untuk mencuri barang berharganya yang diambil secara zalim tu...

Sebelum hang melalut, aku nak beritahu hang, sekurang-kurang hukumnya Makruh kalau tak pun Harus.. Apa pendapat hang?
Mat
: Mawi lah tu?
Aku
: Tak semestinya. Orang lain pun boleh jugak kalau kena masa dan ketika.
Mat
: Apa yang nak diambil balik?
Aku
: Hati dan jiwa para remaja yang dicuri dengan hiburan barat, kena dicuri balik dengan hiburan alternatif. Hang pun tau kan, 40,000 orang datang malam pertama, 60,000 orang datang malam kedua.
Mat
: Tapi kalau pencuri, kenapa Pak Cik Tua tu (Nik Aziz la kut) puji dia bukan main?
Aku
: Kita nak bantuan orang kena lah puji dia. Cuba hang fikir kalau hang bantai seseorang, kutuk dia, kutuk mak-bapak dia, agak-agak dia nak kerja dengan hang tak?
Mat
: Tapi aku baca dalam Utusan, Harun Taib sebut lain pulak?
Aku
: Alhamdulillah, aku syukur ada ulama’ dalam PAS sebut macam tu. Sekurang-kurang dia mengingatkan penyokong-penyokong PAS supaya hati-hati bila berurusan dengan kumpulan orang jenis ni. Hang sokong PAS ke?
Mat
: Tu bergantung pada jawapan hang malam ni lah.
Mat
: Tapi kalau upah pencuri, tak dak risiko ke pencuri tu curi barang-barang lain selain daripada barang yang dihajatkan?
Aku
: Risiko memang adalah.. Sebab tu kena buat perjanjian elok-elok. Orang yang nak diupah pun kena pilih elok-elok dulu.
Alhamdulillah, hang boleh baca sendiri laporan dalam Berita Harian. Semua nampak okay.
Mat
: Hang pergi ke?
Aku
: Aku duduk jauh kat Taiping ni Mat. Tak payah pegi la..
Mat
: Okaylah, soalan 9? (9. Kalau hukum bawa Mawi boleh...Apakah selepas ini kalau ada penyanyi lain yang nak datang ke Kelantan dan akan penuhi syarat macam Mawi....Adakah dia boleh datang buat konsert?)
Aku
: Aku bukan Tok Guru Nik Aziz nak decide benda ni. Tapi aku rasa kalau sudah ada pencuri handalan, pencuri tak handalan tak perlu sangat lagi. Tapi kalau duit tak cukup nak upah pencuri handalan. Bolehlah sekali-sekala upah pencuri tak handalan asal penuhi perjanjian.
Mat
:Soalan 10 (10. Lepas ni kalau Mawi buat konsert kat mana-mana negeri lain apakah hukumnya boleh sebab Kelantan dah benarkan?)
Aku
: Macam soalan no 7 la Mat. Kalau modus operandi masih macam mencuri barang yang tidak hak hukumnya sama jugak. Tapi kalau modus operandi sudah berubah kepada mencuri(mengambil) balik barang yang dirampas dengan tidak hak, maka hukum boleh berubah Mat. Ketika itu orang tersebut sudah tidak boleh dipanggil pencuri tapi jadilah dia pembela umat yang teraniaya.
Mat
Robin Hood lah tu?
Aku
Aku tak tau cerita Robin Hood macam mana?


Mat
: Aku tambah satu lagi soalan. Kalau ada orang lain join AF4 tahun depan dan berperwatakan serupa, macam mana?
Aku
: Mat, Hero yang hebat tidak muncul tiap-tiap tahun. Kalau hero yang hebat muncul tiap-tiap tahun maka sudah tidak jadi hebat lagi. Kalau pun ada lagi tahun depan, aku rasa hukumnya sama saja. Tapi hang kena faham, fenomena ni bukan diwujudkan oleh PAS, bukan diwujudkan oleh DAP, MIC atau MCA tapi diwujudkan oleh UMNO. Selagi mana UMNO tak wujudkan garis panduan hiburan mengikut syariah, selagi itulah `Fenomena Celaru Malaysia Pelik’ ni berterusan. Aku pun dah penat jawab soalan hang Mat.
Mat
: Okay, okay terima kasih banyak sebab menjawab soalan.
Aku
: Lepas ni isi borang PAS Mat.
Mat
: Tak tau lagi.
Aku
: Okay lah, tak nak isi borang Pas, jangan isi borang Umno sudah.
Mat
: He! He!

Nota:

1. Aku pilih untuk tidak membela Mawi bukan kerana bencikan dia, tapi kerana aku rasa membela Tok Guru dan Ustaz Harun Taib lebih penting. Mereka tonggak utama dalam Jemaah, lagi pun sudah ramai para peminat yang membela Mawi.

2. Tidaklah aku berniat untuk menyamakan Mawi dengan pencuri yang boleh dihukum potong
tangan. Ia hanya hendak memudahkan komunikasi aku dengan kenalan tersebut.

3. Aku berdoa supaya Mawi istiqamah membantu Jemaah Islam menarik golongan remaja daripada
budaya liar Barat dan berdoa juga supaya Allah menghalalkan rezekinya. Amin.

4. Selebihnya aku berserah kepada Allah. Mudah-mudahan dialog dan penulisan ini memberi
menafaat kepada diriku dan sebahagian manusia.


Ghazali_Ai
5 Ramadhan 1426 H

Malam Ini Lailatul Qadr

:Tuan Hamba! Tuan Hamba!
Tuan Hamba di mana!

:Ya Tuan Hamba, gerangan apakah Tuan hamba mencari hamba!

:Tuan hamba di mana tu!

:Hamba di sini, marilah ke sini!

:Hamba kurang pasti, tuan hamba di mana, hanya suara tuan hamba yang dapat hamba
dengar!

:Hamba di sini, di mihrab masjid ini...

:Oh tuan hamba, gerangan apa tuan hamba berada dimihrab masjid ini?

:Hamba menghidupkan malam.

:Menghidupkan malam?

:Ya, hamba menghidupkan malam, mencari lailatul Qadr!

:Apakah lailatul Qadr itu tuan hamba?

:Lailatul Qadr itu malam kemuliaan, malam penentuan. Malam kemuliaan itu lebih utama daripada 1000 bulan!

:Benarkah tuan hamba?

:Ya benar, Turun malaikat dan Ruhul Amin pada malam itu, dengan izin tuhan mereka,
membawa pokok-pokok dari tiap-tiap perintah!

:Istimewakah malam itu tuan hamba?

:Ya istimewa, Sejahteralah ia hingga terbit fajar.

:Malam inikah malam lailatul qadr itu tuan hamba?

:Mungkin!

:Tuan hamba tidak pasti?

:Ya, hamba tidak pasti!

:Kalau tidak pasti kenapa tuan hamba mencarinya?

:Mungkin hamba akan menemuinya tuan hamba! Petunjuknya banyak sekali.

:Bilakah agaknya malam kemuliaan itu tuan hamba, adakah sebarang petunjuk untuk mencarinya? Adakah
hamba juga berpeluang menemuinya?

:Tuan hamba, setiap insan yang beriman berpeluang untuk menemuinya! Cuma petunjuknya banyak sekali!

:Apakah petunjuknya tuan hamba, tidak sabar hamba hendak mendengarnya!


:Tuan hamba, menjadi perbincangan yg panjang lebar dikalangan ahli hadis dan riwayat, bilakah, malam apakah yang tepat Lailatul Qadr itu. Ibnu Hajar al-Usqalany menyalinkan tidak kurang 45 qaul tentang malam itu, masing-masing menurut pengalaman dgn catatan ulama-ulama yang merawikannya, sejak dari malam 1 ramadhan sampai 29 atau 30 ramadhan, ada saja tersebut ulama yang merawikannya. Demikian juga As-Syaukaniy juga menuqilkan demikian tuan hamba.

:Kalau begitu bagaimana tuan hamba? Nampak begitu sukar..

:Tuan hamba, ada satu riwayat dalam hadith Bukhari dirawikan dari Abu Sa’id Al-Khudry bahawa tentang malam berapa yang tepat telah lupa oleh Rasulullah s.a.w. Justeru dianjurkan setiap malam bulan ramadhan itu diramaikan dan diisi penuh dengan ibadat. Tetapi ada juga riwayat yang kuat bahawa Lailatul qadr itu ialah pada malam sepuluh terakhir dari Ramadhan, ertinya sejak malam 21. Sejak malam 21 itu juga Nabi s.a.w lebih memperkuat ibadatnya daripada malam-malam yang sebelumnya, sampai beliau bangunkan kaum keluarganya yang tertidur.

:Tuan hamba, tidak ada malam yang lebih hampirkah?

:Tuan hamba, Abdullah bin Mas’ud dan Asy-Sya’biy dan al-Hasan dan Qatadah berpendapat bahwa malam itu ialah malam 24 Ramadhan. Alasan mereka ialah kerana ada hadith dari Wastilah bahwa Al-Quran diturunkan pada 24 Ramadhan.

:Ada pendapat lain lagikah tuan hamba?

:Suatu riwayat lagi daripada As-Suyuthiy, yang kemudian sekali dikuatkan oleh Syaikh Khudhariy bahawa Lailatul qadr jatuh pada 17 Ramadhan. Mereka mengambil istimbat daripada ayat 41 surah al-anfal, “Hari pemisahan, hari bertemu dua golongan” iaitu dalam Peperangan Badr pada 17 Ramadhan.

:Adakah ini muktamad tuan hamba?

:Tuan hamba, kita pun dapat faham bahawa ini adalah hasil ijtihad, bukan suatu nash Qath’iy yang pasti dipegang teguh, sebab Nabi S.a.w menyuruh memperhebat ibadat setelah 10 yang akhir, bukan pada malam 17 Ramadhan.

:Itu sajakah pandangan yang tuan hamba ada?

:Ada sedikit lagi tuan hamba, menurut Al-Hafiz Ibnu Hajar, sesetengah ulama berpendapat bahawa malam Lailatul Qadr yang sebenarnya hanyalah sekali sahaja, iaitu ketika Al-Quran mulai pertama turun itu. Adapun Lailatul Qadr yang kita peringati dan memperbanyak ibadat pada tiap malam hari bulan Ramadhan itu ialah untuk memperteguh ingatan kita kepada turunnya al-quran itu. Sudah jelas lagi terang malam itu pasti terjadi dalam bulan Ramadhan. Kita hidupkan malam itu, ambil berkat dan sempena, dan memperbanyakkan syukur pada Allah kerana bertepatan malam itulah Al-Quran mula diturunkan Allah. Berdiri mengerjakan sembahyang yang disebut qiamullail atau tarawikh, diseluruh malam Ramadhan atau menambah ramainya di malam 10 yang akhir, pastilah salah satu bertepatan dengan malam turunnya Al-Quran itu.

:Ada kejadian ganjil-ganjilkah malam itu tuan hamba?

:Tuan hamba, ada juga yang mengatakan bahawa malam Lailatul Qadr itu dapat disaksikan dengan kejadian yang ganjil-ganjil. Misalnya air berhenti mengalir, pohon kayu tunduk ke bumi dan sebagainya. Semuanya itu adalah hal-hal yang tidak dapat dipertanggungjawabkan menurut ilmu agama yang sebenarnya!

:Kalau begitu malam ini kita ke mana tuan hamba?

:Tidak kemana-mana, hamba akan terus di sini menghidupkan malam. Bukankah malam ini 10 akhir ramadhan, Nabi menyuruh kita memperhebat ibadat!
:Ya! Ya! Betul Tuan hamba. Sudah pukul 2 pagi rupanya!

:Oh! Pukul 2 pagi. Kalau begitu ayuh kita qiyamullail, tahajjud, tadarus, zikir dan lain-lain sampailah terbit fajar pagi esok Tuan hamba.

: Oh! Baik tuan hamba, baik!


Ghazali_Ai
Ref: Tafsir Al-Azhar, surah al-Qadr

Bukan Jadi Askar, Tapi Jadi Patung!

Hampir setiap kali saya memantau anak-anak saya menonton televisyen, hampir setiap kali jugalah iklan ini kelihatan. Justeru hampir setiap kali jugalah saya terpaksa memberi penerangan kepada anak-anak saya disamping mengkritik iklan yang disiarkan.

Saya kira setiap orang yang ada peti TV dirumahnya atau ditempat kerjanya pasti pernah melihat iklan ini. Tidak kiralah apa jenama TV yang dia pakai, jenama terkenal atau jenama kokak, gambar terang atau gambarnya kelabu dan berbintik-bintik, yang pasti iklan ini akan keluar juga terutama pada waktu siaran kanak-kanak. Sesuatu yang saya risau ialah ianya mengakibatkan kanak-kanak Islam hilang sensitiviti kerana iklannya di olah sedemikian rupa.

Saya disiplinkan anak-anak saya supaya hanya menonton tv 4 hari seminggu tetapi malangnya iklan ini keluar setiap hari. Justeru cabaran akidah anak-anak kita ialah setiap hari. Saya cuba membuka di dalam blog atau laman web Ulama’-ulama’ muda kita, tetapi rasanya tidak ada atau tidak banyak ianya dibicarakan. Tidak segamat dan serancak kisah Siswi Vet UPM memegang anak `kerbau pendek’ suatu ketika dulu. Ianya tambah digamatkan bila keadaan memegang dengan tapak tangan dibahagian perut anak `kerbau pendek’ itu digantikan dengan perkataan `memeluk’ dan `mendakap’. Tetapi saya tidak pasti adakah sebarang surat atau nasihat khusus dihantar untuk siswi tersebut atau ada atau tidak serombongan orang-orang jemaah datang menemui siswi tersebut untuk bertukar-tukar pendapat dan memberi nasihat sebagaimana gembiranya rombongan Nisa’ Malaysia membuat ziarah ke rumah Amy Search dan isterinya Norish yang ingin berubah.

Iklannya adalah kisah nostalgik yang cukup saya minati semasa zaman kecil dahulu. Kisah kanak-kanak bermain perang-perang. Tidak ada salahnya bermain perang-perang, bahkan saya rasa ianya bagus kerana meningkatkan semangat patriotik disamping menambah lasaknya kanak-kanak zaman sekarang yang kuat makan ayam daging dan ramai yang terkena obesiti.

Masalahnya ialah iklan itu diakhiri dengan adegan memberi tabik hormat kepada patung dan meletak jambangan bunga pada longgokan batu-batu yang dibentuk menjadi patung itu. Kedua-dua pelakon itu ialah orang yang dikenali beragama Islam, bahkan pada waktu yang lain adegan yang sama turut memaparkan Perdana Menteri meletakkan jambangan bunga pada ketulan batu yang sama. Sehingga Harakah memberikan komen, PM engkar keputusan Majlis Fatwa!

Didalam iklan tersebut digambarkan tabik hormat kepada patung tersebut ialah sebagai mengenang jasa askar-askar penuh patriotik yang terkorban suatu masa dulu, yang turut dilakonkan oleh kanak-kanak yang bermain perang-perang itu.. Jenuhlah saya menerangkan kepada anak-anak saya bahawa memberi tabik hormat kepada patung dan meletakkan bunga dikaki patung itu bukan cara umat Islam, itu cara orang Jahiliyah. Boleh membawa dosa bahkan boleh membawa syirik.

Anak sulung saya bertanya, macam mana nak hormat orang yang mati?
Terdiam saya kerana perkara ini jarang kita bicarakan dengan anak-anak yang masih kecil. Saya ceritakan satu-satu sekadar ilmu yang saya ada, untuk orang yang baru mati, kita ziarahi dia, bacakan quran, ada orang yang memandikan, ada orang yang membungkus dengan kain kafan dan kita sembahyangkan ramai-ramai lalu ditanam.

Untuk orang yang telah lama mati, jika kita ingin menghormati dia maka kita bacakan dia ayat-ayat al-quran atau kita ziarahlah kuburnya dan doakan kesejahteraan untuk dia. Bukannya kita buat patung dan beri tabik pada dia.. Beri bunga pada patung.

Anak saya yang kedua bertanya, kalau macam ini salah kah ayah?
Ya, macam ini salahlah. Sebab dia hormat pada patung, bukan hormat dan mengingati orang yang dah mati. Barangkali orang-orang yang menyembah berhala zaman dahulu beginilah asal-usulnya. Mula-mulanya sekadar mengingati orang yang berjasa dan telah mati, kemudian mereka angkat orang itu jadi dewa dan sebagainya.

Setiap ada iklan itu saya akan beritahu anak-anak saya. Jangan buat macam ini, hanya orang Jahiliyah yang buat macam itu..

Tahulah... Kata anak sulung saya bosan.

Kemudian, bila ada iklan itu lagi saya akan bersuara lagi. Tanya pada anak saya, ini boleh atau tidak? Bila mereka jawab tidak boleh barulah saya berhenti.

2-3 hari lepas anak saya yang ketiga berumur 4 tahun, tiba-tiba bertanya.

“Ayah, kenapa budak-budak tu tak jadi askar, tapi jadi patung!. Cuma budak perempuan gemuk itu saja yang jadi askar, yang lain semua jadi patung! ”

Anak sulung saya ketawa, anak kedua saya ketawa, saya pun turut ketawa..

Cuma di dalam hati saya percaya iklan ini adalah untuk mempengaruhi umat Islam supaya tidak merasa apa-apa ketika memberi tabik pada patung, juga meletak jambangan bunga pada kakinya, bukanlah untuk meninggikan semangat patriotik. Saya juga mengharap iklan ini akan mendapat ulasan meluas daripada Ulama’-ulama’ kita, muda atau tua. Di ulas dalam egroup, blog atau laman web, dan kalau boleh ada kelompok-kelompok yang menasihati mereka-mereka yang terlibat menjayakan iklan ini..

Mudah-mudahan malaplah da’yah orang kafir dan teranglah cahaya Islam.